Jika ada mana-mana anggota keluarga mualaf yang bukan Islam meninggal dunia, bolehkah mualaf tersebut membantu menguruskan jenazah atau mayat bukan Islam tersebut?
Lihat kepada penerangan di bawah ini.
Dibolehkan jika kaum kerabat sendiri
Telah diriwayatkan dalam satu hadis berkenaan kematian bapa Saidina Ali iaitu Abi Talib.
Saidina Ali telah mengkhabarkan berita kematian bapanya kepada Rasulullah S.A.W.
Lalu Rasulullah menjawab:
“Pergilah dan kebumikannya” Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelahmana aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.” (Hadis riwayat An-Nasaie)
Dalam Kitab Al-Mu’tamad Fi Fiqh Al-Syafie, Mazhab Syafi telah memberikan pendapat bahawa golongan mualaf dibolehkan untuk membantu menguruskan jenazah ahli keluarganya yang bukan Islam.
Ini termasuklah memandikannya, mengkafankannya serta mengebumikan jenazah tersebut.
Begitu juga dengan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Golongan mualaf turut dibenarkan untuk mengiringi jenazah ahli keluarganya yang bukan Islam ke tanah perkuburan jika perlu.
Bagaimana jika seseorang Muslim itu menguruskan mayat bukan Islam yang bukan kaum kerabatnya?

Bagi mayat bukan Islam yang bukan kaum kerabat, terdapat tiga pandangan daripada kalangan ulama’.
Pandangan pertama menyatakan adalah haram untuk menguruskan mayat bukan Islam yang bukan ahli keluarga.
Pendapat ini dinyatakan oleh Imam As-Syasyi, dan pandangan beliau ini amat masyhur kerana banyak dinukilkan oleh ulama’ Mazhab Syafie yang lain dalam kitab-kitab mereka.
Pandangan kedua pula menyatakan dibolehkan untuk menguruskan mayat bukan Islam dengan syarat si mati itu tidak mempunyai kerabat bukan Islam lain yang boleh menguruskan jenazahnya.
Dengan itu, orang Islam boleh membantu menguruskan jenazahnya.
Ini adalah berdasarkan pandangan daripada Imam Nawawi.
Pandangan ketiga pula menyatakan adalah harus untuk orang Islam membantu menguruskan jenazah orang bukan Islam.
Ini kerana tiada perbezaan antara kerabat dan bukan kerabat. Pendapat ini diutarakan oleh Imam Al-Syarwani.
Adalah lebih baik jika kaum kerabat yang bukan Islam menguruskannya

Walaupun ada pendapat yang membolehkan mualaf untuk menguruskan mayat bukan Islam kaum kerabatnya sendiri, namun seeloknya biarlah ahli keluarga lain yang bukan Islam menguruskannya.
Ini kerana, urusan mayat non-Muslim juga akan diuruskan mengikut ajaran agamanya.
Mungkin ada beberapa keperluan agamanya yang tidak kita ketahui untuk dilakukan terhadap mayat tersebut.
Selain itu, mungkin juga ada upacara atau rital tertentu yang akan dilakukan semasa menguruskan mayat si mati.
Oleh itu, agak kurang sesuai jika seorang Muslim terlibat dengan proses pengurusan jenazah yang mungkin melibatkan upacara dan zikir agama lain.
Selain itu, ia juga boleh mengelakkan fitnah keatas mualaf sekiranya terlibat dengan pengurusan jenazah bukan Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/898-apa-yang-boleh-dibuat-bila-ada-ahli-keluarga-non-muslim-meninggal-dunia
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1422-irsyad-al-fatwa-siri-ke-151-hukum-menghadiri-majlis-pengebumian-bukan-muslim
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1247-irsyad-al-fatwa-ke-117-hukum-mengiringi-jenazah-bukan-islam
- https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/4099-al-afkar-87-hukum-muslim-bukan-kerabat-menguruskan-mayat-bukan-islam