Terdapat satu isu yang mungkin pernah anda dengar mengenai hukum berjabat tangan dengan orang bukan Islam.
Isu tersebut ialah, haram bersalaman dengan mereka yang bukan Islam kerana orang bukan Islam dianggap najis.
Bagaimana isu ini boleh timbul dan apakah jawapannya?
Pandangan menyatakan orang bukan Islam sebagai najis

Ada beberapa pandangan yang menyatakan bahawa orang bukan Islam sebagai najis.
Oleh itu, kita tidak boleh menyentuh mereka apatah lagi berjabat tangan.
Pandangan ini diketengahkan berdasarkan ayat Al-Quran daripada Surah At-Taubah, ayat ke-28 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Hanya akidah, bukan tubuh badan mereka
Perlu dijelaskan dengan terang, bahawa maksud ayat tersebut bukanlah bermakna orang-orang bukan Islam adalah najis daripada segi fizikal.
Pandangan mengatakan bahawa orang bukan Islam adalah najis sebenarnya tidak benar.
Maksud najis dalam ayat tersebut sebenarnya merujuk kepada kepercayaan atau akidah mereka sahaja yang perlu dijauhi oleh orang Islam.
Oleh itu, tidak wujud larangan untuk orang Islam menyentuh dan berjabat tangan dengan orang bukan Islam.
Jumhur ulama’ juga berpendapat sebegini berdasarkan keadaan di mana Nabi Muhammad pernah mengambil wuduk menggunakan bejana milik orang Musyrik.
Selain itu, ada juga keadaan di mana Nabi Muhammad pernah memakan keju yang dihasilkan dari negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dimasak oleh orang Yahudi.
Kesemua keadaan ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad tidak pernah menganggap fizikal orang-orang bukan Islam sebagai najis.
Jika benarlah mereka itu najis, sudah pasti Nabi Muhammad akan menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan mereka.
Hukum berjabat tangan: sentiasa berlapang dada bagi menjaga keharmonian

Kehidupan bermasyarakat dengan kepelbagaian agama dan budaya mendidik kita untuk lebih berlapang dada.
Jangan sesekali bersikap seperti ini sewaktu berhadapan dengan orang bukan Islam.
Jika tidak, ia pasti akan menimbulkan kemarahan mereka atau membuatkan mereka berkecil hati.
Kejadian seperti ini hanya akan membuatkan mereka semakin jauh daripada Islam.
Tunjukkanlah akhlak yang baik kerana sesungguhnya akhlak yang baik itu juga merupakan satu medium dakwah yang berkesan.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd.
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1177-al-kafi-316-orang-bukan-islam-najis-mughallazah