Adakah jika seseorang Mualaf itu memeluk Islam, dia diwajibkan memakai jubah putih dan meninggalkan pakaian tradisional mereka?
Ini yang kesemua pendakwah dan orang Islam perlu fahami dengan sebaiknya.
Tiada pakaian khusus melambangkan Islam
Sebenarnya, agama Islam tidak pernah menyatakan pakaian khusus bagi penganut Agama Islam.
Tiada sebarang pakaian yang benar-benar melambangkan agama Islam.
Ini kerana, Islam tidak pernah meletakkan jenis-jenis pakaian tertentu untuk Muslim dan pakaian lain untuk individu bukan Muslim.
Apa yang paling penting, pakaian yang dipakai itu mestilah pakaian yang sopan dan menutup aurat.
Ini kerana, tujuan pakaian dipakai adalah untuk menutup sebahagian daripada tubuh badan yang sepatutnya ditutup selain bertindak sebagai pelindung tubuh dan juga perhiasan.
Al-Quran ada menyebutkan mengenai soal pakaian ini dalam Surah Al-A’raf, ayat ke-26 yang bermaksud:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
Perlukah meninggalkan pakaian tradisional setelah memeluk Islam?

Ada beberapa isu yang mana melibatkan pakaian tradisional kaum.
Ada yang menganggap, jika seseorang itu telah memeluk Islam, dia mestilah meninggalkan pakaian tradisional mereka.
Ini kerana mereka dianggap menjadi sebahagian daripada kaum tersebut jika masih memakai pakaian tradisional terbabit.
Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa Islam tidak pernah melarang kita untuk memakai pakaian kaum tertentu asalkan ia menutup aurat.
Apa yang tidak boleh hanyalah jika pakaian tersebut melambangkan sesuatu agama atau kepercayaan yang berbeza daripada agama Islam.
Sebagai contoh pakaian paderi atau pakaian pendeta agama Buddha.
Selain itu, ada yang menganggap jika seseorang berbangsa India itu memeluk Islam, dia tidak lagi boleh memakai pakaian tradisionalnya seperti kurta.
Malah, mereka mesti memakai jubah, baju Melayu atau kain pelikat.
Tidakkah kita tahu, bahawa baju Melayu dan kain pelikat juga adalah pakaian tradisional kaum Melayu, bukannya pakaian agama Islam.
Begitu juga dengan jubah, ia adalah pakaian tradisi orang Arab yang sesuai dengan iklim mereka yang panas, kering dan berdebu.
Oleh itu, pakaian seperti jubah amat sesuai dengan persekitaran orang Arab.
Jubah bukanlah pakaian yang melambangkan agama Islam.
Bolehkah orang Islam memakai pakaian tradisional kaum lain?

Semestinya boleh, jika ia masih menutup aurat dan bersopan.
Malah, pemakaian pakaian tradisional kaum lain juga sebenarnya memupuk keharmonian kaum dan sebagai salah satu pendekatan dakwah yang berkesan.
Jika kita memakai pakaian tradisional sesuatu kaum seperti pakaian orang Kadazandusun, ia memperlihatkan agama Islam sebagai agama yang mesra dan terbuka dengan semua pihak.
Betulkan tanggapan ‘masuk Islam, masuk Melayu’
Perlu diingat, apabila seseorang bukan Islam itu ingin memeluk Islam, tidak bermakna dia perlu meninggalkan budayanya.
Selagi mana sesuatu budaya itu tidak bercanggah dengan akidah Islam, selagi itulah ia masih boleh diamalkan.
Budaya adalah satu gaya hidup yang melambangkan keunikan sesuatu bangsa atau kaum.
Muslim di Malaysia berbeza budayanya dengan Muslim di India.
Muslim di India pula pasti berbeza budayanya dengan Muslim di Britain.
Namun, kesemuanya adalah Muslim walaupun berbeza budaya dan juga pakaian.
Kita perlu memperbetulkan semula tanggapan bahawa masuk Islam bermakna akan bertukar budaya menjadi orang Melayu.
Oleh sebab itu, masih ramai orang bukan Islam berasa ragu untuk memeluk Islam disebabkan tanggapan seperti ini.
Kita perlu menerangkan bahawa, mereka tetap boleh mengamalkan budaya mereka walaupun telah memeluk Islam.
Tiada istilah ‘masuk Melayu jika masuk Islam’.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd.