Pernah ada cadangan yang mengusulkan agar pembinaan rumah-rumah ibadat dilakukan dalam satu kawasan. Sebagai contoh, masjid, gereja, kuil dan tempat ibadat agama lain dibina dalam satu bangunan sahaja.
Cadangan ini adalah sebagai usaha untuk mengharmonikan hubungan antara penganut agama. Persoalannya, bolehkah rumah ibadat agama-agama ini disatukan?
Pembinaan rumah ibadat dalam satu kawasan adalah tidak wajar

Antara sebab mengapa cadangan ini sangat tidak wajar adalah kerana ia boleh merosakkan syiar agama Islam.
Masjid adalah rumah Allah dan lambang bagi agama Islam.
Jika rumah ibadat agama-agama lain dibina dalam satu bangunan yang sama, maka secara tidak langsung akan timbul anggapan bahawa rumah ibadat lain juga adalah rumah Allah.
Selain itu, pembinaan rumah ibadat agama-agama dalam satu bangunan atau kawasan yang sama boleh dianggap sebagai satu penerapan idea pluralisme.
Pluralisme agama membawa maksud bahawa semua agama adalah benar dan sama.
Dalam agama Islam, konsep pluralisme agama ini adalah salah kerana satu-satunya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam.
Bolehkah sesuatu rumah ibadat itu ditukar untuk menjadi tempat ibadat penganut agama lain?
Menurut pendapat Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, jika tempat ibadat itu adalah milik persendirian, maka pemiliknya berhak untuk menukarkan tempat tersebut kepada rumah ibadat agama lain.
Sebagai contoh, surau milik persendirian yang ditukar sebagai tempat ibadat agama lain.
Hal ini dibenarkan kerana surau tersebut bukan milik orang awam dan tidak diwartakan oleh kerajaan sebagai rumah ibadat khusus untuk orang Islam.
Begitu juga jika kita menumpang untuk bersolat di rumah orang bukan Islam.
Kita boleh bersolat di sana selagi mana mereka membenarkannya.
Jika pemilik rumah tidak lagi mengizinkan kita untuk bersolat di rumahnya, maka kita tidak boleh membantah kerana itu adalah haknya.
Pemilik kawasan persendirian juga perlulah bersifat dengan lebih sensitif agar tidak menyakiti hati penganut agama lain dengan tumbulnya polemik pertukaran rumah ibadat.
Adalah lebih baik bagi pemilik kawasan persendirian seperti hotel, resort, atau tempat-tempat yang sering dikunjungi orang ramai, untuk menyediakan tempat beribadat khusus bagi orang Islam dan penganut agama lain.
Bagi tempat-tempat ibadat yang telah diwujudkan khusus untuk tujuan ibadat agama tertentu, maka ia tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya bagi tujuan keagamaan lain.
Dibolehkan membina tempat solat bersebelahan rumah ibadat lain, tetapi di kawasan yang berbeza

Tiada masalah jika rumah ibadat tersebut dibina secara berdekatan atau bersebelahan, namun mestilah dalam kawasan yang berbeza.
Ia dibolehkan atau diharuskan. Ini kerana ia berada dalam kawasan yang berbeza, walaupun hanya bersebelahan sahaja.
Selain itu, berkongsi tempat beribadat juga adalah dibolehkan dalam Islam.
Sebagai contoh, terdapat sebuah pondok atau rumah tempat berehat.
Orang-orang Islam dibenarkan untuk berkongsi tempat tersebut bagi tujuan menunaikan ibadat bersama penganut agama lain.
Orang Islam bersolat di satu sudut kawasan rumah, manakala penganut agama lain melakukan ibadat mereka di satu sudut yang lain.
Salah satu sebabnya adalah kerana tempat tersebut bukanlah tempat khusus yang dibina atau dijadikan rumah ibadat.
Maka berkongsi rumah ibadat seperti ini dibenarkan dalam Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd