Apa yang kita lihat di permukaan laut seperti air yang berombak mungkin hanya sedikit daripada rahsia kelautan yang kita tahu. Walaupun kita dapat melihat ombak di permukaan laut hasil daripada tiupan angin, sebenarnya terdapat juga ombak atau gelombang laut yang berlaku di bawah permukaan itu sendiri.
Keadaan gelombang laut bawah air ini ada diceritakan dalam ayat ke-40, Surah Annur yang berbunyi:
“Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis – apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).”
Pada permulaan ayat ini, ia menjelaskan berkenaan keadaan yang gelap gelita di lautan dalam. Al-Quran membuat perumpaan kegelapan lautan ini seperti seseorang yang menghulurkan tangannya ke dalam air laut tersebut, tetapi dia tidak akan mampu untuk melihat tangannya sendiri. Begitulah keadaan sebenar kegelapan di laut dalam.
Dengan kedalaman 200 meter kebawah, lautan sudah mula menjadi gelap. Manakala dengan kedalaman 1000 meter dan kebawah, tiada kehadiran cahaya yang dapat mencapai atau menembusi kedalaman tersebut.
Manusia pula sememangnya tidak mampu untuk menyelam dalam keadaan lautan yang gelap gelita tanpa sebarang alat bantuan menyelam.
Gelombang laut yang berlapis-lapis

Selain daripada penceritaan berkenaan suasana lautan yang gelap gelita, ayat daripada Surah Annur ini juga ada menceritakan berkenaan kewujudan gelombang laut yang berlaku di bawah permukaan air (internal waves).
Gelombang dalaman ini adalah gelombang yang berlaku dalam air laut itu sendiri. Gelombang dalaman laut ini biasanya disebabkan oleh lapisan air yang paling bawah ditolak melanggar sebarang halangan bawah air yang cetek seperti rabung batu.
Rabung tersebut menyebabkan gangguan pada aliran air yang seterusnya mewujudkan gelombang laut dalam lapisan air tersebut. Keadaan yang berlaku ini lebih kurang sama dengan kejadian ombak laut yang berlaku di permukaan air.
Namun, gelombang bawah air ini boleh berlaku sejauh berpuluh-puluh kilometer di bawah laut selama berjam-jam. Selain itu, gelombang bawah air ini juga sebenarnya berlaku lebih perlahan berbanding ombak di permukaan air.
Ini kerana wujudnya perbezaan ketumpatan antara dua jisim air yang lebih sedikit berbanding antara air dan juga udara. Air di bahagian atas laut mempunyai ketumpatan yang lebih rendah berbanding air di bahagian yang lebih bawah, justeru mewujudkan gelombang dalaman tersebut.
Keadaan ini bertepatan dengan maksud daripada ayat ke-40 Surah Annur tersebut dimana ayat tersebut ada menyatakan bahawa terdapat lapisan ombak yang berlaku di bawah laut.
Fakta Al-Quran bertepatan dengan penemuan kajian

Apa yang dinyatakan dalam Al-Quran ini sebenarnya amat tepat dengan penemuan ilmu kelautan. Al-Quran menyatakan dengan terperinci berkenaan lapisan kegelapan air bawah laut yang gelap gelita.
Manusia tidak mengetahui berkenaan keadaan lautan dalam ini sehinggalah pada tahun 1934, di mana Otis Barton dan William Beebe menyelam dengan kedalaman sehingga 900 meter dengan menggunakan alat seolah-olah kapal selam yang disebut bathysphere.
Selain itu, Al-Quran juga ada menyatakan sejak 1400 tahun yang lalu berkenaan kejadian gelombang laut dalaman yang berlaku. Manusia juga tidak pernah mengetahui berkenaan hal ini sehinggalah pada abad ke 19, hal ini diketahui melalui kajian dengan bantuan kapal selam.
Ini menunjukkan bahawa penerangan berkenaan kejadian alam yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia sebelum ini telah lama diceritakan dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim.
Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
Klemas, V. (2012). Remote Sensing of Ocean Internal Waves: An Overview.
https://www.webpages.uidaho.edu/~msa/tour/ch1-1-f.htm
https://blog.nationalgeographic.org/2014/08/15/commemorating-a-milestone-in-ocean-exploration/
https://earthobservatory.nasa.gov/images/3586/internal-waves-sulu-sea