“Saya ada menyimpan beberapa buah patung di rumah sebagai perhiasan. Saya juga ada mendengar bahawa haram menyimpan patung dalam rumah. Bagaimana pula dengan patung permainan yang dimainkan oleh anak saya? Adakah ia juga diharamkan?”
Dalil pengharaman patung dalam rumah
Untuk memahami berkenaan pengharaman penimpanan patung dalam rumah, kita perlulah melihat kepada satu hadis yang terkenal ini.
Melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Talhah R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda dengan maksud:
“Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Berdasarkan perbahasan para ulama’, salah satu sebab yang menyekat kehadiran malaikat ke dalam rumah adalah disebabkan kewujudan gambar atau patung-patung bernyawa.
Ini kerana patung-patung tersebut seolah-olah menyerupai ciptaan Allah Taala dan ia juga mungkin digunakan sebagai patung sembahan bagi sesetengah kaum.
Bagi gambar-gambar pula, ia merujuk kepada gambar-gambar manusia dan juga binatang.
Malaikat Rahmah iaitu malaikat yang meminta keberkatan serta memohon keampunan bagi penghuni rumah tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung-patung.
Manakala malaikat pencatat amal kebaikan dan keburukan iaitu Raqib dan juga ‘Atid akan tetap memasuki rumah tersebut.
Begitu juga dengan malaikat pencabut nyawa, dia juga akan tetap memasuki rumah tersebut disebabkan tugas yang telah diperintahkan oleh Allah keatasnya.
Tahap pengharaman bergantung kepada jenis patung

Menurut Dr. Yusof Al-Qaradhawi, tahap pengharaman itu akan semakin bertambah bergantung kepada jenis patung yang digunakan.
Tahap pengharaman akan bertambah sekiranya patung tersebut merupakan patung manusia atau figura yang diagungkan seperti nabi, raja-raja, tokoh-tokoh, Nabi Isa dan juga Maryam.
Selain itu juga, ia juga semakin bertambah haram jika patung tersebut menyerupai patung sembahan kaum atau agama tertentu seperti patung berbentuk haiwan.
Tahap pengharaman ini akan semakin bertambah sehingga boleh mencapai tahap kekafiran atau mendekati kekafiran.
Bahkan, individu yang menghalakan perbuatan tersebut dianggap sebagai orang yang telah kafir.
Begitu juga dengan mereka yang menggantungkan gambar atau patung makhluk hidup sebagai azimat atau tangkal.
Keharamannya akan menjadi berlipat kali ganda kerana disebabkan pengharaman patung selain pengharaman penggunaan azimat.
Bagaimana pula dengan patung permainan kanak-kanak?

Walau bagaimanapun, pengharaman patung ini tidak terpakai bagi patung-patung permainan.
Adalah tidak haram jika patung tersebut adalah alat permainan untuk kanak-kanak atau untuk tujuan pembelajaran mereka sahaja.
Untuk patung-patung sebegini, ia dibolehkan dalam Islam dan hukumnya adalah harus.
Ini adalah berdasarkan kepada maksud hadis yang telah diriwayatkan oleh Aisyah R.A seperti berikut:
“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi S.A.W, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah S.A.W masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi daripada Baginda. Lalu Baginda S.A.W menyerahkan permainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hukum harus bagi patung permainan adalah kerana patung permainan bukanlah sejenis patung yang diagungkan, disembah atau dimuliakan.
Tambahan lagi, tabiat kanak-kanak yang bermain dengan permainan boleh menyebabkan kecacatan pada patung tersebut seperti terkoyak, atau terputus mana-mana anggota badan patung tersebut.
Ia jelas tidak dimuliakan, malah tidak mempunyai sebarang kedudukan khusus melainkan sekadar untuk dimainkan.
Namun, jika patung permainan tersebut diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti di dalam almari atau di atas meja sebagai hiasan, ia tetap haram disebabkan niat penggunaannya telah berubah.
Elakkan patung dalam rumah
Tujuan malaikat Rahmah memasuki kediaman manusia adalah untuk memohon keampunan bagi penghuninya.
Selain itu, ia bertujuan untuk memohon keberkatan daripada Allah untuk penghuni kediaman tersebut.
Malah, rumah yang baik juga akan menjadi tempat malaikat Rahmah bersolat.
Namun, jika terdapat kehadiran patung atau sebarang gambar-gambar lukisan makhluk hidup, maka malaikat ini tidak akan memasuki rumah kita.
Dengan itu, kita akan menjadi semakin jauh daripada rahmat Allah Taala.
Rujukan:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3261-al-afkar-47-hukum-patung-sebagai-perhiasan