“Allah Maha Pengampun? Tapi Kenapa Ada Hukuman Yang Berat?” Ini Cara Untuk Menjawabnya

Orang Islam mempercayai bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Tetapi ada juga golongan di luar sana yang memepertikaikan kepercayaan ini. Mereka berkata, jika benarlah sifat Allah Maha Pengampun, mengapa Allah menjatuhkan hukuman yang berat kepada orang Islam?

Bukankah ia lebih kepada sifat berdendam?

Al-Quran terangkan bahawa Allah Maha Mengasihani

Dalam Al-Quran, sifat Allah Maha Mengasihani telah banyak kali disebutkan dalam kesemua surah kecuali Surah At-Taubah. Ini kerana Surah At-Taubah tidak bermula dengan lafaz Basmalah.

Semua surah lain selain surah ini telah dimulakan dengan lafaz indah memuji Allah iaitu Basmalah.

Lafaz Bismillah-hir-Rahman-nir-Rahim ini membawa maksud, Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 

Al-Quran juga sebut bahawa sifat Allah Maha Pengampun

Dalam Al-Quran, ada beberapa surah yang menyatakan berkenaan sifat Allah Maha Pengampun.

Antaranya ialah dua ayat Al-Quran daripada Surah An-Nisa (ayat 25) dan Surah Al-Maidah (ayat 74) yang bermaksud:

“..Dan ingatlah, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Hanya orang yang ingkar suruhannya akan menerima balasan

sifat allah maha pengampun

Selain mempunyai sifat yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun, Allah juga sangat tegas dalam memberikan hukuman atau balasan yang setimpal kepada mereka yang mengingkarinya.

Hukuman berat akan diberikan oleh Allah kepada orang-orang kafir serta orang yang menolak segala kebenaran yang diterangkan kepadanya.

Selain itu, hukuman juga diberikan kepada mereka yang melanggar suruhannya.

Mereka yang sentiasa berbuat baik, beramal soleh dan melaksanakan perintahnya pula terpelihara daripada sebarang hukuman dan siksaan Allah.

Oleh itu, kita tidak boleh menyatakan bahawa Allah itu adalah pendendam atau kejam jika Dia hanya menghukum mereka yang berbuat salah, dan memelihara mereka yang berbuat baik. 

Sifat Allah Maha Pengampun: bukti Allah itu Maha Adil

Allah bukan bersifat pendedam. Ini kerana hukuman yang diberikan oleh Allah itu hanyalah kepada mereka yang berbuat jahat dan mengingkari arahannya.

Hukuman yang diberikan juga setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan, selain memberikan keadilan kepada orang lain.

Antara bukti adilnya pengadilan Allah ini boleh dilihat melalui maksud ayat berikut:

“Dan ingatlah, Kami (Allah) akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amal makhluk-makhluk pada hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika amalnya itu seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya untuk ditimbang dan dihitung; dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

Ayat tersebut menjelaskan betapa Allah itu menghitung serta menimbang segala amal perbuatan kita tidak kira sekecil mana pun ia. 

Anologi guru dan pelajar yang meniru

Bayangkan satu situasi ini. Ketika sedang berlangsungnya peperiksaan, seorang guru telah menangkan seorang pelajar yang meniru ketika menjawab soalan peperiksaan.

Tetapi guru tersebut menyatakan bahawa dia adalah guru yang baik dan mengasihi pelajarnya.

Dia kemudiannya memaafkan pelajar yang meniru tersebut dan membenarkan pelajar tersebut untuk terus meniru.

Bagi pelajar lain yang tidak meniru, mereka tidak menganggap guru tersebut sebagai seorang yang adil, bahkan mereka menganggap beliau seorang yang berat sebelah.

Maka kejadian ini akan menggalakkan pelajar lain untuk turut serta meniru dalam peperiksaan.

Begitulah perbandingan yang boleh dibuat bagi mengatakan setiap hukuman Allah itu adalah adil dan saksama untuk semua pihak. 

Allah masih memberikan peluang walaupun telah berbuat salah

sifat allah maha pengampun

Setiap kesalahan yang dilakukan manusia, pasti akan dihukum oleh Allah. Hukuman tersebut boleh terlaksana sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Namun, Allah juga masih memberikan peluang kedua bagi mereka yang menyesali tindakan mereka terdahulu. Ia disebut sebagai taubat.

Jika seseorang manusia itu telah bertaubat daripada melakukan kesalahan, maka Allah pasti akan memaafkannya.

Janji Allah ini dirakamkan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53. Mafhumnya:

“Katakanlah wahai Muhammad: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Hujah-hujah yang diberikan ini jelas menunjukkan bahawa sifat Allah Maha Pengampun dan juga Maha Pemurah.

Allah masih menerima penyesalan hambanya dan menerima mereka kembali ke pangkuannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *