Kaedah berdakwah bukanlah semata-mata mengajak orang bukan Islam datang ke masjid dan mengucap kalimah syahadah, tetapi cara dakwah sebenarnya lebih daripada itu.
Bermula seawal menegur mereka di jalanan sehinggalah ke saat mengucapkan kalimah tauhid, kesemuanya memerlukan teknik khusus atau cara dakwah yang tertentu agar mencapai matlamatnya.
Jika kita ingin menjadi salah seorang daripada kelompok pendakwah pada peringkat awal, kita pasti tertanya-tanya apakah cara dan teknik yang perlu kita lakukan.
Kita mungkin tidak begitu pasti dengan langkah-langkah yang akan dilakukan pada peringkat awal. Disinilah munculnya idea A.S.A.R.A – P.K yang mungkin anda boleh amalkan. Apakah sebenarnya A.S.A.R.A – P.K?
Ini maksud A.S.A.R.A – P.K
Untuk pengetahuan anda, A.S.A.R.A – P.K merupakan satu formula atau cara dakwah yang mudah dan berkesan untuk menyampaikan mesej Islam kepada golongan bukan Islam. Kita sebagai pendakwah akan cuba mengajak golongan sasaran ini untuk mengakui kebenaran Islam mengikut turutan A>S>A>R>A.
Akronim A.S.A.R.A ini sebenarnya merupakan singkatan bagi Tuhan itu ada (A), Tuhan itu satu (S), Al-Quran wahyu Tuhan (A), Rasul adalah utusan Tuhan (R), dan Akhirat ada syurga (A).

A – Ada (Tuhan itu ada)
Turutan pertama yang perlu anda lakukan semasa berdakwah adalah dengan menceritakan bahawa Tuhan itu ada. Ceritakan berkenaan definisi Tuhan dan ciptaan Tuhan di dalam Al-Quran.
Sebagai contoh, Tuhan menciptakan manusia pertama, Nabi Adam di muka bumi dan beranak-pinak sehingga melahirkan generasi manusia sekarang.
Selain manusia, Tuhan juga menciptakan benda-benda lain seperti kayu dan juga batu. Oleh itu, adakah kita perlu menyembah pencipta kepada Nabi Adam iaitu Allah, atau kepada ciptaannya seperti kayu dan juga batu.
S – Satu (Tuhan itu satu)
Jika golongan sasaran telah mengakui kewujudan Tuhan, ceritakan pula bahawa Tuhan itu adalah bersifat esa mahupun tunggal. Tuhan mestilah tidak mempunyai sifat-sifat yang dimiliki oleh ciptaannya.
Selain itu, berikan analogi bahawa sebuah kapal mestilah diketuai oleh seorang nakhoda sahaja. Tidak mungkin untuk sesebuah kapal tersebut ditadbir oleh beberapa orang nakhoda kerana ia pasti akan menyebabkan banyak konflik yang saling bertentangan.
Begitu juga dengan alam ini, ia pastinya hanya ditadbir oleh seorang pencipta yang mampu mencipta, mentadbir dan memusnahkan ciptaannya sendiri.
A – Al-Quran (Wahyu Tuhan)

Di peringkat yang seterusnya, nyatakan bagaimana Al-Quran itu sememangnya wahyu daripada Tuhan, bukannya ciptaan manusia. Dalam konteks ini, nyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi iaitu seorang yang tidak pandai membaca dan seorang yang jujur.
Bagaimana mungkin seorang yang tidak pandai membaca berkemampuan menghasilkan satu kitab seperti Al-Quran. Kita juga perlu menyatakan bahawa sifat Al-Quran itu sendiri dipelihara oleh Tuhan.
Walaupun mushafnya tiada, namun ia dihafal dan berada dalam ingatan para penghafal Al-Quran. Di dalam Al-Quran juga menceritakan perkara-perkara yang telah dibuktikan melalui sains selain cerita-cerita berkenaan masa silam dan masa akan datang.
R – Rasul (Utusan Tuhan)
Setelah golongan sasaran mengakui bahawa Al-Quran itu datangnya daripada Tuhan, inilah masanya untuk anda menyatakan bahawa rasul-rasul itu adalah utusan Tuhan dalam menyampaikan agama.
Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bahawa setiap rasul-rasul yang diutuskan itu adalah sebagai penyampai kepada risalah Islam untuk golongan manusia.
Begitu juga dengan kerasulan Nabi Muhammad yang turut diceritakan di Al-Quran sebagai nabi terakhir yang diutuskan oleh Tuhan dalam menyampaikan Islam.
A – Akhirat (Destinasi Akhir)
Peringkat seterusnya adalah untuk kita menyampaikan mesej berkenaan kewujudan akhirat selepas mereka mengakui bahawa rasul-rasul itu adalah utusan Tuhan.
Akhirat ini adalah sebagai tempat mendapat balasan bagi setiap apa yang kita lakukan di dunia sekarang. Ia adalah mengenai konsep cause & effect bagi setiap perkara yang berlaku.
Sebagai contoh, setiap yang hidup pastinya akan mati. Begitu juga dengan setiap kebaikan yang dilakukan, pasti dibalas dengan syurga Tuhan di akhirat kelak.
Ketenangan dicapai setelah kesemua elemen di atas diterima

Sesuai dengan maksud Islam itu sendiri, golongan sasaran akan mendapat ketenangan dan kesejahteraan setelah mereka menerima dan mengakui segala kebenaran elemen-elemen A.S.A.R.A di atas.
Sekiranya mereka telah menerima kesemua konsep A.S.A.R.A tersebut, anda boleh cuba untuk mengajak mereka mengucapkan kalimah syahadah.
Jika mereka menerima konsep A.S.A.R.A tetapi masih ragu-ragu, tibalah masanya untuk kita memperkenalkan mereka dengan dua lagi elemen iaitu P.K.
P – Pemilik Syurga
‘P’ disini bermaksud pemilik syurga. Terangkan kepada mereka bahawa mereka akan diberikan ganjaran syurga sekiranya diberkati Tuhan selaku pemilik syurga tersebut.
Caranya? Terangkan kepada mereka bahawa mereka perlu mengisytiharkan pengakuan mereka untuk menerima keesaan Tuhan.
K – Kunci Syurga
‘K’ pula bermaksud kunci syurga. Bagaimana untuk mendapatkan kunci syurga? Ia adalah melalui ucapan kalimah syahadah sebagai satu langkah pendaftaran awal sebelum dapat memasuki syurga milik Tuhan.
Setelah menerangkan berkenaan kunci syurga tersebut, ajak mereka untuk mendaftarkan nama mereka ke syurga. Jika mereka masih ragu-ragu lagi, nyatakan bahawa kematian itu akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Mungkin mereka yang akan menemuinya dahulu, atau mungkin juga anda sebagai pembimbing mereka akan menemui ajal terlebih dahulu. Pada kebiasaannya, apabila sudah tiba pada tahap ini, hati mereka akan mula terasa dan akan menerima kalimah syahadah.
Rujukan:
- Kursus Teknik Dakwah ASARA-PK, Noli Husein