Islam Tersebar Melalui Mata Pedang & Kekerasan? 5 Hujah Ini Menyatakan Sebaliknya

Bagaimana untuk menjawab persoalan jika ada yang menyatakan bahawa Islam tersebar dengan pedang atau melalui peperangan dan kekerasan? Ini hujah yang boleh kita gunakan.

Islam bermaksud selamat dan sejahtera

islam tersebar dengan pedang

Perkataan ‘Islam’ itu sendiri berasal daripada perkataan dasar bahasa Arab iaitu ‘Salam’ yang bermaksud sejahtera atau selamat. Ia juga bermaksud penyerahan diri atau taat kepada segala ajaran dan perintah Allah Taala.

Dengan kata lain, Islam bermakna kesejahteraan yang diperoleh daripada ketaatan kepada Allah Taala. Daripada konteks makna perkataan itu sendiri, Islam tidak membawa maksud sebarang kekerasan atau kekejaman. Malah, ia menyeru kearah kesejahteraan semata-mata.

Kadangkala kekerasan perlu bagi memelihara kesejahteraan

Tidak semua individu yang hidup di dunia ini menyukai keharmonian dan juga kesejahteraan.

Walaupun kita mungkin berkelakuan baik, namun pasti ada sebilangan individu yang suka melakukan kekacauan, huru-hara dan melakukan kejahatan terhadap anggota masyarakat yang lain.

Oleh sebab itu, dalam setiap negara pasti mempunyai pasukan keselamatan seperti polis mereka sendiri. Apakah tujuan pasukan polis ini diwujudkan? Tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti daripada diganggu gugat oleh pihak lain seperti pengganas atau penjenayah.

Dalam Islam, ajaran kita mengajarkan kita untuk melawan segala bentuk kekerasan dan penindasan yang berlaku. Perjuangan melawan penindasan ini kadangkala turut melibatkan kekerasan.

Namun, kekerasan yang dibenarkan hanya untuk tujuan memelihara kesejahteraan dan juga keadilan sahaja.

Ini jawapan untuk dakwaan Islam tersebar dengan pedang

Bagi menjawab dakwaan ini, kita boleh melihat kepada apa yang disebutkan oleh De Lacy O’Leary. De Lacy O’Leary ialah seorang orientalis berbangsa British yang berkhidmat di University of Bristol, United Kingdom.

Beliau menulis beberapa buah buku mengenai kajian beliau terhadap sejarah awal masyarakat Arab dan Kristian Koptik.

Dalam sebuah bukunya yang berjudul ‘Islam at The Cross Roads’ yang diterbitkan pada tahun 1923, beliau menyatakan hal seperti berikut:

“Sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa lagenda umat Islam fanatik yang bergerak ke serata dunia dan memaksa kaum yang ditawan untuk memeluk Islam dengan cara kekerasan, adalah sebenarnya salah satu mitos karut terhebat yang pernah diulangi oleh sejarawan”

Anda boleh lihat sendiri bagaimana mitos Islam tersebar dengan pedang ini dinafikan sendiri oleh penyelidik sejarah yang bukan beragama Islam. 

Bukti boleh dilihat daripada sejarah pemerintahan Umayyah di Sepanyol

islam tersebar dengan pedang

Dinasti Umayyah pernah memerintah wilayah Sepanyol hampir 800 tahun lamanya.

Namun, orang-orang di Sepanyol tidak sekalipun memaksa mereka yang bukan beragama Islam untuk menukar agama mereka kepada Islam. Apatah lagi menggunakan kekerasan seperti melalui peperangan.

Sebaliknya, sejarah membuktikan sewaktu pihak Tentera Salib Kristian menawan Sepanyol daripada pemerintahan Islam, ramai orang Islam dipaksa menukarkan agama mereka malah ramai juga yang dibunuh kerana keislaman mereka.

Laungan azan juga dilarang sama sekali pada ketika itu.

Jika benar Islam tersebar dengan pedang, tidak mungkin wujud 14 juta orang Arab beragama Kristian Koptik

Tidak semua orang Arab beragama Islam, malah ada sejumlah 14 juta orang Arab sebenarnya beragama Kristian Koptik sejak daripada dahulu lagi.

Islam telah memerintah tanah Arab selama 1400 tahun, namun sehingga hari ini, penganut Kristian Koptik masih lagi ada dengan jumlah mereka yang boleh dikatakan agak ramai.

Jika benarlah Islam disebarkan melalui peperangan dan kekerasan, pastinya tiada lagi orang Arab yang beragama Kristian di tanah Arab pada hari ini. 

Islam tersebar dengan pedang? Lihat pemerintahan orang Islam di India

islam tersebar dengan pedang

Sejarah membuktikan bahawa wilayah India pernah dikuasai dan diperintah oleh dinasti-dinasti yang beragama Islam. Antaranya ialah Kesultanan Delhi, Kesultanan Bengal, Empayar Mughal, dan pelbagai lagi kerajaan kecil Islam yang lain.

Namun, mereka tidak pernah memaksa orang bukan Islam pada ketika itu untuk memeluk Islam. Jika tidak, pasti seluruh wilayah India pada hari ini sudah diduduki oleh majoriti penduduk Muslim.

Sebagai fakta, 80% penduduk Negara India pada hari ini bukanlah beragama Islam walaupun Islam pernah memerintah India selama lebih kurang 1000 tahun. 

Bukti nyata di Indonesia dan Malaysia

Pada hari ini, Indonesia diiktiraf sebagai sebuah negara yang memiliki jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia. Sebanyak 87.2% penduduk Indonesia adalah Muslim yang mewakili sekitar 225 juta orang (data pada tahun 2010).

Di Malaysia pula, majoriti penduduknya adalah Muslim iaitu sekitar 61.3% yang mewakili 19.5 juta orang. Namun, pernahkah kita mendengar sebarang pasukan tentera Islam yang datang menakluk Malaysia dan Indonesia untuk memaksa penduduknya memeluk Islam satu ketika dahulu?

Tidak bukan. Islam di Nusantara tersebar melalui perdagangan dan juga dakwah secara hikmah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *