Kaum Melanau Percaya Kewujudan Allah Taala?

Kaum Melanau adalah antara etnik terbesar yang mendiami Negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Selain kepercayaan tradisional masyarakat Iban, kita juga perlulah mengetahui apakah kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat Melanau. 

Populasi penduduk kaum Melanau di Sarawak

Selain Melanau, suku kaum ini juga dikenali dengan nama A Liko.

Selain itu, ejaan dan juga sebutan bagi kaum ini juga telah banyak kali berubah.

Ia pernah dikenali dengan nama Milanos, Melano, Milanowes. Namun, sebutan yang paling diterima ramai ialah Melanau.

Bagi orang Melanau sendiri, mereka lebih gemar menggelarkan komuniti mereka sebagai A Liko.

Berdasarkan bancian yang dilakukan pada tahun 2010, jumlah mereka yang berketurunan Melanau di Sarawak adalah sebanyak 123,410 orang.

Jumlah ini mewakili kira-kira 5% daripada keseluruhan penduduk di Sarawak.

Dengan jumlah ini, kaum Melanau diiktiraf sebagai suku kaum kelima terbesar di Sarawak.

Kepercayaan kaum Melanau mengenai alam semesta

kaum melanau

Kepercayaan utama orang-orang Melanau boleh dibahagikan kepada tiga kepercayaan utama iaitu Islam, Kristian dan juga kepercayaan animisme.

Bagi mereka yang mengamalkan kepercayaan animisme, mereka percaya bahawa dunia ini mempunyai tiga lapisan utama iaitu lapisan atas, lapisan pertengahan dan lapisan bawah.

Lapisan atas dikenali sebagai Langit. Pertengahan pula dikenali sebagai Tana’. Manakala yang bawah dikenali sebagai Iyang.

Langit merupakan satu wilayah atau kawasan kayangan. Tana’ pula adalah permukaan bumi yang didiami oleh manusia dan hidupan lain. Manakala Iyang pula  adalah kawasan dalam air di bawah bumi.

Kaum Melanau juga percaya kepada kewujudan kuasa ghaib yang disebut sebagai Ipo’. Ia juga disebut dengan nama Ipu’ atau Ipuk.

Ipo’ dipercayai menguasai segala semangat yang ada di bumi. Setiap Ipo’ berkuasa ke atas wilayah yang dikuasainya.

Kuasa Ipo’-Ipo’ juga berbeza bergantung kepada hierarki masing-masing. Contohnya, Ipo’ Langit, Ipo’ Tana’ dan Ipo’ Iyang mempunyai posisi yang lebih tinggi dan berkuasa daripada Ipo’ yang lain.

Antara Ipo’ lain yang wujud dalam kepercayaan masyarakat Melanau ialah Ipo’ Daat (Dewa Laut), Ipo’ Alan (Dewa Hutan), Ipo’ Lebo’ (Dewa Rumah) dan Ipo’ Kala (Dewa Muara).

Secara umumnya, kesemua Ipo’ adalah pengampun dan pengasih. Namun, jika wilayah kekuasaannya dicerobohi atau melanggar sebarang pantang larang, barulah Ipo’-Ipo’ ini akan marah dan menurunkan bencana kepada manusia.

Jika seseorang itu telah melakukan kesilapan dan membuat Ipo’ marah, mereka dikehendaki melakukan persembahan semah selain meminta keampunan. Dengan itu, bencana dapat dielakkan.

Selain daripada Ipo’, kaum Melanau juga percaya dengan kewujudan entiti lain dalam dunia ghaib.

Ini termasuklah kewujudan makhluk halus eperti jin, Amow (hantu), Duhig dan juga Tow (iblis atau syaitan).

Mereka akan meminta pertolongan daripada bomoh atau pawang sebagai perantara antara manusia dan juga makhluk halus ini. 

Orang Melanau percaya Allah Taala?

Dalam kepercayaan tradisional orang Melanau, mereka mempercayai kewujudan Allah Taala atau juga disebut sebagai Alaataala’.

Mereka percaya bahawa Allah Taala berperanan mencipta segala makhluk di bumi termasuklah manusia.

Mereka juga percaya bahawa Allah Taala mencipta manusia daripada tanah, tetapi makhluk pertama yang diciptakan itu bernama Buah.

Walaupun sebutannya sama dengan Tuhan orang Islam, namun kepercayaan yang dipegang oleh orang Melanau ternyata berbeza dengan Allah dalam ajaran Islam.

Menurut kajian, istilah ‘Allah Taala’ dalam kepercayaan kaum Melanau mungkin diambil daripada agama Islam disebabkan oleh proses perubahan dan asimilasi dalam masyarakat Melanau, selain percampuran dengan orang-orang Islam. 

Pentingnya mengetahui Pesta Kaul dalam masyarakat Melanau

kaum melanau

Pesta Kaul atau Perayaan Kaul merupakan antara adat paling lama yang masih diamalkan oleh orang Melanau.

Ia merupakan satu perayaan tahunan dan merupakan perayaan yang sangat penting bagi orang Melanau.

Tujuan Pesta Kaul diadakan adalah untuk memberikan penyembahan kepada Ipo’ Kala atau Dewa Muara.

Pesta Kaul akan diadakan di tebing sebelah kanan muara sungai kerana ia adalah lokasi pertemuan antara daratan, lautan dan juga sungai.

Pemilihan lokasi ini amat penting kerana ia berkait rapat dengan kegiatan ekonomi masyarakat Melanau.

Semasa Pesta kaul, doa dan sembahan akan dilakukan agar Ipo’ memberikan kedamaian selain meningkatkan hasil tanaman dan tangkapan pada tahun berikutnya.

Pesta Kaul biasanya diadakan pada bulan Mac selepas tamatnya musim tengkujuh atau musim banjir. 

Pentingnya tahu budaya Melanau

Masyarakat Melanau juga dikenali sebagai masyarakat yang sangat fleksibel.

Menurut kajian oleh Saiee Driss pada tahun 1996, Melanau adalah antara kaum yang boleh menerima kepelbagaian agama dalam kalangan ahli keluarga mereka tanpa sebarang halangan dan juga masalah.

Oleh itu, sebagai pendakwah, adalah lebih elok untuk kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai budaya dan kepercayaan tradisional mereka sebelum mula memperkenalkan Islam kepada mereka.

Rasa hormat terhadap budaya dan kepercayaan kaum lain pasti akan menyenangkan hati mereka, seterusnya membuka hati mereka untuk mendengar mengenai Islam.

Rujukan:

http://www.ukm.my/rsde/wp-content/uploads/2014/11/09-adat-Malanau.pdf

https://www.researchgate.net/publication/275529137_KEPERCAYAAN_ETNIK_MELANAU_DARI_SUDUT_PANDANG_ISLAM_SUATU_ANALISA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *