Status Mualaf: Berapa Lamakah Golongan Mualaf Memegang Status Sebagai Mualaf?

Pernahkah anda terfikir, sekiranya seseorang individu memeluk Islam, berapa lamakah tempoh masa dia akan memegang status mualaf tersebut?

Adakah seseorang mualaf itu akan digelar mualaf sepanjang hayatnya? Baca kupasan di bawah ini.

Pengertian mualaf

Terdapat pelbagai makna atau tafsiran yang diberikan bagi istilah mualaf.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mendefinisikan mualaf sebagai mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk memeluk Islam.

Mualaf dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu mereka yang telah memeluk Islam dan juga mereka yang belum memeluk Islam, tetapi mempunyai kecenderungan untuk memeluk Islam.

Ramai yang tidak mengetahui, bahawa orang bukan Islam yang cenderung kepada Islam juga disebut sebagai mualaf.

Bukan hanya mereka yang telah memeluk Islam sahaja.

Adakah terdapat tempoh masa atau had bagi status mualaf?

status mualaf

Islam tidak pernah menetapkan sebarang tempoh atau had masa bagi seseorang individu tersebut dikategorikan sebagai mualaf.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan, tiada sebarang dalil dalam Islam yang mewajibkan seseorang yang baru memeluk Islam untuk digelar sebagai mualaf.

Sebutan dan juga had tempoh masa panggilan mualaf ini adalah sesuatu yang bersifat Uruf atau kebiasaan setempat sahaja.

Di negeri-negeri di Malaysia, ada beberapa negeri yang menetapkan had tempoh status mualaf ini.

Antara negeri-negeri tersebut ialah:

  • Selangor: 5 tahun
  • Melaka: 5 tahun
  • Johor: ikut penghayatan agama
  • Pahang: 7 tahun
  • Terengganu: 3 tahun
  • Sabah: tempoh asas ialah 5 tahun dan boleh dilanjutkan hingga 7 tahun

Bagi negeri Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak, tiada sebarang had tempoh masa untuk status mualaf. 

Status mualaf perlu dihadkan

status mualaf

Menurut Prof. Madya Dr. Azman Abd Rahman, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, status mualaf ini perlu dihadkan tempohnya untuk kebaikan semua pihak.

Salah satu sebabnya adalah untuk memastikan penyeragaman pemberian zakat kepada asnaf mualaf.

Tanpa sebarang tempoh had status mualaf, maka golongan mualaf mungkin akan menerima zakat bagi asnaf mualaf sepanjang hayatnya walaupun sudah berjaya dalam pekerjaan mereka.

Ini untuk memastikan agar bantuan zakat dapat diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti golongan asnaf yang lain.

Menurut Prof. Madya Dr Azman lagi, beliau bersama rakan penyelidik lain telah membangunkan satu model yang dinamakan Indeks Penentuan Had Tempoh Mualaf.

Model ini telah dibangunkan setelah kajian dijalankan ke atas semua Jabatan Agama Negeri, Pusat Zakat dan persatuan mualaf.

Berdasarkan model tersebut, had tempoh status mualaf dicadangkan selama lapan tahun sahaja. Ini adalah berdasarkan tempoh peralihan daripada umur mumayyiz hinggalah ke umur baligh.

Modul tersebut turut menyediakan modul pembelajaran yang merangkumi aspek akidah, fiqh, munakahat, akhlak, muamalah, jinayat dan hadis.

Sekiranya mereka berjaya melepasi ujian penilaian berdasarkan modul tersebut, maka mereka bukan lagi tergolong sebagai mualaf kerana telah berjaya memahami dan menghayati Islam pada tahap yang telah ditetapkan. 

Mualaf tiada masalah dengan panggilan mualaf

Ada kajian yang dilakukan menyatakan, kebanyakan mualaf sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dengan status atau panggilan mualaf keatas diri mereka.

Mereka menerima panggilan mualaf itu sebagai sesuatu yang positif.

Namun, mereka menyatakan bahawa mereka lebih gemar jika dipanggil sebagai saudara Muslim kerana panggilan tersebut jauh lebih dekat dan mesra untuk mereka. 

https://www.researchgate.net/publication/305495361_Penerimaan_Penggunaan_Istilah_Mualaf_Dalam_Kalangan_Mualaf_Di_Malaysia
https://www.usim.edu.my/portfolio-items/model-indeks-penentuan-had-tempoh-mualaf/
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2016/06/168541/status-mualaf-perlu-dihadkan-pensyarah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *