Di Negeri Sabah, selain etnik Kadazandusun dan juga Bajau, terdapat satu lagi etnik pribumi terbesar iaitu kaum Murut.
Memandangkan kaum Murut adalah antara etnik terbesar di sana, adalah penting untuk kita mengetahui juga sedikit sebanyak mengenai amalan dan kepercayaan tradisi mereka.
Berikut disediakan sedikit maklumat ringkas berkenaan kepercayaan tradisional kaum Murut.
Kaum Murut, etnik pribumi ketiga terbesar di Sabah
Kaum Murut diiktiraf sebagai etnik ketiga terbesar di Sabah daripada segi jumlahnya selepas Kadazandusun dan juga Bajau.
Berdasarkan bancian yang dilakukan pada tahun 2010, mereka yang berbangsa Murut mewakili 3.22% daripada keseluruhan penduduk Negeri Sabah.
Populasi etnik ini di Negeri Sabah dianggarkan sekitar 120,000 orang.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 80% daripada mereka adalah penganut agama Kristian manakala 18% pula adalah penganut agama Islam.
Baki daripada jumlah tersebut adalah mereka yang menganut agama lain atau yang masih mengamalkan kepercayaan tradisional.
Kaum Murut Tahol, sub-etnik terbesar daripada kelompok Murut

Dalam pecahan masyarakat Murut, terdapat 12 sub-etnik utama di bawahnya.
Namun, Murut Tahol adalah kelompok terbesar daripada 12 sub-etnik ini.
Jumlah mereka yang beretnik Murut Tahol adalah separuh daripada keseluruhan bangsa Murut, iaitu sekitar 48,000 orang.
Etnik Murut Tahol juga dikenali sebagai Murut Tanah Tinggi kerana mereka lebih banyak mendiami kawasan tanah tinggi di pedalaman Selatan Sabah.
Kawasan seperti Rundum, Pensiangan, Tenom dan Tomani merupakan kawasan pendudukan utama etnik Murut Tahol ini.
Kepercayaan tradisi masyarakat Murut Tahol
Ada sebilangan kecil masyarakat Murut Tahol masih berpegang kepada kepercayaan tradisional atau animisme.
Mereka percaya, bahawa setiap objek atau benda di muka bumi ini mempunyai semangatnya yang tersendiri.
Kuasa yang tertinggi disebut sebagai Aki Kaulung, dan dipercayai sebagai pencipta untuk segala makhluk dan kejadian.
Mereka percaya bahawa kesemua manusia, bukit-bukau, gunung-ganang, haiwan dan tumbuh-tumbuhan telah dicipta oleh Aki Kaulung.
Manusia berperanan sebagai pengurus yang mentadbir segala ciptaan Aki Kaulung di muka bumi.
Mereka percaya bahawa segala bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang berlaku mempunyai kaitannya dengan semangat tertentu.
Oleh itu, manusia disuruh untuk hidup dengan cara yang selari mengikut kehendak semangat agar bencana seperti ini dapat dielakkan.
Dalam kepercayaan mereka, bumi mempunyai semangatnya yang tersendiri dan dikenali sebagai Inara Nu Tana.
Inara Nu Tana ini tinggal di bahagian lapisan bawah bumi.
Ia dipercayai mempunyai pengaruh dan kekuasaaan tertentu terhadap segala hidupan di bumi.
Makhluk di permukaan bumi seperti manusia tidak boleh bertindak sesuka hati mereka sehingga menimbulkan kemarahan semangat ini.
Jika tidak, bumi akan ditimpa bencana dan tidak menjadi aman.
Selain itu, mereka juga percaya dengan kewujudan semangat lain seperti semangat padi.
Semangat padi disebut sebagai Aru’ Kauli yang membantu menyuburkan tanaman sehingga mengeluarkan hasil yang banyak.
Kepercayaan masyarakat Murut Tahol kini

Pada masa kini, hampir majoriti mereka yang beretnik Murut Tahol telah menganut agama Kristian.
Namun, terdapat juga beberapa adat tradisi masyarakat ini yang telah disesuaikan dengan ajaran Kristian seperti adat perkahwinan dan adat mencuci benih padi.
Antara faktor mengapa etnik Murut Tohol ini mudah menerima agama Kristian adalah disebabkan keterbukaan ajaran Kristian itu sendiri.
Ajaran Kristian itu bersedia bersifat fleksibel dengan segala adat istiadat tradisi yang diamalkan, hanya disesuaikan dengan ajaran Kristian sahaja.
Mungkin sebagai pendakwah, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam setiap adat mereka dan disesuaikan dengan ajaran Islam selagi mana ia tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.
Antara salah satu sebab mengapa ramai enggan memeluk Islam adalah kegusaran mereka jika mereka terpaksa meninggalkan segala budaya dan tradisi kaum mereka.
Isu-isu seperti ini memerlukan kreativiti pendakwah bagaimana untuk mendekati mereka di pedalaman Sabah dan cuba berasimilasi dengan budaya tempatan.
Dengan itu, Islam akan dilihat lebih mesra dengan budaya tempatan.
Rujukan:
http://www.ukm.my/jatma/wp-content/uploads/makalah/IMAN-2017-0502-01.pdf