Bolehkah Kita Bersedekah Kepada Orang Bukan Islam? Bagaimana Pula Dengan Harta Wakaf?

Bolehkah jika kita memberi bantuan kepada golongan bukan Islam?

Bolehkah manfaat harta wakaf diberikan juga kepada mereka yang bukan Islam? Ini jawapannya.

Adakah kita boleh memberi bantuan kepada orang bukan Islam?

memberi bantuan

Wujud beberapa isu sebelum ini berkenaan memberi bantuan kepada mereka yang bukan Islam.

Ada yang berpendapat, orang-orang Islam tidak boleh memberikan bantuan atau derma seperti sedekah kepada mereka yang bukan Islam.

Ini kerana dikhuatiri mereka akan menyalahgunakan bantuan atau sedekah tersebut untuk membeli perkara yang tidak elok seperti arak. Benarkah pendapat ini?

Perkara pertama yang perlu dilihat adalah tujuan bantuan atau derma tersebut diberikan.

Jika derma atau bantuan tersebut diberikan dengan sebab untuk kelangsungan hidup seperti makanan, pakaian dan lain-lain lagi, maka hukum memberikan bantuan kepada golongan bukan Islam adalah harus.

Namun, jika kita memberikan bantuan kerana mereka ini membeli arak atau berjudi, maka hukumnya adalah tidak harus.

Kita disarankan untuk mengutamakan penerima daripada kalangan orang Islam terlebih dahulu berbanding golongan bukan Islam. 

Adakah kita akan mendapat pahala jika menderma atau memberi bantuan kepada golongan bukan Islam?

Tidak kira kita bersedekah kepada orang Islam mahupun bukan Islam, kedua-duanya akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Yang menentukan kita mendapat pahala itu bukan dilihat kepada golongan penerima, tetapi kepada niat kita menderma.

Jika kita menderma dengan ikhlas, maka sudah tentu akan mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah.

Namun, jika kita menderma dengan tujuan menunjuk-nunjuk, maka tiada pahala untuk kita walaupun kita menderma hanya kepada orang Islam.

Al-Quran ada menyebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 272 yang membawa maksud:

“Tidaklah engkau diwajibkan wahai Muhammad, menjadikan mereka yang kafir mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk dengan memberi taufik kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan pada jalan Allah, maka faedah dan pahalanya adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan balasan pahalanya kepada kamu, dan balasan baik kamu itu pula tidak dikurangkan.”

Dalam ayat ini, ia menerangkan berkenaan bahawa hidayah itu milik Allah dan akan diberikan oleh Allah.

Oleh itu, sebarang bentuk bantuan atau sedekah tidak boleh dihentikan hanya disebabkan agama yang berbeza.

Bantuan atau sedekah yang diberikan tidak boleh dilihat atas dasar agama semata-mata, sebaliknya kita perlu melihat kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan. 

Bagaimana dengan manfaat harta wakaf? Bolehkah orang bukan Islam menerimanya?

memberi bantuan

Jumhur ulama’ teah bersepakat, bahawa orang bukan Islam juga boleh menerima manfaat wakaf yang diwakafkan oleh orang Islam.

Hukum harus ini adalah bergantung kepada syarat-syarat seperti berikut:

  • Orang bukan Islam tersebut bukanlah golongan yang menentang Islam
  • Orang bukan Islam tersebut bukanlah mereka yang pernah murtad daripada agama Islam
  • Tidak mewakafkan Al-Quran atau bacaan berkaitan agama kepada orang bukan Islam untuk memelihara kesuciannya
  • Tidak mewakafkan sesuatu yang boleh menyebabkan maksiat dan mensyirikkan Allah
  • Mewakafkan kepada ahli keluarga yang lebih memerlukan terlebih dahulu berbanding orang bukan Islam

Namun, jika terdapat kepentingan umat Islam yang perlu didahulukan, maka harta tersebut digalakkan untuk diwakafkan bagi kepentingan umat Islam terlebih dahulu.

Contohnya, seperti tanah untuk tujuan pembinaan masjid, tanah perkuburan orang Islam dan tempat tinggal bagi keluarga fakir miskin.

Selain daripada itu, kita juga boleh mewakafkan sesuatu harta untuk manfaat orang awam tanpa mengira agama seperti pondok untuk berteduh, mesin penapis air dan lain-lain lagi. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, tidak timbul isu berkenaan larangan untuk menderma kepada golongan bukan Islam.

Apa yang lebih penting, bantuan atau wakaf tersebut mestilah dilakukan dengan ikhlas dan mendahulukan kepentingan ahli keluarga dan orang Islam.

Kemudian, barulah kita boleh membantu mereka yang bukan Islam pula. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *