“Saya merupakan seorang mualaf dan baru sahaja memeluk Islam. Saya ingin bertanya, adakah amalan kebaikan yang saya lakukan sebelum memeluk Islam akan dinilai dan dikira oleh Allah?”
Kebaikan orang bukan Islam tidak mendapat pahala di sisi Allah

Tidak dinafikan bahawa ramai daripada golongan bukan Islam yang rajin membuat kebaikan di dunia ini.
Ada yang membantu tidak mengira bangsa dan agama.
Ada juga yang membuat kebaikan setiap masa tanpa mengira sebarang keuntungan yang diperolehnya.
Sebagai seorang Islam, kita tahu bahawa segala amalan kebaikan orang bukan Islam tidak mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
Namun, bagaimana pula jika mereka memeluk Islam, adakah amalan kebaikan yang dilakukan sebelum memeluk Islam akan dinilai pahalanya?
Adakah amalan kebaikan sebelum memeluk Islam akan dikira dan dinilai?

Bagi mendapatkan gambaran awal mengenai hal ini, bolehlah kita melihat kepada satu hadis Nabi S.A.W.
Maksud hadis tersebut adalah seperti berikut:
“Daripada Hakim bin Hizam R.A, katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pandangan tuan terhadap perbuatan-perbuatan baik yang saya lakukan sewaktu masa Jahiliyyah seperti sedekah, membebaskan hamba atau menyambung silaturrahim. Adakah padanya terdapat ganjaran pahala? Maka Nabi S.A.W menjawab: Engkau telah masuk Islam beserta semua kebaikanmu yang dahulu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibn Battal dalam kitabnya Syarh Sahih Al-Bukahri ada menyatakan bahawa, Allah memberikan keutamaan kepada golongan Ahli Kitab yang memeluk Islam dengan memberikan mereka pahala disebabkan perbuatan baik yang pernah mereka kerjakan sebelum memeluk Islam.
Menurut sebahagian ulama’, perbuatan baik orang-orang musyrik akan dinilai dan dikira setelah mereka memeluk Islam.
Kejahatan dan segala dosa pula akan diampunkan dihapuskan oleh Allah Taala.
Al-Sindi pula menjelaskan maksud hadis ini dengan berkata, kesemua amalan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam akan ditangguhkan terlebih dahulu.
Apabila dia memeluk agama Islam, barulah segala perbuatan baik itu dinilai dan dikira oleh Allah.
Kesimpulan
Ramai ulama’ berpendapat bahawa, amalan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam bergantung kepada keislamannya.
Jika dia memeluk Islam dan meninggal dunia dalam Islam, maka segala amalan kebaikannya akan dicatat dan dinilai oleh Allah Taala.
Namun, jika mereka tidak sempat memeluk Islam dan mati dalam kekufuran, maka mereka tidak akan memperoleh pahala bagi kebaikan yang mereka lakukan itu.
Rujukan: