Bolehkah jika kita hanya membantu atau mementingkan kaum kita sahaja? Adakah ia dikira sebagai asabiyah dalam Islam?
Bukankah asabiyah ini merupakan satu sifat yang buruk?
Ini maksud sebenar asabiyah

Kita sering melihat istilah asabiyah sebagai satu istilah yang negatif.
Ia sering membawa maksud sikap perkauman atau patriotik yang melampau terhadap sesuatu kaum sahaja.
Namun, ia sebenarnya mempunyai dua jenis iaitu asabiyah yang positif serta asabiyah yang negatif.
Ibnu Khaldun telah mengelaskan dua jenis asabiyah iaitu asabiyah Islamiah dan asabiyah Jahiliyah.
Asabiyah Islamiah membawa maksud persefahaman yang terbentuk dalam sesebuah masyarakat sehingga menggalakkan sikap kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain.
Manakala asabiyah Jahiliyah pula memberikan makna menyokong kaumnya sendiri secara melampau-lampau sehingga mengabaikan antara perkara yang benar dan yang salah.
Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai maksud asabiyah.
Mereka bertanya, adakah sikap mencintai kaum itu membawa makna asabiyah yang tidak elok?
Rasulullah menjawab, asabiyah itu adalah apabila kamu membantu kaum kamu sendiri atas asas kezaliman.
Perbezaan antara asabiyah dalam Islam dan asabiyah Jahiliyah
Berdasarkan pandangan daripada Ibnu Khaldun, terdapat beberapa perbezaan yang membezakan antara asabiyah Islamiah dan asabiyah Jahiliyah.
- Ibnu Khaldun menyaakan bahawa asabiyah Islamiah amat penting bagi memupuk perpaduan dan menguatkan ikatan sesuatu bangsa atau umat Islam
- Dalam perkara berkaitan agama Islam, sifat asabiyah ini amat penting untuk menegakkan syariat dan ajaran Islam
- Bangsa yang mengamalkan budaya asabiyah Jahiliyah mempunyai sikap yang sombong dan tidak rasional sehingga menolak kebenaran semata-mata untuk melindungi dan menyokong kaumnya. Kaedah seperti ini ternyata amat salah
- Asabiyah yang dilarang ialah asabiyah yang mempunyai unsur-unsur kezaliman dan penindasan
Adakah mementingkan kaum sendiri dikira sebagai asabiyah yang buruk?

Islam hanya melarang sebarang bentuk asabiyah yang menindas kaum atau etnik yang lain.
Sebagai contoh, kita tetap melindungi individu sebangsa atau satu kaum walaupun dia jelas telah melakukan kesilapan terhadap individu daripada kaum lain.
Kita membutakan mata kita terhadap kebenaran hanya disebabkan ingin menyokong individu daripada kaum yang sama.
Amalan dan sikap asabiyah seperti ini sememangnya salah.
Kebenaran atau perkara yang haq mengatasi warna kulit dan bangsa seseorang.
Namun, jika kita membantu kaum kita tanpa menindas individu daripada kaum lain, ia dibenarkan dalam Islam.
Sebagai contoh, kita menyokong perniagaan orang-orang Islam dengan niat mengukuhkan pegangan ekonomi sehingga akhirnya memberikan kebaikan kepada orang Islam itu sendiri.
Sikap seperti ini tidak menzalimi mana-mana pihak dan ia juga memberikan manfaat kepada orang-orang Islam.
Kesimpulan
Selagi mana sifat asabiyah itu tidak melanggar etika dalam menegakkan kebenaran, maka ia bukanlah satu masalah.
Sikap asabiyah Jahiliyah yang membuta tuli sehingga menolak kebenaran dan membela kezaliman adalah sikap asabiyah yang dilarang dalam Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://www.yadim.com.my/v2/jenis-jenis-asabiyah/