Apakah Kaitan Penubuhan PERKIM Dengan Tunku Abdul Rahman

PERKIM Malaysia telah menjadi salah satu daripada organisasi utama pengislaman saudara baru di Malaysia.

Namun, tahukah anda bahawa PERKIM amat sinonim dengan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman?

Latar belakang penubuhan PERKIM Malaysia

perkim malaysia
Sumber: Facebook PERKIM Kebangsaan

PERKIM merupakan singkatan bagi Pertubukan Kebajikan Islam Malaysia.

Pertubuhan ini telah ditubuhkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 19 Ogos 1960.

Organisasi PERKIM yang beroperasi di peringkat negeri-negeri disebut sebagai PERKIM Bahagian.

Kini, terdapat 13 PERKIM Bahagian di seluruh Malaysia.

Di peringkat bahagian pula, terdapat cawangan PERKIM di setiap daerah negeri tersebut.

Visi dan misi penubuhan PERKIM Malaysia

Visi penubuhan organisasi ini adalah untuk berperanan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dakwah yang selari dengan Wawasan 2020.

Misi PERKIM pula ialah untuk menjadikan PERKIM ini sebagai sebuah badan penggerak dakwah yang paling unggul bagi menyokong institusi-institusi Islam yang terdapat di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

Terdapat lima elemen utama yang dipegang dalam menjayakan misi dan visi PERKIM ini.

Elemen-elemen tersebut ialah dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dalam bidang agama Islam serta lain-lain kegiatan untuk manfaat Islam.

Pemimpin-pemimpin yang pernah menerajui PERKIM Malaysia

perkim malaysia
Sumber: Facebook PERKIM Kebangsaan

Terdapat beberapa tokoh nasional terkenal yang pernah menerajui organisasi dakwah ini.

Antara individu-individu yang pernah dipilih menjadi Yang Dipertua PERKIM ialah YTM Tunku Abdul Rahman, Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dipilih sebagai Yang Dipertua PERKIM bermula tahun 2006 sehinggalah sekarang. 

Jasa Tunku Abdul Rahman terhadap perkembangan PERKIM

Selain pernah menjadi Yang Dipertua PERKIM, sebenarnya jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman amat siginifikan dalam penubuhan PERKIM.

PERKIM sendiri sebenarnya telah ditubuhkan secara rasmi di rumah beliau, hasil daripada perbincangan bersama beberapa individu yang berhasrat menubuhkan sebuah entiti dakwah di Malaysia.

Sewaktu penubuhan PERKIM itu, Tunku sendiri telah menyumbangkan RM20,000 sebagai dana permulaan PERKIM.

Tunku sendiri telah mempersembahkan laporan penubuhan PERKIM ke bawah Duli Raja-Raja selain mendapatkan sokongan Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Tunku sendiri telah memulakan usaha mencari modal bagi membina sebuah Balai Islam di Kuala Lumpur.

Antaranya, Tunku telah meminta jutawan Runme Shaw yang menetap di Singapura untuk memberikan wang kutipan tayangan filem ‘Lawrence of Arabia’ kepada PERKIM sebagai tabung pembinaan.

Selain itu, Tunku sendiri telah menyewa sebuah kediaman yang terletak di Jalan Ampang sebagai pusat latihan mubaligh muda PERKIM.

Malah, sewaktu Tunku Abdul Rahman menjadi Yang Dipertua PERKIM, pembinaan ibu pejabat PERKIM di Jalan Ipoh telah dapat direalisasikan.

Tunku sendiri telah meminta untuk membina ibu pejabat tersebut hasil perbincangannya bersama Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Disebabkan jasa-jasanya yang besar ini, tidak hairanlah mengapa Tunku Abdul Rahman juga digelar sebagai Bapa PERKIM. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *