Sebagai seorang Muslim, bolehkah kita mendoakan kebaikan bagi orang bukan Islam? Apakah hukumnya jika doa untuk bukan Islam agar diampuni dosanya setelah dia meninggal dunia?
Haram hukumnya doa untuk bukan Islam dalam hal sebegini

Dalam Islam, soal mendoakan orang bukan Islam ini mempunyai dua pandangan berdasarkan dua situasi yang berbeza.
Jika kita mendoakan orang bukan Islam dengan tujuan diampunkan Allah, atau dibalas syurga atau sebarang doa dengan tujuan kesejahteraan di akhirat, maka hukumnya haram.
Kita dilarang doa untuk bukan Islam dengan perkara yang tidak diimani atau dipercayai olehnya.
Oleh kerana mereka tidak beriman dengan hari akhirat atau pembalasan syurga dan neraka oleh Allah Taala, maka tidak dibolehkan untuk mendoakan mereka dengan hal-hal seperti itu.
Dalam Surah At-Taubah, ayat ke-113 ada menyatakan, yang bermaksud:
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”
Ayat ini dengan jelas sekali melarang orang Islam untuk mendoakan orang bukan Islam dengan tujuan diampunkan oleh Allah Taala.
Hukum mendoakan orang bukan Islam ini terpakai sama ada orang bukan Islam itu masih hidup atau telah meninggal dunia.
Untuk mualaf juga, jika ada ahli keluarga yang bukan Islam telah meninggal dunia, maka tidak boleh untuk mendoakan kesejahteraan bagi si mati di akhirat kelak.
Namun, kita boleh doa untuk bukan Islam bagi hal-hal ini

Akan tetapi, ada beberapa hal atau perkara yang mana orang Islam dibenarkan untuk mendoakan orang bukan Islam.
Orang Islam dibenarkan doa untuk bukan Islam dalam perkara-perkara keduniaan seperti mendoakan mereka agar panjang umur atau mendapat kesihatan yang baik.
Apatah lagi jika ada orang bukan Islam yang membuat kebaikan kepada kita, maka diharuskan untuk kita mendoakan kebaikan duniawi bagi mereka.
Selagi mana orang bukan Islam tidak menentang atau menunjukkan permusuhan dengan agama Islam, maka kita dibolehkan untuk mendoakan kebaikan kepada mereka.
Selain itu juga, kita dibenarkan untuk mendoakan keada mereka agar diberika hidayah untuk memeluk agama Islam.
Golongan mualaf sangat digalakkan untuk berdoa agar ahli keluarga mereka yang masih belum memeluk Islam, agar diberikan hidayah oleh Allah Taala.
Rasulullah sendiri pernah mendoakan agar Suku Daus yang tidak menerima Islam agar diberikan hidayah oleh Allah Taala.
Kesimpulan
Daripada penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa, mendoakan hal-hal keduniaan kepada orang-orang bukan Islam adalah diharuskan.
Begitu juga dengan mendoakan kepada mereka agar diberikan hidayah.
Namun, kita diharamkan untuk mendoakan mereka dengan perkara-perkara yang berkatan dengan akhirat dan keimanan kepada Allah.
Ini termasuklah keampunan selepas mati, kesejahteraan di akhirat atau diberikan pahala walaupun mereka telah berbuat baik kepada kita.
Wallahualam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- http://online.mdpekan.gov.my/online/esumber/agama/Doa_Untuk_Bukan_Islam.pdf
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3107-mendoakan-kepada-non-muslim-yang-melakukan-kebaikan-pada-kita
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3650-al-afkar-61-mendoakan-orang-bukan-islam-dengan-hidayah