Kenapa Mesti Berbuat Baik Sesama Manusia Walaupun Berlainan Agama?

Suruhan berbuat baik sesama manusia ini tidak hanya terhad kepada sesama orang Islam sahaja. Malah, setiap orang disuruh untuk berbuat baik sesama manusia walaupun berbeza agama dan kaum.

Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya untuk berbuat baik kepada penganut agama lain.

Apakah kepentingan berbuat baik sesama manusia ini?

Suruhan berbuat baik sesama manusia

berbuat baik sesama manusia

Nilai berbuat baik sesama manusia ini telah lama dianjurkan oleh Allah Taala kepada kita.

Dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat ke-8 ada menyebut, yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Selagi mana sesuatu kaum itu tidak menyakiti atau memerangi kita disebabkan agama kita, kita disuruh untuk berbuat baik kepada mereka dengan cara yang sama kita sesama Muslim. 

Berbuat baik sesama manusia walaupun ibu bapa berlainan agama

Katakanlah seseorang itu memeluk Islam, tetapi ibu dan bapanya masih lagi belum memeluk agama Islam.

Adakah ia bermaksud bahawa dia perlu memutuskan hubungan kekeluargaannya bersama kedua ibu bapanya?

Lebih teruk lagi, adakah bermakna dia perlu memusuhi dan berbuat jahat kepada mereka hanya kerana mereka belum memeluk Islam?

Tidak sama sekali. Allah menyuruh kita untuk terus berbuat baik kepada kedua ibu bapa walaupun mereka masih lagi belum memeluk Islam.

Dalam Al-Quran, melalui Surah Luqman, ayat ke-15 ada menyebut:

“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

Ayat tersebut menerangkan kepada kita untuk terus berbuat baik kepada ibu bapa dan jangan sesekali menyakiti mereka.

Selagi mana kedua ibu bapa kita tidak menyuruh kepada perkara yang mensyirikkan Allah, kita diwajibkan untuk taat kepada mereka.

Agama yang berbeza tidak menghalang tanggungjawab seseorang anak itu untuk terus berbakti kepada orang tuanya. 

Ambil pengajaran kisah di zaman Khalifah Umar

berbuat baik sesama manusia

Kisah ini diceritakan berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab.

Pada satu ketika, seorang Yahudi telah datang menemui Umar dan mengadu kepadanya mengenai rampasan tanah hak miliknya.

Dikatakan pihak berkuasa pada masa itu telah melupuskan pemilikan Yahudi tersebut keatas tanahnya dengan sejumlah bayaran.

Lalu, sebuah masjid dibina di atas tanah tersebut.

Yahudi tersebut tidak berpuas hati lalu membuat aduan kepada Umar.

Umar menyelidiki kebenaran aduan tersebut.

Setelah terbukti kebenarannya, Umar segera menyuruh agar masjid baharu yang telah dibina di atas tanah milik Yahudi tersebut dirobohkan serta merta.

Tanah tersebut kemudiannya dikembalikan semula kepada Yahudi tersebut.

Hal ini menunjukkan bahawa, walaupun masjid sebagai rumah ibadat ingin dibina, tidak bermakna ia boleh dibina dengan melanggar hak-hak orang lain yang berlainan agama atau bangsa.

Kisah ini juga jelas menunjukkan bagaimana pentingnya suruhan untuk berbuat baik sesama manusia walaupun berbeza agama. 

Akhlak yang baik sebagai satu medium dakwah

Tidak rugi untuk kita berbuat baik sesama manusia, apatah lagi jika dia bukanlah seorang Muslim.

Kebaikan serta akhlak yang terpuji akan menarik hati mereka yang bukan Islam untuk mengenali Islam.

Sifat berbuat baik ini juga boleh menjadi satu medium dakwah secara tidak langsung kepada mereka yang masih belum memeluk Islam. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *