Sebelum memeluk Islam, Samuel Earle Shropshire merupakan seorang pastor atau paderi Kristian di Amerika Syarikat.
Namun, perjalanannya di Arab Saudi telah mengubah kesemua jalan hidupnya kepada jalan Islam.
Ini kisah ringkas bagaimana Samuel menemui cahaya Islam.
Samuel Earle Shropshire ke Arab Saudi untuk tujuan kerja

Pada tahun 2011, Samuel Earle Shropshire telah berkelana ke Jeddah, Arab Saudi untuk bekerja sebagai editor.
Projek yang perlu dikendalikan olehnya adalah untuk menghasilkan terjemahan Al-Quran berbahasa Inggeris yang mudah untuk dibaca.
Pada awal pengembaraannya, dia berasa agak risau berkenaan keputusannya untuk bekerja di Arab Saudi.
Dia risau sekiranya dia perlu berhadapan dengan pelbagai diskriminasi oleh penduduk di Arab Saudi disebabkan oleh agama Kristian yang dianutinya.
Namun, sejurus tiba dan menetap di Arab Saudi, segalanya ternyata amat berbeza.
Dia dilayan dengan baik dan dialu-alukan di sana walaupun mereka mengetahui bahawa dirinya adalah seorang yang beragama Kristian.
Projek terjemahan Al-Quran tarik hati Samuel Earle Shropshire
Semasa beliau melakukan terjemahan Al-Quran, timbul pelbagai persoalan di mindanya.
Lalu dia berusaha mencari jawapan terhadap persoalan yang dimilikinya.
Dia juga terkejut, bagaimana Al-Quran, kitab suci orang Islam begitu menyanjung tinggi kedudukan Nabi Isa dan juga ibunya, Maryam.
Kerja-kerja terjemahan Al-Quran selain akhlak orang Islam menjadi antara sebab utama mengapa beliau mula tertarik dengan ajaran Islam.
Selain itu, hatinya juga terkesan dengan seruan azan yang mengajak orang untuk bersolat.
Dia juga ada melihat bagaimana orang Islam bersolat di masjid berhampiran.
Dia menyatakan bahawa sudah lama menyimpan hasrat untuk pergi ke masjid kerana berasa ‘kehadiran’ Tuhan di dalamnya.
Beberapa bulan kemudian, dia membuat keputusan dengan memberanikan diri untuk hadir ke masjid.
Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam selepas itu dan telah menjadi pendakwah Islam sejak dari saat itu.
Gerak kerja dakwah Samuel

Beliau kini sudah berumur 71 tahun dan mempunyai kelayakan Ijazah Doktor Teologi, bersamaan dengan Ijazah Doktor Falsafah.
Dia mengabdikan dirinya dengan pelbagai kerja-kerja kemanusiaan seperti hak asasi manusia dan keamanan.
Dia terlibat melobi Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selama hampir 35 tahun dalam bidang ini.
Selain itu, dia juga mempunyai jaringan hubungan yang kuat bersama pastor, paderi, rahib, ahli kongres, ahli parlimen dan juga ketua-ketua kerajaan di seluruh dunia.
Dia adalah pengasas kepada sebuah pertubuhan bukan keuntungan, Muslim Voice for Peace & Reconciliation, yang menyatukan Muslim di seluruh dunia bagi mempromosikan keamanan dunia.
Rujukan: