Kita pasti sudah mengetahui batas aurat wanita dengan adik beradiknya sendiri.
Namun, jika seseorang wanita itu pada asalnya seorang yang bukan Islam lalu memeluk Islam, adakah batas auratnya bersama adik beradik yang bukan Islam adalah sama?
Hukum asal menutup aurat wanita
Dalam Al-Quran, Allah ada menerangkan panduan mengenai batas aurat wanita.
Kita boleh melihat daripada maksud Surah An-Nur, ayat ke-31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Bolehkah wanita mualaf membuka aurat dengan adik beradik yang bukan Islam?

Bagi wanita mualaf, anda dibolehkan untuk tidak memakai tudung kepala apabila bersama adik-beradik yang bukan Islam walaupun di hadapan adik beradik lelaki.
Ini kerana, perbezaan agama tidak akan membatalkan hubungan mahram antara wanita mualaf dengan adik beradik yang lain.
Walaupun sudah memeluk Islam, adik beradik masih lagi dikira sebagai mahram.
Oleh itu, tiada masalah jika wanita mualaf ingin membuka tudung di hadapan golongan mahram seperti adik beradik.
Bagaimana pula batasan aurat wanita Muslim dengan wanita bukan Muslim?

Bagi sesama wanita yang berlainan agama dan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, aurat bagi seorang wanita Muslim adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan juga tapak tangan.
Ini adalah pendapat majoriti ulama’ fiqh.
Sebahagian ulama fiqh Mazhab Syafie pula menyatakan bahawa, aurat wanita Islam bagi pandangan wanita bukan Islam adalah selain kepala, tangan dan juga kaki.
Namun, sebolehnya untuk wanita Islam menjaga aurat mereka walaupun sesama wanita yang bukan Islam.
Ini bagi mengelakkan sebarang fitnah yang mungkin berlaku atau keadaan yang boleh menjatuhkan maruah seorang wanita Islam.
Terdapat kemudahan dalam urusan fiqh Islam berdasarkan situasi tertentu seperti di asrama pelajar atau pekerja.
Oleh itu, hukum fiqh boleh berubah berdasarkan keperluan atau situasi yang dialami oleh seseorang wanita Muslim.
Rujukan: