Salah satu ciri atau perkara istimewa berkenaan masyarakat India yang perlu kita ketahui adalah berkenaan tabiat pemakanan mereka. Ada sebahagian daripada kaum India di negara kita ini yang mengamalkan pemakanan atau hanya mengambil makanan vegetarian.
Walaupun kita mungkin biasa menganggap bahawa orang India secara keseluruhannya adalah pengamal vegetarian, namun fakta tersebut adalah kurang tepat.
Sebenarnya, tidak semua orang India adalah vegetarian. Ia bergantung kepada faktor-faktor seperti amalan komuniti dan beberapa faktor lain.
Dalam artikel ini, kita akan mengkhususkan mengapa pengamal makanan vegetarian memilih untuk menjadi vegetarian dan beberapa jenis vegetarian yang patut anda tahu.
Peranan agama dalam membentuk pengambilan makanan vegetarian

Dalam ajaran agama Hindu, mereka menekankan konsep ‘ahimsa’ iaitu konsep tidak berlaku zalim dan saling menghormati antara sesama hidupan yang bernyawa.
Konsep ‘ahimsa’ ini bukan hanya ada dalam ajaran agama Hindu, tetapi juga ada dalam beberapa ajaran lain yang dianuti oleh masyarakat India seperti Buddha dan juga Jainism.
Konsep ‘karma’ juga ada menyatakan, sekiranya sesuatu hidupan itu hidup dengan cara yang sepatutnya, seperti memakan makanan vegetarian, maka dia akan dijelmakan semula (reincarnation) pada tahap yang lebih tinggi.
Sekiranya seseorang itu tidak menjalani kehidupan dengan cara yang betul atau sepatutnya, maka dia mungkin akan dijelmakan kembali pada tahap yang lebih rendah.
Lembu amat dihormati oleh kaum India
Selain daripada itu, kebanyakan pengamal vegetarian dalam masyarakat India menolak untuk makan daging khususnya daging lembu atas sebab yang lebih khusus.
Dalam masyarakat India, lembu dianggap sebagai satu anugerah Tuhan kepada manusia. Ini kerana fungsi lembu yang banyak membantu memudahkan kehidupan manusia di muka bumi.
Sebagai contoh, lembu membekalkan susu sebagai minuman dan juga untuk menghasilkan produk makanan hasil tenusu seperti yogurt. Selain itu juga, tinja atau najis lembu digunakan sebagai baja untuk tanaman petani.
Lembu juga digunakan untuk membajak sawah atau kebun selain digunakan untuk mengangkut barang dan juga menarik pedati.
Masyarakat India amat menghormati lembu, oleh sebab itu kebanyakan daripada mereka menolak untuk makan daging, khususnya daging lembu.
Pengaruh figura berpengaruh yang mengamalkan makanan vegetarian
Selain daripada itu, terdapat juga pengaruh daripada beberapa individu terkenal yang mengamalkan pemakanan makanan vegetarian.
Dalam catatan sejarah, terdapat beberapa figura atau tokoh yang menggalakkan jenis pemakanan atau diet vegetarian. Ini termasuklah Maharaja Ashoka daripada Empayar Maurya yang memerintah benua India.
Selain itu, pendeta agama Hindu, Chaitanya Mahaprabhu, turut menggalakkan pemakanan makanan vegetarian. Begitu juga dengan Bapa Kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang merupakan seorang pengamal vegetarian yang terkenal dalam masyarakat India.
Amalan vegetarian daripada individu berpengaruh seperti ini juga menjadi salah satu faktor yang membentuk sikap kaum India dalam mengamalkan diet vegetarian.
Jenis-jenis pengamal vegetarian yang pendakwah mesti tahu

Terdapat beberapa jenis diet vegetarian yang diamalkan oleh kaum India dan setiap satunya mempunyai beberapa perbezaan yang sedikit berlainan.
Berikut adalah antara jenis diet vegetarian yang diamalkan oleh mereka:
- Vegetarian tulen: mereka hanya mengambil makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan sahaja
- Eggetarians: kelompok ini hanya mengambil makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan dan juga telur. Mereka tidak memakan sebarang sumber daging atau ayam dalam pemakanan mereka
- Cakeytarian: mereka boleh makan kek yang mengandungi telur, tetapi tidak boleh memakan telur rebus atau telur dadar
- Gravyetarian: mereka boleh memakan kuah daripada masakan daging atau ayam, tetapi tidak memakan daging atau ayam tersebut
- Calendartarian: mereka mengambil makanan vegetarian pada hari tertentu sahaja seperti Selasa, Khamis dan Sabtu setiap minggu
Apa kepentingan mengetahui berkenaan makanan vegetarian?
Sebagai pendakwah, salah satu perkara yang penting dalam uslub dakwah itu sendiri adalah menjadi kreatif. Menjadi kreatif dalam berdakwah itu perlulah seiring dengan norma dan budaya kaum setempat.
Apabila kita mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh sesetengah kaum, secara tidak langsung kita sebenarnya menghormati dan menjaga sensitiviti sesama kita sebagai masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Dengan mengetahui berkenaan makanan vegetarian ini, sekurang-kurangnya kita dapat menyediakan satu hidangan khusus buat mereka yang mengamalkan pemakanan vegetarian jika ingin mengadakan sesuatu majlis seperti jamuan makan.
Apabila sikap hormat-menghormati ini ditekankan, maka hati mereka yang ingin didekati ini akan menjadi semakin lembut dan menerima apa yang akan kita sampaikan kelak.
Rujukan:
https://www.bbc.com/news/world-asia-india-43581122