Persatuan Cina Muslim Malaysia atau ringkasnya MACMA Malaysia, adalah salah sebuah persatuan sokongan mualaf yang amat terkenal di Malaysia.
Kami sediakan sedikit maklumat berkenaan organisasi MACMA ini.
Latar belakang penubuhan MACMA Malaysia

Perkataan MACMA adalah ringkasan daripada Malaysian Chinese Muslim Association.
Pertubuhan ini merupakan antara pertubuhan dakwah yang tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 8 September 1994.
Antara tujuan utama penubuhan persatuan ini adalah untuk menjadi pertubuhan dakwah Cina Muslim yang memfokuskan kepada kaum Cina di Malaysia.
Selain itu, mereka juga memberi fokus kepada usaha dakwah terhadap kaum-kaum lain.
Objektif MACMA Malaysia
Antara objektif-objektif penubuhan MACMA Malaysia ialah seperti berikut:
- Membangunkan komuniti Cina Muslim untuk menjadi satu ummah yang bertaqwa dan berilmu serta mewakili dan menjaga hal ehwal yang berkaitan dengan mereka. Ini termasuklah aspek bimbingan, kebajikan, latihan dan pendidikan, sokongan moral serta pembangunan ekonomi
- Membantu dan menjadi pihak penyatuan dalam menyemai pengetahuan, kesedaran diri, pengislahan diri terhadap penghayatan Islam. Selain itu, MACMA juga ingin menjadi penyebar dan pemangkin dakwah Islamiah kepada masyarakat Cina yang masih belum memeluk Islam
- Mengukuhkan tali persaudaraan antara kaum Cina Muslim Malaysia dengan Muslim daripada kaum lain di Malaysia
Ahli-ahli MACMA juga banyak menerima anugerah dan pengiktirafan di seluruh Malaysia.
Saban tahun, ada antara ahli-ahli MACMA di Negeri Kelantan, Sabah, Terengganu dan Perak menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah (Saudara Kita).
Peneraju utama MACMA Malaysia

Individu-individu yang menerajui MACMA bukanlah calang-calang orangnya.
Presidennya, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin kini berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Presiden MACMA pula ialah Dato Muhammad Chan, pemilik rangkaian restoran makanan Cina Muslim terkenal, Restoran Mohd Chan.
Naib Presiden, Dr. Johari Yap pula adalah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kesemua pimpinan ini adalah mereka yang sangat hebat dan berwibawa dalam bidang masing-masing.
Masjid Cina di Malaysia
Salah satu cara memperlihatkan asimilasi antara budaya Cina dan juga agama Islam adalah melalui seni bina masjid.
Di Malaysia, telah dibina tiga buah masjid yang bercirikan seni bina Cina 100%. Tiga buah masjid tersebut ialah:
- Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (terkenal dengan nama Masjid Beijing), Rantau Panjang, Kelantan
- Masjid Cina, Melaka
- Masjid Muhammadiah, Ipoh, Perak
Jika dilihat sekali imbas, ketiga-tiga buah masjid ini langsung tidak kelihatan seperti binaan tipikal sebuah masjid.
Ketiga-tiga masjid ini juga tidak mempunyai sebarang ciri klasik binaan Islam seperti kubah masjid dan hiasan geometri Islam.
Atap masjid juga berwarna hijau dan dihiasi warna seperti merah dan juga kuning.
Rujukan:
- http://macma.my/main/