Menghormati jiran adalah satu tuntutan yang sangat jelas dalam Islam.
Namun, masih ramai daripada kalangan kita yang kurang memahami isu ini apatah lagi jika ia melibatkan jiran bukan Islam.
Ada yang berpendapat, jika jirannya bukan Muslim, maka mereka tidak layak untuk dilayan dengan baik seperti jiran Muslim yang lain.
Apakah hak jiran bukan Muslim yang sebenar?
Perintah Allah supaya menghormati jiran

Jiran boleh dianggap sebagai kerabat dekat kepada kita.
Malah, suruhan untuk menghormati jiran ini telah dinukilkan khusus di dalam Al-Quran oleh Allah Taala.
Dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-36 yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Dalam ayat ini, Allah ada menyebut berkenaan jiran yang dekat dan juga jiran yang jauh.
Apakah maksud jiran yang dekat dan jiran yang jauh ini?
Jenis-jenis dan hak jiran
Dalam Tafsir Al-Qurtubhi, maksud jiran dalam ayat ini ialah jiran yang beragama Islam dan juga bukan beragama Islam.
Dengan kata lain, kesemua jiran tidak mengira sama ada Muslim atau bukan Muslim perlulah dihoramti kedua-duanya.
Sebenarnya, terdapat tiga jenis atau kelompok jiran yang perlu kita fahami:
- Jiran Muslim dengan hubungan keluarga
Jiran bagi kelompok ini mempunyai tiga hak iaitu hak sebagai Muslim, hak sebagai keluarga, dan hak sebagai seorang jiran.
- Jiran Muslim tanpa hubungan keluarga
Jiran ini mempunyai dua hak untuknya iaitu hak sebagai Muslim dan juga hak sebagai jiran.
- Jiran bukan Muslim
Jiran dalam kelompok ini mempunyai satu hak iaitu hak sebagai seorang jiran.
Jika ditanya, mengapa perlu wujud pengelasan jiran mengikut agama? Perlu difahami bahawa dalam Islam, kesemua Muslim adalah bersaudara.
Persaudaraan di sini adalah persaudaraan disebabkan oleh ikatan akidah yang sama.
Oleh itu, ada hak-haknya sebagai Muslim yang mungkin melibatkan akidah atau aktiviti keagamaan.
Maka, jiran yang bukan Muslim tidak mungkin akan bersama dalam soal akidah dan aktiviti-aktiviti keagamaan.
Suruhan Nabi untuk memuliakan jiran

Dalam hadis riwayat Al-Albani ada menceritakan mengenai kisah Abdullah Ibn ‘Amr yang menyembelih kambing.
Kemudian, Abdullah bertanya kepada hambanya, “Adakah kamu telah memberikan daging kambing tersebut kepada jiranku yang berbangsa Yahudi?”
Abdullah Ibn ‘Amr menyatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Jibril sentiasa mengingatkan aku untuk melayan jiran dengan baik sehingga aku menyangka Jibril menyuruhku melayan jiran seperti pewarisku.”
Nabi Muhammad tidak pernah sesekali menyakiti hati jirannya walaupun jirannya bukanlah seorang Muslim.
Baginda sebagai seorang Nabi dan Rasul tidak pernah membuat sesuatu yang menyakiti jiran, apatah lagi kita sebagai orang biasa.
Maka, contohilah segala apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi berkenaan akhlak kita terhadap orang bukan Islam.
Layanlah jiran anda yang bukan Muslim dengan baik, sepertimana anda melayan jiran Muslim anda yang lain.
Contohilah tindakan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang tidak pernah lupa menghadiahkan kek kepada jirannya yang berbangsa Cina setiap kali tiba Tahun Baru Cina.
Tindakan seperti ini akan menyemarakkan lagi keharmonian antara kaum dan agama di negara kita yang tercinta ini.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd.
- http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2018/1072-irsyad-2018.pdf
- https://sunnah.com/adab/6/5
- https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kisah-mufti-wilayah-dan-jiran-berbangsa-cina-218778