Katakanlah anda menerima undangan untuk hadir ke majlis makan bukan Islam.
Adakah anda akan menerima undangan tersebut? Apakah hukum makan bersama orang bukan Islam?
Tiada sebarang larangan untuk hadir majlis makan bukan Islam
![majlis makan bukan islam](http:///wp-content/uploads/2021/03/pexels-august-de-richelieu-4262174.jpg)
Dalam Islam, tidak terdapat sebarang larangan untuk seseorang itu hadir ke majlis makan bukan Islam.
Malah, tiada sebarang larangan untuk kita makan bersama mereka yang bukan Islam.
Jika ia adalah sekadar majlis perayaan atau majlis makan-makan sahaja, maka ia dibolehkan.
Apa yang tidak boleh hanyalah jika kita menghadiri majlis keagamaan atau upacara sesuatu agama kerana dikhuatiri kita akan melakukan ritual agama mereka tanpa disedari.
Dalam majlis makan seperti ini, apa yang perlu anda perhatikan hanyalah jenis makanan dan cara penyediaannya.
Jika makanan dan penyediaannya telah diyakini dan dijamin halalnya, maka tiada masalah untuk kita makan bersama mereka.
Perkara yang perlu diperhatikan bukanlah dengan siapa kita makan, tetapi apa yang akan kita makan.
Bagaimana jika saya meragui penyediaan makanan tersebut?
![majlis makan bukan islam](http:///wp-content/uploads/2021/03/pexels-nicole-michalou-5778899.jpg)
Jika kita meyakini bahawa makanan tersebut disediakan dengan cara yang halal, maka teruslah menyantapnya.
Namun, jika anda meraguinya kerana terdapat beberapa bukti yang memperlihatkan keraguannya, maka adalah haram untuk anda memakannya.
Mencari makanan yang halal itu sememangnya satu kefardhuan.
Namun, kita tidak perlu berlebihan dalam menyelidik makanan yang dihidangkan sehingga timbulnya perasaan was-was dalam diri.
Kerana perasaan was-was yang melampau juga boleh menyusahkan diri kita sendiri.
Walaupun tuan rumah bukan seorang Muslim, tetapi dia sendiri telah sedaya upaya menyediakan masakan khas untuk santapan orang Islam, maka tidak perlulah kita mempersoalkannya sehingga melampaui batas.
Ini kerana ada dalam kalangan kita yang mempersoalkan sehingga ke tahap sumber pendapatan yang digunakan untuk menyediakan makanan tersebut.
Persoalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi bertanya secara terus kepada mereka yang menyediakannya sehingga boleh melukakan hati mereka.
Makan bersama memupuk perpaduan
Sebagai orang Islam, aktiviti makan bersama orang lain yang berlainan bangsa dan agama boleh membantu memupuk keharmonian masyarakat.
Malah, makan bersama individu lain yang berlainan agama dan bangsa boleh membantu membuka minda dan perspektif baharu dalam kehidupan kita.
Selain itu, peluang makan bersama juga adalah satu kaedah dakwah secara tidak langsung kepada golongan bukan Islam.
Oleh itu, selagi mana majlis makan yang dianjurkan oleh golongan bukan Islam itu dihidangkan dengan makanan yang halal dan tidak disertai dengan maksiat, adalah harus untuk kita menghadirinya dan makan bersama mereka.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/449200/hukum-hadiri-majlis-makan-bukan-islam