Kebebasan Beragama: Ini Yang Dilakukan Saidina Umar Ketika Penyerahan Baitulmaqdis

Perlembagaan Malaysia menjamin hak setiap warganegaranya untuk mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Walaupun agama Islam adalah agama persekutuan, ia tidak bermakna agama lain terhalang untuk diamalkan. Agama lain juga boleh diamalkan, malah agama Islam sendiri tidak menghalang kebebasan beragama.

Islam tidak pernah menghalang kebebasan beragama

kebebasan beragama

Dalam Islam, penganut agama lain tidak pernah dilarang sama sekali untuk mengamalkan ajaran mereka.

Allah Taala sendiri berfirman dalam Surah Al-Kaafirun, ayat ke-6 yang bermaksud:

“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”

Sejarah sendiri membuktikan bagaimana Islam melayan penganut agama lain sewaktu sesuatu kawasan itu ditakluk.

Ketika Kota Baitulmaqdis dikepung oleh tentera Islam, pada awalnya pemerintahnya, Sophronius tidak mahu menyerah kalah.

Namun, setelah hampir 4 bulan dikepung, sumber bekalan makanan telah semakin berkurangan.

Sophronius kemudiannya bersetuju untuk menyerah Kota Baitulmaqdis, dengan syarat Saidina Umar Al-Khattab sendiri perlu hadir ke kota tersebut untuk menandatangani perjanjian.

Perjanjian itu tidak lain melibatkan pengakuan menyerah kalah oleh orang-orang Byzantine selain menjamin kebebasan beragama oleh Saidina Umar terhadap penganut Kristian.

Orang-orang Kristian juga sanggup membayar cukai jizyah, asalkan mereka dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka.

Bukan itu sahaja, orang Yahudi yang sebelum ini ditindas oleh orang Rom, juga dibenarkan menetap dan mengamalkan agama mereka di kota Baitulmaqdis.

Kisah ini menunjukkan bagaimana Saidina Umar tidak pernah menindas penganut agama lain dalam kebebasan beragama walaupun beliau adalah seorang penguasa. 

Saidina Umar mengelak daripada solat di gereja

kebebasan beragama

Dalam satu kisah, dikatakan pada waktu Zohor, Sophronius telah mempelawa Saidina Umar untuk bersolat di dalam Gereja Makam Suci yang kini dikenali sebagai Church of the Holy Sepulchre.

Walau bagaimanapun, Saidina Umar telah menolak pelawaan tersebut atas dua sebab utama:

  1. Tidak mahu menggugat kedudukan gereja tersebut sebagai tempat beribadah bagi penganut Kristian
  2. Beliau bimbang sekiranya beliau bersolat di situ, kelak akan ada orang Islam yang melanggar perjanjian dan mengubah gereja tersebut menjadi masjid kerana pernah melihat dia bersolat di situ. 

Kisah ini juga menjadi bukti bagaimana Saidina Umar mengamalkan sifat toleransi selain menjaga keharmonian masyarakat pelbagai agama.

Saidina Umar telah berfikir kehadapan berkenaan kesan daripada segi konflik penganut antara agama jika beliau bersolat Zohor di gereja tersebut.

Beliau tidak mahu sekiranya orang Islam menggunakan alasan beliau pernah bersolat di situ sebagai sebab untuk membina masjid bagi menggantikan gereja tersebut.

Kebebasan beragama: sama-sama raikan perbezaan amalan agama dan perayaan penganut agama lain

Meraikan tidak bermakna kita menyambutnya.

Meraikan hanya bermaksud kita menzahirkan kegembiraan dan sifat toleransi kita disebabkan kegembiraan penganut agama lain.

Sebagai contoh, azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara masjid merupakan salah satu cara kita melaungkan azan pada masa kini.

Penganut agama lain mestilah bersifat toleransi dengan amalan ini.

Begitu juga ketika penganut agama Hindu berarak di jalan raya ketika menyambut Thaipusam menuju ke kuil.

Kita sebagai orang Islam pula perlulah bertoleransi dengan amalan agama mereka.

Begitu juga dengan amalan-amalan agama lain atau bangsa lain yang ada di negara ini.

Sifat toleransi antara satu sama lain adalah satu cara kita menghormati agama dan bangsa lain yang sama-sama tinggal di negara ini. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *