Mengucap kalimah syahadah merupakan kewajipan bagi seseorang individu yang mahu memeluk Islam.
Mengucap kalimah syahadah adalah sebagai satu pengakuan kembalinya kepada fitrah Islam.
Namub, adakah kalimah syahadah boleh diucapkan dalam bahasa lain selain bahasa Arab ketika ingin memeluk Islam?
Ini kerana ada individu yang ingin mengucapkannya dengan bahasa yang difahami selain tidak berkemampuan untuk memahami bahasa Arab.
Maksud syahadah

Syahadah adalah satu bentuk ucapan pengakuan yang menyatakan keimanan pengucapnya kepada keesaan Allah Taala selain Nabi Muhammad sebagai pesuruhnya.
Kalimah syahadah yang diucapkan dengan ikhlas dan secara rasmi adalah sebagai satu bentuk pengisytiharan bahawa seseorang itu penganut agama Islam.
Syarat sah mengucap kalimah syahadah
Syarat bagi sahnya sesuatu lafaz syahadah yang diucapkan itu adalah seperti berikut:
- Mengucap kalimah syahadah dengan tertib
- Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah secara berturut-turut
- Memahami makna kedua-dua lafaz syahadah
- Tidak beriman dengan perkara yang bertentangan dengan ucapan syahadah tersebut
- Menggunakan perkataan “Asyhadu” pada kedua-dua kalimah syahadah
- Tidak berasa ragu untuk mengucapkannya, iaitu ikhlas untuk melakukannya
Adakah seseorang individu boleh mengucap kalimah syahadah dalam bahasa lain?

Imam Nawawi ada memberikan pendapat berkenaan persoalan syahadah dalam bahasa lain.
Menurut beliau, ucapan syahadah seseorang yang diucapkan dalam bahasa lain adalah sah walaupun dia itu seorang yang boleh berbahasa Arab.
Ucapan syahadah yang diucapkan dalam bahasa lain tetap menjadikan diri seseorang itu seorang Muslim.
Ini kerana dalam ucapan tersebut, wujudnya ikrar atau pengakuan yang ikhlas dan difahami.
Begitu juga dengan pendapat yang dikemukan oleh Imam Al-Mawardi.
Imam Al-Mawardi menyatakan, maksud mengenai dua kalimah syahadah ini ialah satu perkhabaran yang dibenarkan atau diakui dengan hati.
Lafaznya juga boleh dilakukan dalam bahasa Arab atau bahasa-bahasa lain.
Kesimpulannya, tiada halangan jika seseorang individu tersebut untuk mengucap syahadah dengan menggunakan bahasa selain bahasa Arab.
Dianjurkan untuk diucapkan dalam bahasa Arab
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, adalah lebih baik jika lafaz asal kedua kalimah syahadah dilakukan dengan lafaz asalnya dalam bahasa Arab.
Setelah itu, lafaz tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa yang difahami oleh individu tersebut.
Namun, sekiranya seseorang itu sememangnya mempunyai kesukaran untuk melafazkannya dalam bahasa Arab, maka bolehlah menggunakan bahasa ibundanya.
Rujukan: