Adakah Islam Benar-benar Mewajibkan Khitan Bayi Perempuan?

Khitan bayi lelaki dan juga perempuan sudah lama menjadi amalan bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Namun, terdapat sedikit kesamaran berkenaan hukum khitan bayi perempuan dalam Islam.

Adakah ia wajib atau sekadar menuruti budaya?

Khitan bayi perempuan mengikut amalan Nabi Ibrahim

khitan bayi perempuan

Amalan bersunat bagi bayi perempuan atau khitan bayi perempuan ini sudah lama menjadi amalan masyarakat terdahulu.

Ini termasuklah dalam kalangan bangsa Arab sendiri.

Pada zaman Rasulullah, amalan ini telah wujud dan baginda mengiktiraf amalan khitan bayi perempuan ini.

Ini bermaksud amalan ini dibenarkan dalam ajaran Islam.

Allah Taala ada berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 123 yang bermaksud:

“Kemudian Kami (Allah) wahyukan kepadamu wahai Muhammad: Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.”

Terdapat bukti hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan berkhitan ini merupakan antara jenis amalan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda dengan maksud:

“Nabi Ibrahim A.S berkhatan dengan menggunakan Qaddum (alat seperti kapak kecil) ketika umur baginda 80 tahun.”

(Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan juga Muslim)

Hadis tersebut jelas menyatakan bahawa amalan khitan merupakan antara amalan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Justeru, adalah wajar mengapa kita juga melaksanakan amalan khitan ini pada masa sekarang sebagai menuruti apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Pensyariatan khitan bayi perempuan dalam Islam

Ada yang membuat dakwaan bahawa khitan bayi perempuan ini bukanlah satu perkara yang wajib dalam Islam.

Namun, dakwaan ini ternyata kurang tepat.

Hal ini boleh dilihat kepada maksud hadis yang diriwayatkan oleh Humaid Bin Bilal.

Rasulullah telah bersabda dengan maksud:

“Dan apabila bertemunya dua khitan (iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan wanita), maka wajiblah untuk mandi.”

Dalam hadis ini, ia menunjukkan bahawa bukan kaum lelaki sahaja yang wajib berkhatan, tetapi juga kepada kaum perempuan.

Dalam mazhab Syafie’, hukum yang paling masyhur berkenaan berkhitan bagi perempuan ini adalah wajib, dan ia juga telah diputuskan oleh Imam Syafie’ sendiri.

Imam Ahmad Bin Hanbal turut menyatakan bahawa ia adalah wajib, sama dengan apa yang diputuskan oleh Imam Syafie’.

Namun, kebanyakan ulama’ lain beserta Imam Abu Hanifah dan juga Imam Malik hanya menyatakan hukum sunat bagi khitan perempuan.

Prof. Dr Wahbah Az-Zuhaili turut menyatakan, tidak terdapat sebarang pendapat yang melarang amalan berkhitan sama ada kepada bayi lelaki mahupun bayi perempuan.

Apa yang penting, ia dilaksanakan oleh mereka yang berpengetahuan dan berkelayakan seperti doktor.

Menurut beliau lagi, jika seseorang wanita itu tidak dikhatankan, ia bukanlah satu dosa baginya. 

Khitan bayi perempuan cacatkan anggota kemaluan bayi?

khitan bayi perempuan

Beberapa isu ada ditimbulkan dalam masyarakat berkenaan isu khitan ini.

Selain mengatakan ia tidak disyariatkan dalam Islam, ada juga yang menyatakan bahawa khitan menyebabkan kecacatan pada anggota kemaluan bayi tersebut.

Sebenarnya, kecacatan yang berlaku itu adalah disebabkan oleh prosedur yang dilakukan oleh individu yang mengkhatankan bayi tersebut.

Khitan yang dilakukan oleh mereka yang tidak berpengetahuan ini dilakukan secara melampau sehingga boleh mencacatkan kemaluan bayi perempuan tersebut.

Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ada menyatakan pendapat beliau mengenai isu dan permasalahan yang berlegar dalam masyarakat ini.

Kata beliau, adalah wajib untuk memastikan tidak berlakunya sebarang kecacatan ketika khitan dijalankan berdasarkan kaedah yang dinyatakan oleh Rasulullah.

Menurut beliau lagi, amalan khitan bayi perempuan ini juga tidak boleh dikelaskan sebagai satu jenayah melainkan khitan tersebut dilakukan secara melampau atau melampaui batas had syarak.

Antara perkara yang tidak boleh dilakukan bagi mengkhitankan bayi perempuan adalah seperti berikut:

  • Pemotongan penuh atau pengembirian kemaluan manusia
  • Berlebihan dalam memotong
  • Dilakukan oleh individu yang tidak berpengetahuan atau jahil
  • Tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan yang boleh menyebabkan kemandulan

Ada yang melakukannya, ada juga yang tidak

Kewajipan melakukan sunat bayi perempuan ini bergantung kepada pegangan mazhab umat Islam masing-masing.

Ada negara di mana penduduknya mengamalkan khitan, ada juga yang tidak melakukannya kecuali atas pilihan masing-masing.

Bagi kita penduduk di Malaysia, kita berpegang kepada pendapat Mazhab Syafie’ yang mewajibkan khitan keatas bayi perempuan.

Manakala bagi penduduk negara lain, amalan khitan dianggap sebagai satu amalan yang sunat sahaja. 

Rujukan:

http://www.umatia.org/ftawa12.html

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *