Dalam kalangan masyarakat bukan Islam, ada beberapa upacara kematian yang dilakukan oleh mereka.
Ini termasuklah upacara memperingati si mati.
Sebagai seorang Muslim, adakah kita dibenarkan atau dibolehkan untuk menghadiri upacara sebegini?
Upacara kematian: hukum hadir ke majlis memperingati kematian
Dalam budaya orang Melayu Muslim, kita mempunyai budaya kenduri tahlil dan bacaan Surah Yaasin bagi mendoakan individu yang telah meninggal dunia.
Begitu juga dengan orang bukan Islam, mereka mempunyai majlis atau upacara bagi memperingati kematian si mati.
Bagi orang Islam, adakah kita dibenarkan untuk menghadiri upacara memperingati si mati?
Islam tidak melarang umatnya untuk menghadiri upacara seperti ini.
Namun, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian agar tidak menjerumuskan kita ke dalam kekufuran.
Pertama: Upacara kematian tidak diadakan di rumah ibadat mereka

Bukanlah bermakna kita tidak boleh hadir ke upacara memperingati kematian yang diadakan di rumah ibadat, namun dikhuatiri kita akan turut menyertai sebarang upacara ritual keagamaan mereka.
Kita mungkin tidak mengetahui bahawa ada beberapa perkara semasa upacara memperingati kematian itu mempunyai unsur-unsur keagamaan seperti bacaan doa.
Namun, sekiranya ia dilakukan di lokasi selain daripada dewan sembahyang rumah ibadat tersebut, maka ia adalah harus.
Sebaiknya bagi orang Islam untuk cuba mengelakkan diri daripada hadir ke sebarang upacara yang diadakan di dalam dewan sembahyang mereka bagi mengelakkan sebarang fitnah.
Kedua: tidak melakukan sebarang ritual keagamaan
Perkara kedua yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya ialah berkenaan aktiviti atau upacara keagamaan.
Mungkin ada beberapa upacara yang kita tidak begitu pasti hukum mengenainya.
Sebagai contoh, memegang lilin sebagai tanda berkabung.
Kita perlu melihat sama ada aktiviti memegang lilin ini adalah satu bentuk adat atau ritual keagamaan.
Jika ia sekadar adat yang tidak melambangkan sesuatu yang syirik, maka hukumnya adalah harus untuk dilakukan.
Namun, jika memegang lilin tersebut merupakan sebahagian daripada ritual, maka hukumnya adalah tidak harus atau tidak dibolehkan.
Ketiga: tidak mendoakan kesejahteraan di akhirat untuk si mati

Bagi orang bukan Islam, mereka tidak beriman atau mempercayai dengan kepercayaan yang dipegang oleh orang Islam.
Oleh itu, tidak sewajarnya bagi orang Islam untuk mendoakan kesejahteraan di akhirat untuk si mati.
Kita tidak boleh mendoakan agar si mati ini mendapat keampunan dosa, dimasukkan ke dalam syurga atau mendapat pahala atas kebaikan semasa dia masih hidup.
Namun, kita dibenarkan untuk mengucapkan takziah atas kematiannya sebagai tanda kesedihan kita.
Tutup pintu fitnah
Bagi orang Islam, adalah lebih baik bagi kita untuk memelihara diri daripada terdedah kepada pintu-pintu fitnah.
Walaupun tidak dilarang untuk menghadiri upacara memperingati kematian, namun sebolehnya untuk kita mengelakkan diri daripada menghadirinya.
Apatah lagi jika ia diadakan di dalam rumah ibadat agama lain.
Jadikan niat kita menghadiri upacara seperti ini adalah untuk menunjukkan keharmonian agama Islam dalam hidup bermasyarakat.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd