Bolehkah Terima Hadiah Makanan Daripada Orang Bukan Islam?

Jiran anda yang bukan beragama Islam datang ke rumah dan menghadiahkan hidangan makanan kepada anda. Dia menyatakan bahawa hidangan tersebut halal dan sememangnya dia membelinya daripada tempat yang halal. Adakah anda akan menerima hadiah makanan dan makan makanan tersebut?

Boleh dimakan hadiah makanan jika diyakini halalnya

hadiah makanan

Syarat utama bagi sesuatu makan tersebut disahkan halal ialah bahan makanan tersebut serta cara penyediaan makanan tersebut.

Bahan makanan tersebut perlulah dipastikan halal seperti daging yang disembelih secara halal dan bukanlah daging haiwan yang dilarang untuk dimakan.

Selain itu, cara penyediaannya juga perlu dipastikan dengan baik seperti tidak bercampur dengan bahan yang haram dan tidak menggunakan peralatan yang telah digunakan untuk memasak makanan haram yang lain.

Jika kedua-dua kriteria ini dipenuhi, maka makanan tersebut disahkan halal.

Jika jiran anda menghadiahkan kepada anda bungkusan makanan, anda harus memakannya jika ia benar-benar telah dipastikan status halalnya.

Selagi mana makanan tersebut daripada jenis yang halal dimakan, dan disediakan dengan cara yang berlandaskan syarak, maka adalah tidak elok jika anda menolaknya kerana ia adalah hadiah.

Selagi mana makanan tersebut halal, maka anda boleh memakannya tidak kira siapa pun yang menghadiahkannya.

Kisah Nabi menerima hadiah makanan daging kambing beracun

Diriwayatkan sebuah kisah di mana seorang wanita Yahudi yang pernah menghadiahkan daging kambing kepada Nabi.

Yahudi tersebut telah mengetahui bahawa Nabi amat menggemari daging kambing, lalu dihadiahkan daging kambing yang telah dimasukkan dengan racun kepada baginda.

Nabi kemudiannya telah memakan daging tersebut, dan menyedari bahawa dirinya telah diracun.

Hadis ini menunjukkan, walaupun pada akhirnya Nabi telah diracun akibat hadiah daripada individu yang bukan Islam, tidak ada sebab untuk kita menolak pemberian orang bukan Islam kepada kita.

Nabi mengajarkan kepada kita agar menerima pemberian atau hadiah makanan daripada orang bukan Islam tanpa mempersoalkannya.

Jika kita yakin mengenai status hadiah makanan tersebut, maka harus untuk kita memakannya. 

Bagus bersikap berhati-hati, tapi jangan sampai menyusahkan diri

hadiah makanan

Sememangnya sikap berhati-hati dalam mencari yang halal adalah satu kewajipan.

Namun, kita tidak perlu bertindak sehingga bertanya kepada pemberi hadiah makanan tersebut soalan-soalan yang boleh mengguriskan hati.

Ada yang mungkin bertanya, apakah sumber pendapatan yang digunakan untuk membeli hadiah makanan tersebut.

Soalan seperti ini agak keterlaluan kerana ia secara tidak langsung melukakan hati pemberi hadiah tersebut. Selain itu, kita tidak perlu bersifat was-was sehingga menyusahkan diri kita sendiri.

Bayangkan jika anda menetap di luar negara, sudah pasti untuk menemukan barangan halal itu agak terbatas.

Namun, tidak perlulah sehingga mahu mencari produk makanan yang berlogo halal JAKIM semata-mata ingin menjaga status halalnya.

Bertindak bijaklah dengan menentukan produk makanan yang diyakini halal. 

Menerima hadiah makanan juga adalah satu bentuk dakwah

Bukan hanya memberi hadiah, tetapi menerima hadiah makanan daripada orang lain terutamanya orang bukan Islam juga adalah satu dakwah.

Ia menunjukkan sikap keterbukaan dan kemesraan orang Islam kepada orang bukan Islam.

Apabila kita menerima hadiah mereka, maka mereka pasti akan berasa gembira dan melembutkan hati mereka untuk mengenali Islam secara perlahan-lahan.

Oleh itu, jangan sakiti hati pemberi hadiah tersebut dan terima sahaja pemberian mereka walaupun bukan beragama Islam. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *