Kebanyakan manusia hanya mengejar kekayaan dunia seolah-olah tiada hari esok. Malah, ada juga yang mengejar kekayaan untuk memenuhi kehendak duniawi semata-mata. Bagi orang Islam, kita beriman bahawa wujudnya hari akhirat atau kehidupan selepas mati.
Mungkin ada segelintir kelompok atau golongan Ateis di luar sana yang bertanya, bagaimana kita boleh membuktikan wujudnya kehidupan akhirat itu?
Logik untuk mempercayai kehidupan selepas mati

Terdapat lebih daripada 1000 ayat Al-Quran yang mengandungi fakta-fakta saintifik.
Banyak fakta ini telah dibuktikan atau ditemui kebenarannya sejak berabad lamanya.
Namun, kajian sains masih belum dapat mencapai satu tahap dimana ia boleh mengesahkan setiap pernyataan yang terkandung dalam Al-Quran.
Katakanlah bahawa 80% daripada kandungan Al-Quran itu telah dibuktikan benar dan sahih.
Baki 20% lagi masih belum dapat dipastikan lagi kebenarannya kerana sains belum mencapai satu tahap dimana ia boleh membenarkan atau menafikan pernyataan tersebut.
Ini disebabkan oleh pengetahuan kita yang masih lagi terhad dan masih mengkaji setiap isi bumi ini.
Dengan ilmu yang masih terbatas ini, sains tidak dapat mengesahkan walaupun satu ayat Al-Quran daripada bahagian 20% itu sebagai satu pernyataan yang salah.
Jika 80% kandungan Al-Quran telah dibuktikan tepat dan benar, secara logiknya baki 20% bahagian yang lain juga adalah benar.
Kewujudan kehidupan selepas mati yang disebut dalam Al-Quran termasuk dalam 20% bahagian yang masih tidak dapat dibuktikan oleh sains.
Kehidupan selepas mati bukti Tuhan itu Maha Adil
Jika benarlah tiada konsep kehidupan selepas mati, maka tidak bergunalah kita mengenal sesuatu itu sebagai kebaikan atau kejahatan.
Ini kerana setiap yang baik pasti akan dibalas baik, manakala perkara yang jahat pasti juga dibalas dengan hukuman atau siksaan.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mati selepas menzalimi seseorang, adakah logik jika dia mati tanpa mendapat sebarang balasan atas perbuatannya? Atau untuk mangsa kezalimannya mendapat keadilan?
Perkara ini sudah pasti tidak logik.
Mungkin hukuman di dunia boleh dilaksanakan keatas penjenayah, tetapi bagaimana untuk penjenayah yang mati sebelum dikenakan hukuman keatasnya? Adakah dia terlepas daripada segala jenayah yang dilakukan? Sudah pasti tidak.
Urusan selepas kematiannya akan diadili pula oleh Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Adil.
Tiada satu pun mangsa kezaliman yang dibiarkan daripada mendapat keadilan.
Jika mangsa kezaliman ini tidak mendapat keadilan sewaktu di dunia, pastinya mereka akan mendapat keadilan di kehidupan selepas mati kelak.
Hidup di dunia sebagai satu ujian, bukanlah satu kehidupan yang kekal

Setiap individu pasti akan mati. Tiada seorang manusia pun yang berani menyatakan bahawa dia akan kekal hidup selama-lamanya.
Pernahkah terfikir, kemanakah kehidupan kita selepas mati? Adakah kehidupan kita akan tamat begitu sahaja selepas mati?
Jika tamat begitu sahaja, maka sia-sialah segala amal kebaikan yang telah kita lakukan di dunia ini. Hakikatnya pasti tidak.
Setiap apa yang kita lakukan di dunia, pasti akan mendapat balasan dari Tuhan Sekalian Alam selepas kita mati.
Inilah yang dimaksudkan bahawa dunia ini adalah seperti satu ladang untuk kita berbuat kebaikan.
Ia juga sebagai satu ujian sebelum mendapat kehidupan yang kekal abadi.
Allah Taala ada berfirman dalam Surah Al-Mulk, ayat ke-2 yang bermaksud:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, bagi orang-orang yang bertaubat.”
Keadilan sebenar pada hari akhirat kelak
Dalam Surah Ali-Imran, ayat 185, Al-Quran ada menyebut dengan maksud seperti berikut:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Dalam ayat ini, ia menceritakan mengenai hari keadilan yang sebenar pada hari kiamat kelak.
Selepas sesorang itu mati, dia akan kembali dibangkitkan pada satu hari yang disebut sebagai hari kiamat.
Pada hari tersebut, setiap manusia akan menerima balasan sebenar bagi setiap apa yang telah mereka lakukan di dunia dahulu.
Bagi mereka yang terlepas daripada segala hukuman di dunia bagi perbuatan buruk mereka, mereka akan menerima segala balasan yang lebih teruk pada hari kiamat ini oleh Allah Taala sendiri.
Pembalasan ini telah membuktikan bahawa adanya hari atau masa lain untuk membalas segala perbuatan jahat tanpa seorang pun yang dapat melepaskan diri daripada hukuman tersebut.