Apakah Hukum Mendengar Lagu & Nyanyian Dalam Islam? Adakah Ia Haram?

Benarkah Islam mengharamkan nyanyian dan lagu-lagu? Atau ada terdapat kelonggaran bagi jenis-jenis lagu dan alat muzik tertentu? Soal hukum mendengar lagu dalam Islam ini sering menjadi antara isu yang kerap dibincangkan dalam kalangan orang Islam.

Jadi, apakah hukum sebenarnya?

Ada perbezaan pendapat dalam penentuan hukum mendengar lagu

Sejak dahulu lagi, ulama’ dan ahli feqah telah berselisih pendapat mengenai hukum mendengar lagu.

Hukum mendengar lagu ini mempunyai beberapa pendapat tanpa mengira sama ada lagu tersebut diiringi alat muzik ataupun tidak.

Kebanyakan ulama’ mengharamkan sebarang lagu atau nyanyian jika ia mengandungi perkara-perkara yang keji, buruk atau mendorong seseorang itu kearah kemaksiatan.

Nyanyian juga dibolehkan sekiranya ia adalah nyanyian yang baik, yang dinyanyikan pada majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, menyambut tetamu atau pada hari raya.

Bagi jenis nyanyian itu sendiri pula, ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini.

Ada ulama’ yang membolehkan nyanyian tidak kira sama ada ia menggunakan alat muzik ataupun tidak.

Ada juga ulama’ yang membenarkan nyanyian tanpa iringan alat muzik, tetapi mengharamkan nyanyian jika dinyanyikan bersama alat muzik.

Ada juga yang mengharamkan nyanyian tidak kira ia menggunakan muzik atau tidak. 

Hukum mendengar lagu: pendapat yang mengharamkan nyanyian atau lagu

hukum mendengar lagu

Terdapat majoriti ulama’ dan fuqaha yang berpendapat bahawa penggunaan alat muzik adalah haram.

Ada juga sebahagian daripada mereka yang mengharuskan penggunaan alat muzik tertentu sahaja.

Antara dalil yang dirujuk bagi pengharaman alat muzik ialah seperti berikut:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan dirinya dan orang ramai dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”

(Surah Luqman, ayat 6)

Ibnu Abbas menafsirkan bahawa ia merujuk kepada muzik atau lagu.

Mujahid pula menafsirkannya kepada al-Lahwu dan al-Tobl.

Hasan al-Basri juga menafsirkannya sebagai muzik dan al-Mazamir.

Selain itu, terdapat juga beberapa buah hadis yang menjadi sandaran kepada pengharaman muzik dan nyanyian.

Rasulullah pernah bersabda dengan maksud:

“Akan ada di antara umatku, satu  kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.”

(Sahih Bukhari)

Hukum mendengar lagu: pendapat ulama’ yang mengharamkan nyanyian

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ terkenal yang mengharamkan muzik dan juga nyanyian.

Imam Malik pernah menyatakan bahawa hanya orang yang fasik yang terlibat dengan aktiviti nyanyian dan juga muzik.

Ibnu Taimiyah pula menyatakan mendengar muzik boleh memberikan mudarat kepada pegangan agama seseorang, oleh itu ia tidak boleh dilakukan.

Imam Nawawi pula menyatakan pengharaman nyanyian berdasarkan kesepakatan ulama’ mengenai upah yang diterima oleh penyanyi hasil daripada aktiviti nyanyiannya. 

Pendapat yang mengharuskan nyanyian atau lagu

hukum mendengar lagu

Sungguhpun begitu, terdapat juga beberapa pendapat lain yang mengharuskan nyanyian dan lagu.

Penentuan keharusan nyanyian dan lagu ini juga bersandarkan kepada beberapa dalil dan hujah.

Antara dalil yang dirujuk bagi pengharusan nyanyian dan lagu adalah seperti berikut. Maksudnya:

Daripada Aisyah R.A., dia berkata: Aisyah R.A. mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi oleh seorang lelaki. Rasulullah S.A.W pun bersabda: “Wahai ‘Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.

(Sahih Bukhari)

Daripada Aisyah R.A., beliau meriwayatkan: Suatu hari Abu Bakar RA datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Nabi Muhammad SAW ada bersamanya pada hari itu. Bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali. Maka Nabi SAW pun berkata “biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita.”

(Sahih Bukhari dan Muslim)

Pendapat ulama’ yang mengharuskan nyanyian

Sebahagian besar pendapat ulama’ yang mengharuskan nyanyian dan lagu ini adalah daripada fatwa dan pandangan ulama’ kontemporari.

Antaranya ialah:

Fatwa Darul Ifta’ Mesir

Menurut fatwa daripada Darul Ifta’, nyanyian boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang haram dan juga harus.

Nyanyian menjadi haram jika ia bertujuan kearah maksiat.

Nyanyian juga boleh menjadi harus jika ia berunsur keagamaan, semangat kenegaraan atau melambangkan kegembiraan seperti dalam sesuatu perayaan.

Nyanyian dan lagu juga mestilah bebas daripada unsur-unsur maksiat lain yang boleh menyebabkan pengharamannya. 

Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi

Dr. Yusof al-Qaradhawi amat terkenal dengan fatwa dan pandangannya yang lebih kontemporari dan seiring dengan perkembangan semasa.

Pandangan beliau adalah sama dengan pandangan atau fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta’s Mesir.

Selain itu, beliau juga berpendapat bahawa hukum harus untuk nyanyian dan lagu adalah berdasarkan hukum asal bagi sesuatu perkara yang baik dan indah iaitu harus.

Unsur-unsur tambahan kepada sesuatu perkara tersebut yang kemudiannya menjadikannya dihukumkan haram atau makruh tahrim. 

Dakwah berkembang melalui nyanyian dan lagu

hukum mendengar lagu

Hukum bagi mendengar nyanyian atau bermain alat muzik bukanlah satu hukum yang tetap atau bersifat mutlak.

Ia mempunyai beberapa pandangan tertentu yang turut disertai dengan dalil dan hujah yang kuat bagi menyokong penentuan hukum tersebut.

Untuk umat masa kini, nyanyian lagu dan juga muzik sebenarnya boleh menjadi salah satu medium atau platform dakwah Islam.

Kita mengambil contoh bagaimana kegemilangan kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Inteam yang berjaya mempelopori industri muzik negara ini sehingga lagu mereka menjadi siulan ramai.

Muzik dan nyanyian yang indah pasti disukai ramai, apatah lagi jika ia membawa mesej yang baik.

Nyanyian dan lagu merupakan satu medium untuk orang Islam berdakwah melalui cabang atau bidang kesenian.

Paling penting, nyanyian atau lagu tersebut mestilah bebas daripada perkara-perkara yang haram atau melalaikan sehingga meninggalkan perkara yang wajib untuk dilakukan. 

Rujukan:

http://www.surah.my/31#6

https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11420

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3570-bayan-linnas-siri-ke-197-islam-dan-muzik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *