Muslim Bukan Gambaran Sebenar Islam, Mesti Lihat Al-Quran

Jika kita mendekati golongan bukan Muslim di luar sana, pasti sebahagian besarnya akan memberikan pendapat atau idea yang kurang tepat sekiranya ditanya berkenaan agama Islam.

Ada yang menyatakan bahawa agama Islam adalah agama yang ekstrem; satu idea yang telah berlegar sejak sekian lama. Tidak kurang juga, ada yang menyatakan Islam bukanlah agama terbaik kerana ada juga penganutnya yang melakukan perkara yang buruk seperti merompak, rasuah dan menipu.

Idea-idea salah mengenai ajaran Islam sebenar inilah yang memicu kita untuk menjawabnya dengan jawapan yang jelas. Jika ada seseorang yang bukan Islam mendekati kita, dan bertanya soalan-soalan dengan idea seperti ini, apakah yang kita akan jawab?

Lihat kepada kitab agama Islam, bukan penganutnya

agama islam

Untuk seseorang itu mendalami sesebuah ajaran agama, perkara yang perlu dilakukannya ialah dengan membaca aturan atau ajarannya. Kesemua aturan dan ajaran tersebut terdapat dalam kitab masing-masing.

Bagi ajaran Islam, semestinya Al-Quran menjadi sumber rujukan yang utama selain 3 lagi rujukan lain selepas Al-Quran. Untuk melihat ajaran Islam yang sebenar, kesemuanya terkandung dalam kitab Al-Quran.

Kita tidak boleh melihat sesuatu agama hanya berdasarkan kepada penganutnya sahaja. Ini kerana, setiap agama pasti mempunyai sebilangan penganut yang tidak mentaati segala perintah dan ajaran tersebut.

Jika ada yang bertanya, mengapa orang Islam kuat melakukan rasuah? Jawapannya ialah bukan hanya orang Islam, tetapi ada juga penganut lain yang mengamalkan rasuah.

Imej Islam tidak boleh ditentukan dengan hanya melihat kepada seorang pelaku rasuah semata-mata kerana amalan penganut belum tentu melambangkan ajaran agama Islam yang sebenar.

Agama Islam semestinya agama yang terbaik dan sempurna tetapi Muslim bukanlah seseorang yang sempurna. 

Peranan media memberikan imej yang salah mengenai agama Islam

agama islam

Pengaruh media yang meluas dan kuat di seluruh dunia berjaya membentuk pandangan orang awam terhadap Islam. Daripada dahulu sehinggalah sekarang, imej Islam berjaya diburukkan melalui media-media yang sentiasa berniat jahat terhadap Islam.

Seringkali terdapat banyak info dan maklumat yang salah dipaparkan mengenai Islam. Selain itu, imej buruk Islam ditekankan secara melampau dalam media.

Sebagai contoh, jika terdapat peristiwa pengeboman yang berlaku, maka istilah ekstremis akan digunakan jika pelakunya adalah orang Islam. Sebaliknya, jika pelaku tersebut adalah orang bukan Islam, media akan menggunakan istilah penjenayah atau pembunuh untuk mereka.

Ini menunjukkan ketidakadilan dalam pelaporan berita oleh media-media di seluruh dunia.

Secara keseluruhannya, umat Islam adalah golongan komuniti terbaik dunia

agama islam

Walaupun terdapat segelintir penganut agama Islam yang melakukan perkara yang tidak elok, majoriti umat Islam masih lagi komuniti terbaik di dunia ini.

Pertamanya, umat Islam tidak mengambil minuman beralkohol yang boleh menyebabkan seseorang tersebut hilang kewarasan akalnya. Apabila kewarasan akal sudah hilang akibat arak, manusia cenderung untuk melakukan sesuatu perkara berdasarkan nafsu kerana akal tidak lagi mampu membuat pertimbangan yang baik.

Selain itu, orang Islam adalah komuniti yang paling banyak melakukan sedekah dan membuat sumbangan dalam pelbagai perkara tanpa mengira bangsa dan agama.

Begitu juga dari segi kesopanan dan adab, orang Islam adalah mereka yang sangat bersopan santun berbanding orang lain di dunia ini.

Lihat kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai Muslim terbaik

Jika benar-benar ingin melihat kepada penganut ajaran Islam yang terbaik, lihatlah kepada sosok tubuh dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W.

Keperibadian Muslim yang terbaik seperti yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad ini bukan hanya diakui oleh orang Islam, tetapi juga dalam kalangan bukan Islam.

Seorang ahli astrofizik yang juga pengarang buku ‘The Hundred Most Influential Men In History’, Michael H. Hart menyatakan, manusia yang berada di tempat pertama dalam buku tersebut ialah Nabi Muhammad S.A.W. Beliau mengakui tanpa perasan berat sebelah bahawa Nabi Muhammad adalah manusia yang paling berpengaruh dan terbaik.

Selain beliau, sejarawan seperti Thomas Caryle menggangap Nabi Muhammad sebagai role model yang perlu dicontohi dan diikuti. Begitu juga dengan sejarawan Perancis, La-Martine yang menyatakan kekaguman beliau terhadap peribadi Nabi Muhammad.

Kesemua ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad adalah contoh Muslim terbaik dan tidak seperti yang digambarkan secara negatif oleh media-media kawalan Barat.

Setelah memahami berkenaan Islam dan Muslim, adakah kita sudah bersedia untuk menjawabnya jika ditanya berkenaan hal ini oleh orang bukan Islam? Jika masih belum yakin, mungkin kita perlu merujuk kepada teknik khusus dakwah A.S.A.R.A – P.K di sini.

Rujukan:

20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam, KF Islamic Research Foundation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *