“Pusat Zakat Tak Buat Kerja? Mana Pergi Pusat Zakat?” Nanti Dulu, Tak Semua Cerita Viral Itu Benar!

Setiap kali tularnya cerita mengenai kesusahan individu atau keluarga Muslim, pasti ramai yang menuding jaring ke arah pusat zakat.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pusat zakat seperti tidak membuat kerja dengan baik, tidak telus dan pelbagai lagi tuduhan-tuduhan lain.

Namun, kebanyakan daripada cerita yang ditularkan itu kadangkala tidak benar dan hanya didapati daripada sebelah pihak sahaja.

Oleh itu, timbul pelbagai persepsi kurang baik terhadap pusat zakat dalam keadaan masih menerima cerita yang separuh masak.

Dalam kes-kes seperti ini, ada beberapa perkara yang perlu kita fahami dan amalkan.

#1. Lakukan tabayyun terlebih dahulu

Apabila mendapat berita mengenai kesusahan hidup seseorang, ramai daripada pasti berasa kasihan dan juga sedih. Namun, jangan sesekali untuk terus mempercayai segala cerita yang dibawa tanpa mendapat berita atau penerangan daripada pihak-pihak berkaitan yang lain.

Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila mendapat berita atau sesuatu cerita ialah bertabayyun terlebih dahulu. Apakah maksud tabayyun?

Tabayyun bermaksud memeriksa dan menyemak mengenai kebenaran sesuatu berita atau perkhabaran yang diterima.

Ini bagi mengelakkan diri kita daripada mendapat berita yang salah dan tidak benar yang seterusnya boleh memburukkan pihak lain disebabkan hawa nafsu yang berlandaskan berita yang tidak benar.

Imam Al-Syaukani ada menyebut bahawa tabayyun ialah memeriksa sebarang berita dengan begitu teliti iaitu secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.

Dalam Al-Quran sendiri, Allah Taala ada menyebut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu mengenainya – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujuraat, ayat keenam)

Konsep tabayyun ini ialah langkah pertama yang mesti dilakukan oleh setiap individu tatkala menerima sesuatu berita terutamanya berita yang berpotensi menjatuhkan imej pihak yang lain.

Ingatlah, tabayyun boleh menghentikan penyebaran fitnah. 

#2. Buat semakan dengan pihak berwajib

pusat zakat

Sudah banyak kali berlaku sebelum ini dimana cerita yang ditularkan itu merupakan satu rekaan semata-mata.

Terdapat kes dimana individu atau pihak yang ditularkan itu rupanya sudah lama menerima bantuan daripada pusat zakat dan pihak-pihak lain, namun tidak dinyatakan atau disembunyikan maklumat tersebut.

Ada juga yang cuba menipu bagi meraih perhatian dan mendapatkan lebih banyak bantuan kerana tidak mahu berusaha atau bekerja lagi. Ia mungkin kedengaran agak mustahil tetapi ia sememangnya berlaku.

Oleh kerana itu, setiap kali kita menerima berita mengenai kesusahan seseorang, lakukan semakan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu bagi menyiasat status penerimaan bantuan.

Semakan boleh dibuat sama ada dengan pusat zakat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau badan-badan NGO yang berkaitan. 

#3. Laporkan kepada pusat zakat jika ada kes di tempat anda

Adakalanya, pusat zakat atau jabatan kerajaan yang lain terlepas pandang mengenai status kesusahan yang dialami oleh seseorang individu atau sesebuah keluarga tersebut.

Oleh itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, mainkan peranan anda dengan membuat laporan ke pusat zakat agar mereka mendapat maklumat dan terus bertindak atas maklumat tersebut.

Tidak perlu menuding jari kepada pusat zakat semata-mata jika diri kita sendiri hanya melihat dan tidak berbuat apa-apa tindakan bagi memulihkan keadaan.

Mendekati golongan yang memerlukan ini tidak semudah menuding jari dan menyebarkan berita palsu di media sosial.

Bantu pusat zakat untuk mendekati golongan ini dengan memberikan maklumat kepada pihak berkaitan. 

#4. Ambil sedikit masa untuk pusat zakat mengesahkan maklumat

pusat zakat

Apabila tular mengenai sesuatu kisah kesusahan individu, ramai yang mempersoalkan kemanakah perginya pusat pungutan zakat.

Pernyataan ini seolah-olah menyatakan bahawa pusat zakat seperti tidak melakukan kerja.

Perlu diingat, pusat zakat perlu menguruskan ratusan malah ribuan keluarga dan juga individu yang memohon dan menerima bantuan zakat.

Selain itu, setiap kes yang berlaku perlu diselidiki terlebih dahulu dan memerlukan sedikit masa untuk mengesahkan keadaan mereka.

Jangan pelik kerana ada juga yang memberikan maklumat palsu sewaktu memohon bantuan zakat dan perkara seperti ini yang perlu ditapis bagi mengelakkan harta zakat pergi ke pihak yang tidak layak menerimanya.

Setiap permohonan perlu melalui prosedur tertentu agar tidak timbul isu berbangkit pada masa akan datang. 

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *