Kita dijemput untuk hadir ke majlis jamuan ringkas di rumah jiran yang bukan beragama Islam. Sebagai orang Islam, kita pasti berasa ragu-ragu sama ada ingin menggunakan pinggan mereka atau tidak. Ini kerana kita khuatir pinggan mangkuk yang digunakan oleh mereka pasti telah digunakan untuk menghidangkan makanan yang haram seperti daging babi. Apakah hukum menggunakan perkakas orang bukan Islam seperti dalam situasi ini?
Cukup sekadar membasuhnya sahaja

Islam itu agama yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya.
Dalam kes ini, ia bukanlah satu kes yang baharu.
Tha’labah Al-Khusyani pernah bertanya kepada Nabi mengenai jirannya yang bukan beragama Islam.
Nabi ada menerangkan apa yang perlu kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi ini. Hadis tersebut berbunyi, mafhumnya:
“Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat perkakas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”
Hadis ini menerangkan bahawa hukum asal menggunakan perkakas orang bukan Islam ialah harus kerana ia dianggap suci.
Arahan Nabi agar membasuh perkakas tersebut terlebih dahulu ialah sebagai satu perbuatan yang sunat.
Jangan menggunakan perkakas orang bukan Islam jika jelas najisnya
Penggunaan perkakas orang bukan Islam seperti pinggan, mangkuk dan cawan ini dihukumkan suci jika ia kelihatan bersih.
Namun, jika kita melihatnya dengan jelas bahawa perkakas tersebut digunakan untuk menghidangkan najis berat seperti daging babi, maka kita perlu menyamaknya.
Kaedah samak pinggan tersebut adalah sama dengan kaedah menyamak najis Mughallazah iaitu dengan menggunakan tujuh bahagian air mutlak, dengan satu bahagian dicampurkan dengan tanah.
Akan tetapi, kita tidak mungkin akan menyamak pinggan milik jiran kita di rumahnya sendiri.
Oleh itu, jangan menggunakan pinggan tersebut jika jelas kegunaannya untuk menghidangkan daging babi.
Anda boleh cuba meminta pinggan lain yang bersih, dan membilasnya dengan menggunakan air dan sabun sebelum digunakan.
Kaedah seperti ini sudah memadai.
Berkongsi perkakas makanan di tempat kerja

Persekitaran tempat kerja kita mungkin dikelilingi oleh mereka yang bukan Islam.
Di pantri pejabat, pasti telah disediakan dengan kemudahan seperti pinggan, mangkuk dan juga cawan.
Dalam Islam, adalah harus untuk kita berkongsi penggunaan pinggan mangkuk seperti ini bersama rakan yang bukan beragama Islam.
Namun, jika anda benar-benar berasa was-was, anda boleh membawa bekas makanan anda sendiri yang hanya digunakan oleh anda di pejabat.
Untuk rakan yang bukan Muslim pula, disarankan untuk mereka menggunakan pinggan mangkuk tersebut untuk makan makanan yang halal sahaja.
Sekurang-kurangnya, elakkan daripada menggunakannya untuk menghidangkan daging babi.
Begitu juga dengan cawan, sebolehnya elakkan daripada menggunakannya untuk meminum arak.
Ini bertujuan bagi menjaga sensitiviti rakan Muslim yang lain.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1193-al-kafi-303-mengguna-perkakas-dapur-orang-bukan-islam