Wajibkah Seseorang Mualaf Mengisytiharkan Pengislaman Mereka?

Bagi individu yang baru memeluk Islam, mereka mungkin mempunyai dilema yang paling besar; menyatakan pengislamannya.

Ini kerana, ada beberapa kebaikan dan juga keburukan sekiranya berbuat demikian. Adakah mereka wajib mengisytiharkan pengislaman mereka?

Tidak wajib bagi individu yang baru memeluk Islam menyatakan pengislamannya

Dalam Islam, mengumumkan bahawa seseorang itu telah memeluk Islam bukanlah satu perkara yang wajib.

Pengumuman ini tidak termasuk dalam syarat sah keislaman seseorang. Perkara yang mengesahkan keislaman seseorang itu hanyalah ucapan dua kalimah syahadah dan juga disaksikan oleh seorang saksi lelaki.

Jika seseorang mualaf itu berniat untuk tidak mengisytiharkan pengislamannya, maka ia bukanlah menjadi satu masalah atau dosa kepadanya. 

Kebaikan mengisytiharkan pengislaman

individu yang baru memeluk islam

Bagi seseorang mualaf, ada beberapa manfaat yang boleh didapati sekiranya dia mengumumkan pengislamannya.

Salah satunya ialah, dia boleh memberitahu kepada masyarakat di sekitarnya bahawa dia sudah memeluk Islam.

Dengan itu, tidak timbul lagi tanggapan orang ramai bahawa dia bukanlah penganut Islam.

Malah, tidak timbul fitnah jika dia hadir ke masjid bagi menunaikan solat atau melakukan ajaran agama Islam kerana orang ramai telah mengetahui pengislamannya.

Kesan negatif jika tidak mengisytiharkan pengislaman

Mengisytiharkan pengislaman ini bukanlah satu perkara yang mudah.

Kerana ia melibatkan pertukaran agama yang pastinya memberikan kesan terhadap orang di sekelilingnya.

Antara sebab utama mengapa kebanyakan mualaf tidak menyatakan pengislaman mereka adalah kerana penerimaan keluarga.

Mereka tidak mengetahui apakah reaksi dan tindak balas ahli keluarga yang lain terutama ibu bapa mereka sekiranya tahu mereka telah memeluk Islam.

Ada risiko untuk dipulaukan oleh keluarga, malah ada juga yang menerima ugutan yang mengancam nyawa.

Namun, jika terus disembunyikan, ia mungkin akan menimbulkan banyak masalah di kemudian hari terutama apabila telah meninggal dunia.

Antara isu yang akan timbul sekiranya disembunyikan pengislaman seseorang ialah seperti:

  • Status perkahwinan semasa
  • Hak jagaan anak
  • Urusan kematian
  • Harta pusaka
  • Harta sepencarian

Ada sejarah sahabat nabi yang menyembunyikan pengislaman mereka

individu yang baru memeluk islam

Sahabat-sahabat Nabi yang terawal memeluk Isam kebanyakannya menyembunyikan pengislamannya.

Ini kerana mereka berasa bimbang dengan ancaman yang akan berlaku di sekeliling mereka.

Sebagai contoh, Bilal bin Rabah dan keluarga Ammar bin Yasir adalah antara mereka yang teruk diseksa setelah majikan mereka mengetahui pengislaman mereka.

Namun, ada juga para sahabat yang berani menyatakan pengislaman mereka seperti Saidina Umar Bin Al-Khattab.

Tetapi perlu juga diketahui keadaan Saidina Umar pada ketika itu.

Beliau adalah seorang yang kaya, merdeka dan juga bengis sehingga tiada orang yang berani melawannya ketika beliau menyatakan pengislamannya.

Berbeza dengan keluarga Ammar bin Yasir serta Bilal yang mana mereka adalah golongan hamba yang sangat mudah terdedah kepada ancaman. 

Nyatakan untuk kemaslahatan dirinya

Perlu difahami bahawa tidak wajib dan tidak boleh dipaksa seseorang mualaf itu untuk menyatakan pengislamannya.

Ini kerana mereka mempunyai kekhuatiran mereka sendiri dan perlu diberi masa untuk mereka menyatakan pengislaman mereka.

Namun, disarankan kepada golongan mualaf untuk segera mengisytiharkan pengislaman mereka agar tidak timbul kesulitan pada masa hadapan.

Mereka perlu menyatakannya kepada pentadbir agama di sesuatu tempat seperti pegawai pejabat agama dan imam masjid lokasi dia menetap agar tidak timbul fitnah dan mengelakkan masalah.

Dia boleh menyembunyikan pengislamannya daripada keluarga dan rakan buat sementara waktu jika berasa dirinya berada dalam keadaan terancam.

Pihak berkuasa agama dan masyarakat setempat perlulah memberikan perlindungan dan bantuan kepada golongan mualaf sekiranya mereka diancam mana-mana pihak. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *