Istilah pengganas atau agama yang menggalakkan keganasan tidak lari daripada imej Islam pada misi kini. Media barat banyak menggambarkan Islam dengan istilah-istilah negatif seperti ini. Namun, penganut Islam bukan pengganas seperti yang dijaja oleh media-media barat.
Apakah hujah bagi menguatkan pernyataan bahawa kita bukanlah pengganas seperti yang dicanangkan?
Streotaip terhadap Islam memicu serangan terhadap Muslim

Islam sering dicanangkan sebagai agama keganasan atau agama yang bermasalah. Terbaharu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan bahawa agama Islam sebagai agama yang sedang menghadapi krisis di seluruh dunia.
Apabila streotaip terhadap Islam ini muncul, maka berlakulah banyak diskriminasi dan serangan terang-terangan terhadap Islam. Sebagai contoh, golongan wanita Islam diserang secara fizikal di beberapa negara seperti di Amerika Syarikat.
Terbaharu, dua orang wanita Muslim telah ditikam dengan pisau oleh dua orang wanita lain di Perancis. Kesemua tindakan ini muncul hasil islamofobia yang mengaitkan bahawa Islam itu satu ajaran keganasan.
Perbezaan istilah pengganas dan pejuang berdasarkan pandangan yang berbeza
Sebenarnya, istilah sama ada pengganas atau pejuang yang diguna pakai ini bergantung kepada konteks atau pandangan sesebuah pihak tersebut.
Sebagai contoh, sebelum negara India mendapat kemerdekaannya daripada pihak British, terdapat beberapa pejuang kemerdekaan India yang tidak menggunakan kekerasan bagi mendapatkan kemerdekaan bagi India.
Pada mata pihak British, kumpulan individu ini dianggap sebagai pengganas walaupun mereka sendiri tidak bertindak menggunakan kekerasan.
Pada mata penduduk India pula, mereka menganggap bahawa kumpulan individu ini sebagai pejuang, patriot atau wira untuk mereka.
Kita boleh lihat bagaimana individu yang sama, dengan perlakuan yang sama tetapi mempunyai dua gelaran yang berbeza bergantung kepada pihak yang melihat mereka.
Oleh sebab itu, seseorang itu tidak boleh sama sekali digelar sebagai pengganas sehinggalah dia diadili dengan adil. Proses pengadilan ini akan mendengar hujah kedua-dua belah pihak dan barulah diadili dengan sewajarnya.
Islam bukan pengganas kerana pengganas tidak mengenal agama

Mana-mana agama di dunia ini tidak mengajar penganutnya untuk menjadi seorang pengganas. Lebih-lebih lagi agama Islam yang menyeru kearah kedamaian dan keharmonian.
Walaupun individu yang melakukan keganasan itu seorang Muslim, tidak bermakna kesemua Muslim adalah pengganas. Apatah lagi membuat tanggapan umum bahawa ajaran Islam mengajak kearah keganasan.
Ada juga pengganas lain yang ternyata bukan seorang Muslim, tetapi tidak pula digelar pengganas sebaliknya hanya penjenayah. Jika yang melakukannya seorang Kristian, tidak pula kita menganggap kesemua penganut Kristian adalah pengganas.
Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di New Zealand membuktikan pengganas tidak mengenal agama. Dalam tragedi tembakan di dua buah masjid sekitar Christchurch, New Zealand tersebut, yang menjadi mangsa adalah Muslim manakala penembaknya pula adalah seorang Kristian.
Kejadian tersebut membuktikan sesiapa sahaja boleh menjadi pengganas kerana agama dan bangsa bukan sebab utama seseorang menjadi pengganas.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sendiri menyatakan bahawa agama bukanlah punca seseorang itu menjadi pengganas. Tetapi ia berpunca daripada kehidupan sebelumnya yang kurang baik.
Sifat kebencian jadi punca seseorang jadi pengganas

Agama Islam tidak mengajar penganutnya untuk menjadi seorang pengganas. Kebanyakan aktiviti keganasan yang berlaku hanyalah kerana disebabkan ideologi melampau atau menyalah tafsir ayat Al-Quran atau ajaran Islam yang sebenar.
Keganasan yang berlaku juga boleh berpunca daripada sifat kebencian atau perasaan ingin membalas dendam. Sebagai contoh, penyerang masjid di New Zealand sendiri mengakui tindakan yang dilakukannya itu adalah sebagai satu tindakan balas terhadap keganasan yang dilakukan oleh orang Islam.
Disebabkan rasa dendam dan ditambah lagi dengan sentimen Islamofobia, dan salah faham terhadap Islam, dia membunuh puluhan orang Islam yang tidak berdosa.
Perasaan dan sifat yang melampau menentukan seseorang itu menjadi pengganas, bukannya ajaran sesuatu agama seperti agama Islam.