Ada sebilangan daripada kalangan jiran kita yang bukan beragama Islam. Dalam hidup berjiran, mungkin ada masanya jiran kita menghulurkan sedikit makanan yang dimasaknya untuk dikongsi bersama kita. Adakalanya mereka memberikan buah tangan seperti buah-buahan kepada kita. Persoalannya, bolehkah kita memakan masakan orang bukan Islam?
Boleh masakan orang bukan Islam selagi mana daripada sumber yang halal
![masakan orang bukan Islam](http:///wp-content/uploads/2021/03/pexels-navada-ra-1703272.jpg)
Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum makan masakan orang bukan Islam.
Ada ulama’ yang menyatakan adalah harus untuk memakan masakan orang bukan Islam tanpa mengira sama ada mereka adalah golongan ahli Kitab ataupun tidak.
Ada juga yang berpendapat, harus memakan masakan golongan ahli Kitab sahaja dan tidak harus jika mereka bukan ahli Kitab melainkan telah diyakini kesucian makanan tersebut.
Pendapat ini adalah daripada Mazhab Maliki dan juga Syafie.
Namun, ada juga pendapat dalam Mazhab Syafie yang menyatakan makruh untuk memakan masakan orang bukan Islam.
Jika dilihat kepada keseluruhan pendapat-pendapat ini, ia bukanlah soal siapa yang menyediakannya.
Tetapi ia melihat kepada kesucian makanan tersebut.
Selagi mana ia suci dan bersih, maka makanan tersebut harus untuk dimakan.
Diharuskan kepada orang Islam untuk memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam sekiranya bahan-bahan yang digunakan adalah halal.
Sekiranya ia terdiri daripada makanan yang halal seperti sayuran dan buah-buahan, maka tidak timbul keraguan untuk memakannya.
Namun, jika anda diberikan dengan hidangan seperti daging dan ayam, maka ia tidak dibolehkan kerana dikhuatiri binatang tersebut disembelih dengan cara yang tidak mengikut syariat.
Namun, perlu berhati-hati dengan penyediaan makanan tersebut
![masakan orang bukan Islam](http:///wp-content/uploads/2021/03/pexels-pixabay-461198.jpg)
Orang bukan Islam amat mengetahui bahawa orang Islam tidak memakan daging babi atau haiwan-haiwan tertentu.
Namun, mereka belum tentu mengetahui secara menyeluruh berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dimakan oleh orang Islam.
Sebagai contoh, walaupun mereka memasak sayur-sayuran dan memberikan kepada kita, namun mereka mungkin ada mencampurkan wine atau arak masakan ketika memasak hidangan tersebut.
Mereka mungkin berpendapat ia hanya arak masakan dan bukannya babi yang telah diketahui tidak boleh dimakan oleh orang Islam.
Tinggalkan perkara yang diragukan adalah lebih baik
Jika anda berasa risau mereka membeli ayam yang tidak disembelih, atau mencampurkan bahan yang halal dan tidak halal dalam masakan, maka adalah lebih baik untuk anda tidak memakannya.
Ini kerana, meninggalkan perkara yang mempunyai keraguan adalah lebih baik bagi kita sebagai orang Islam.
Jika kita ingin mengelakkan jiran daripada berkecil hati, maka katakan kepadanya dengan baik bahawa dia tidak perlu lagi menghantar makanan bermasak kepada anda.
Katakan anda hanya gemarkan buah-buahan atau sayur-sayuran yang anda boleh masak sendiri.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/961-al-kafi-564-hukum-memakan-makanan-yang-dimasak-oleh-non-muslim-bukan-ahli-kitab
- https://www.sinarharian.com.my/article/38233/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Bolehkah-makan-makanan-halal-dimasak-oleh-bukan-Islam