Perlukah Mualaf Menukar Nama Mereka Setelah Masuk Islam?

Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi mualaf di negara ini untuk menukar nama mereka sejurus selepas memeluk Islam. Namun, adakah nama mualaf ini sebenarnya wajib ditukar dalam Islam?

Tidak bolehlah jika golongan mualaf terus mengekalkan nama asal mereka?

Wajib menukar nama mualaf jika maksudnya tidak elok

nama mualaf

Seseorang manusia perlu mengetahui makna di sebalik nama yang diberikan kepada mereka.

Kepada golongan mualaf, adalah wajib bagi mereka untuk menukar nama mereka sekiranya nama mereka membawa maksud yang kurang baik atau bertentangan dengan nilai Islam.

Ini termasuklah nama-nama yang berunsurkan perkara kufur dan syirik seperti nama dewa dan juga berhala.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda, dengan maksud:

“Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”

Nama seperti yang disebutkan dalam hadis tersebut dilarang sama sekali.

Ini kerana ia mempunyai unsur mempersekutukan dan menyaingi kekuasaan Allah Taala. 

Perlukah nama mualaf ditukar dalam bahasa Arab

Tiada dalil atau kewajipan yang mewajibkan seseorang Muslim itu untuk mempunyai nama dalam bahasa Arab.

Sebagai contoh, jika orang Melayu Muslim mahu menggunakan nama dalam Bahasa Melayu, maka ia bukanlah satu masalah untuknya.

Begitu juga dengan golongan mualaf, jika dia mahu mengekalkan nama asalnya dan tidak menukarkannya kepada nama Arab, ia juga dibolehkan dan bukanlah satu isu besar.

Nabi juga tidak menukar nama-nama sahabatnya yang bukan berbangsa Arab kepada nama Arab.

Namun, seperti yang dijelaskan sebelum ini, jika nama seseorang itu terkandung nama-nama seperti nama dewa atau Tuhan agama sebelum ini, maka wajib untuk dia menukarnya.

Jika seseorang mualaf itu mempunyai nama yang bermaksud kurang baik tetapi bukanlah nama dewa, hukumnya adalah sunat untuk dia menukar nama.

Namun, tidaklah wajib untuknya menukar nama.

Ada seorang sahabat Nabi yang bernama Hazn yang bermaksud kesedihan.

Pernah pada satu masa Nabi cuba menukarkan namanya kepada Sahl yang bermaksud kesenangan, namun dia mempertahankan nama asalnya.

Nabi tidak menyuruhnya menukar namanya dan Nabi hanya mendiamkan sahaja.

Sifat diam Nabi ini menunjukkan penggunaan nama dengan maksud yang kurang baik bukanlah haram tetapi sekadar makruh.

Haram bagi seseorang individu tersebut untuk menukarkan namanya daripada nama yang baik, kepada nama yang dilarang. 

Kepentingan mempunyai nama yang baik

nama mualaf

Terdapat beberapa kepentingan mengapa nama yang baik perlu digunakan bagi seseorang individu.

Nama yang baik akan membentuk sifat yang baik kepada individu tersebut.

Nama yang baik juga melambangkan keindahan agama Islam selain sebagai perhiasan untuk bayi baru dilahirkan.

Selain itu juga, Allah Taala akan memanggil kita di akhirat kelak dengan nama yang diberikan kepada kita. Rasulullah pernah bersabda:

“Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu.”

Oleh sebab itu, bagi golongan ibu bapa yang baru mendapat cahaya mata, cubalah untuk memberikan nama terbaik kepada anak anda.

Nama yang panjang tidak semestinya nama yang baik.

Perkara yang paling penting adalah maksud kepada nama yang diberikan kepada anak anda.

Kesimpulan

Bagi golongan mualaf, anda boleh mengekalkan nama asal anda selagi mana ia tidak bermaksud kekufuran kepada Allah.

Tidak wajib juga untuk menukarkan nama kepada bahasa Arab selepas memeluk Islam.

Oleh itu, diharapkan penerangan ini dapat menjelaskan salah faham yang sering berlaku berkenaan nama mualaf. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *