Pada 25 April 2015, dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan sekitar Kathamandu, Nepal. Gempa bumi yang berkekuatan 7.8 pada skala Ritcher tersebut telah mengakibatkan sekitar 9,000 individu maut dan beribu-ribu yang lain mengalami kecederaan. Sekitar 600,000 struktur bangunan juga musnah dan runtuh akibat gempa bumi yang dahsyat ini. Namun, disebalik kejadian gempa bumi yang mengerikan ini, pasti ramai yang terfikir apakah punca gempa bumi yang berlaku seperti di Nepal ini?
Dalam Surah Al-Mulk, ayat ke-16, Allah ada berfirman yang bermaksud:
“Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?”
Apa yang boleh difahami daripada ayat ini? Adakah ia menceritakan maklumat berkenaan kejadian atau punca gempa bumi?
4 lapisan bumi dan plat tektonik

Lapisan bumi terdiri daripada 4 lapisan utama iatu lapisan teras dalam, teras luar, mantel dan juga kerak bumi. Bagi lapisan teras dalam iaitu lapisan bumi yang paling dalam, ia terdiri daripada logam pejal.
Lapisan teras luar pula mengandungi logam separa pepejal. Lapisan mantel yang merupakan lapisan paling tebal pula terdiri daripada batuan lebur yang dipanggil sebagai magma.
Lapisan terakhir iaitu lapisan kerak bumi yang merupakan lapisan paling luar pula terdiri daripada batu bata yang keras. Kerak bumi juga merupakan lapisan bumi yang paling nipis.
Lapisan kerak bumi dan lapisan paling atas mantel membentuk sesuatu yang dikenali sebagai plat tektonik. Untuk pengetahuan anda, plat tektonik ini mempunyai ketebalan sekitar 100 kilometer.
Ia bukanlah satu daratan yang boleh dilihat, tetapi ia merupakan satu lapisan di bawah laut bagi setiap benua dan kepulauan yang ada di daratan. Semestinya plat tektonik ini adalah lapisan plat yang tidak dapat dilihat dari daratan.
Kadangkala plat tektonik ini akan bergerak secara perlahan-lahan bahkan bertembung antara satu sama lain.
Apakah punca gempa bumi yang berlaku?

Gempa bumi berlaku apabila dua blok lapisan bumi tergelincir antara satu sama lain. Plat-plat tektonik biasanya akan bergerak secara perlahan-lahan, tetapi akan tersekat atau tersangkut di pinggirnya (plate boundaries) disebabkan geseran yang berlaku.
Pada ketika ini, kedua-dua plat tidak akan bergerak tetapi akan menolak antara satu sama lain. Apabila tekanan di pinggir plat ini melepasi geseran tersebut, maka gempa bumi akan berlaku dan melepaskan tenaga dalam bentuk gelombang yang bergerak melalui kerak bumi.
Hal inilah yang menyebabkan gegaran yang dapat kita rasakan jika ia berlaku. Semasa gempa bumi berlaku, plat tektonik ini akan terus bergerak dan akan berhenti kembali apabila ia bergeser semula antara satu sama lain.
Bolehkah kita menjangkakan kejadian gempa bumi?
Tidak sama sekali. Banyak kajian telah dilakukan oleh para pengkaji berkenaan cara untuk meramalkan kejadia gempa bumi. Namun, tiada satu cara pun yang berjaya untuk meramal kejadian alam ini.
Penerangan Al-Quran berkenaan gempa bumi

Melalui ayat ke-16, Surah Al-Mulk tersebut, Allah ada menggunakan kalimah “Yakhsifa”. Dalam bahasa Arab, kalimah “Yakhsifa” ini bermaksud runtuh ke bawah atau ditimbus bumi.
Manakala kalimah “Tamur” pula membawa maksud getaran atau gegaran yang menceritakan keadaan bumi yang bergegar sejurus selepas ia runtuh ke bawah.
Ini menunjukkan bahawa kejadian gempa bumi atau tanah runtuh yang berlaku ini kemudiannya akan menyebabkan gegaran. Seperti yang kita fahami sebelum ini, sejurus gempa bumi berlaku, akan berlaku gegaran yang disebabkan oleh gelombang pada lapisan kerak bumi.
Hal ini jelas memberitahu kita bahawa, walaupun Al-Quran telah diturunkan sejak sekian lama di kawasan padang pasir tanah Arab, ia mempunyai penerangan ilmu geologi berkenaan bagaimana gempa bumi tersebut berlaku.
Ini juga membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah dikarang oleh manusia, tetapi oleh Pencipta kepada semua rahsia kejadian alam yang berlaku di muka bumi ini.
Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
https://www.britannica.com/topic/Nepal-earthquake-of-2015
https://www.usgs.gov/natural-hazards/earthquake-hazards/science/science-earthquakes