Daripada awal zaman Al-Quran diturunkan, keaslian Al-Quran ini terpelihara dan dijaga dengan baik tanpa sebarang pengubahan oleh manusia. Dalam Al-Quran itu sendiri, Allah ada menyebut melalui ayat ke-9, Surah Al-Hijr:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Melalui ayat yang ringkas ini, Allah menyatakan dengan jelas bahawa Dialah yang menurunkan Al-Quran dan dengan kuasa Allah jugalah Al-Quran kekal dipeliharaNya.
Beberapa bukti berkenaan keaslian Al-Quran
#1. Penemuan manuskrip helaian Al-Quran antara tertua di dunia!

Terdapat beberapa bukti yang telah menunjukkan bahawa kalam Allah ini masih tetap sama dari dahulu sehinggalah sekarang. Antaranya ialah penemuan kepingan atau helaian Al-Quran purba yang ditemui daripada koleksi Cadbury Research Library, University of Birmingham.
Lembaran ini merupakan salah satu daripada sumber koleksi yang dibeli oleh Alphonse Mingana di sekitar Iraq atau Syria kira-kira 100 tahun yang lalu. Helaian Al-Quran tersebut dipercayai sebagai antara helaian Al-Quran tertua di dunia.
Hasil kajian melalui pentarikhan karbon-14, berkemungkinan helaian tersebut dihasilkan dalam tempoh masa kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Berkemungkinan juga ia dihasilkan sejurus selepas kewafatan baginda nabi.
Ini bermakna, ia berkemungkinan ditulis sama ada oleh sahabat-sahabat nabi sendiri atau murid kepada sahabat nabi itu.
Salah satu daripada lembaran tersebut tertulis ayat-ayat daripada Surah Toha bermula daripada ayat pertama sehingga ayat ke-12.
Ayat yang ditulis pula jelas sekali tidak berubah dengan apa yang kita baca dan hafal sehingga ke hari ini. Ini merupakan antara bukti kekalnya keaslian Al-Quran sejak dahulu sehinggalah sekarang.
#2. Diturunkan dalam bahasa yang masih digunakan oleh manusia

Ramai daripada kita semestinya tahu bahawa Al-Quran diturunkan oleh Allah dalam bahasa Arab, bahas pertuturan Nabi Muhammad S.A.W.
Sehingga hari ini, bahasa Arab masih lagi kekal sebagai bahasa yang dipertuturkan oleh manusia dan menjadi antara bahasa terbesar di dunia. Ia adalah bahasa ibunda bagi beratus juta manusia di muka bumi ini, malah terus dipelajari di negara-negara yang mana rakyatnya yang tidak bertutur dalam bahasa Arab.
Berbeza dengan kitab-kitab agama lain yang ditulis dalam bahasa yang kini tidak lagi dipertuturkan manusia secara meluas malah ada juga bahasanya yang telah pupus.
Ini jelas menunjukkan bahawa keaslian Al-Quran itu kekal terpelihara oleh Allah dengan penggunaan bahasa yang masih relevan sehingga hari ini.
#3. Tidak berbeza lafaznya walaupun telah beribu tahun diturunkan, ini salah satu bukti keaslian Al-Quran

Walaupun telah diturunkan sejak beribu tahun yang lalu, Al-Quran masih tidak berubah sehingga kini. Buktinya, tidak terdapat perbezaan daripada segi lafaznya walaupun telah dihafal oleh beribu-ribu orang sejak dari awal penurunannya.
Jika kita mendengar seseorang dari benua Asia dan benua Afrika membacakan hafalan Al-Quran mereka, kedua-duanya adalah sama.
Jika benar terdapat perubahan pada lafaz atau ayat Al-Quran ini, sudah pasti versi kedua-dua penghafal ini akan menjadi berbeza apatah lagi pada waktu di mana Al-Quran disebarkan melalui hafalan semata-mata tanpa sebarang teks mushaf seperti zaman sekarang.
Namun, tiada sebarang perbezaan pernah ditemukan.
Kekal relevan sehingga hari kiamat
Al-Quran diturunkan oleh Allah Taala sebagai satu panduan untuk manusia menjalani hidup dengan baik di muka bumi. Kandungan Al-Quran itu sendiri telah merangkumi pelbagai aspek seperti ketauhidan, syariat hidup, tatacara hidup manusia selain kebesaran Allah melalui penciptaan alam semesta.
Walaupun telah diturunkan sejak beribu tahun yang lalu, apa yang terkandung dalam Al-Quran itu masih relevan untuk dijadikan sebagai panduan hidup manusia sehingga hari kiamat.
Disebalik penurunannya dalam bahasa Arab, ia bukanlah halangan untuk manusia di seluruh dunia memahami segala apa yang terkandung di dalamnya.
Al-Quran kini bukan sahaja dicetak berjilid-jilid untuk kegunaan manusia di seluruh dunia, malah ia terus dihafal oleh para huffaz untuk menjaga keaslian Al-Quran.
Rujukan:
Al-Quran Al-Karim