USIA Sabah, Pertubuhan Dakwah Negeri Sabah Yang Berjaya Islamkan Ribuan Penduduk Peribumi

Pertubuhan Islam Seluruh Sabah atau ringkasnya USIA, adalah sebuah pertubuhan dakwah terulung yang khusus melakukan kerja dakwah di Negeri Sabah.

Pertubuhan ini juga boleh dikatakan antara entiti dakwah ‘otai’ yang pernah ada di Malaysia.

Berikut adalah sedikit sejarah dan pengalaman USIA Sabah dalam dunia perkaderan Islam.

Bagaimana Pertubuhan Islam Seluruh Sabah mula terbentuk?

pertubuhan islam seluruh sabah

Perkataan USIA itu sebenarnya adalah ringkasan daripada frasa United Sabah Islamic Association.

USIA mula ditubuhkan pada 16 Ogos 1969 oleh Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun.

Ketika Sabah mencapai kemerdekaan melalui penyertaannya ke dalam Persekutuan Malaysia, jumlah penganut agama Islam di Sabah masih lagi rendah.

Dengan itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun telah memulakan satu usaha pengislaman atau islamisasi besar-besaran di seluruh Negeri Sabah.

Tujuannya adalah untuk menambahkan jumlah penganut agama Islam di Negeri Sabah.

Dengan itu, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah ditubuhkan sebagai penggerak utama usaha islamisasi ini.

Selain daripada itu, hasil penubuhan USIA juga telah berjaya memartabatkan Islam ke tahap yang lebih tinggi dengan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi Negeri Sabah.

USIA bertindak sebagai badan utama umat Islam di Sabah pada ketika itu sebelum Majlis Ugama Islam Sabah dibentuk. 

Perkembangan drastik penubuhan USIA Sabah

Semasa penubuhan awal pertubuhan ini, banyak langkah drastik yang telah dilakukan bagi memastikan setiap gerak kerja USIA dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Pada ketika awal penubuhannya, seramai 17 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah telah dilantik untuk menganggotai Majlis Tertinggi USIA.

Selain itu, 14 orang tokoh masyarakat yang berpengaruh serta 10 orang pegawai tinggi kerajaan juga dilantik menganggotai majlis tertinggi tersebut.

Hasilnya, dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya, USIA Sabah telah berjaya menubuhkan sebanyak 22 USIA Bahagian dan 376 cawangan di seluruh Sabah. 

Cergasnya Pertubuhan Islam Seluruh Sabah berdakwah

Menurut kajian yang dilakukan oleh Suraya Sintang (2005), kegiatan pengislaman oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah ini sememangnya sangat rancak dilakukan sekitar tahun 70-an.

Salah satu contoh adalah gerakan dakwah yang dilakukan di Kota Marudu bermula Februari hingga Jun 1973.

Pada ketika itu, USIA telah menggerakkan seramai 50 orang pegawai penggerak dari daerah-daerah lain ke Kota Marudu.

Sebelum dakwah di sana dijalankan, mereka telah berkumpul dan menjalani kursus khas selama dua hari.

Kemudiannya, mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan.

Setiap kumpulan ini diarahkan untuk berdakwah kepada 20 hingga 30 buah perkampungan di Kota Marudu.

Mereka ditugaskan untuk cuba menarik minat penduduk bukan Islam untuk memeluk agama Islam.

Hasilnya, pada bulan Jun 1973 iaitu selepas lima bulan berdakwah, seramai 4,097 penduduk di Kota Marudu telah memeluk Islam.

Meriahnya dakwah pada ketika itu, dianggarkan antara 500 hingga 1000 individu akan memeluk Islam dalam satu-satu majlis pengislaman yang diadakan.

Majlis pengislaman besar-besaran ini telah berjaya diadakan di seluruh Negeri Sabah. 

Sumbangan USIA terhadap perkembangan Islam di Sabah

pertubuhan islam seluruh sabah

USIA telah berjaya merintis jalan kepada penubuhan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memudahkan urusan-urusan rasmi berkaitan agama Islam di Sabah.

USIA telah membuat satu resolusi agar Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan MUIS pada tahun 1971.

Selain itu, USIA juga dengan jelas telah berjaya mengislamkan ramai penduduk Sabah.

Dikatakan 80% daripada jumlah yang telah diislamkan itu adalah penduduk yang berketurunan etnik Kadazandusun.

USIA juga telah merintis penubuhan sekolah-sekolah agama di Negeri Sabah.

Sehingga tahun 1987, jumlah sekolah agama yang berjaya diwujudkan oleh USIA adalah sebanyak 103 buah sekolah rendah dan 3 buah sekolah menengah.

USIA juga telah berjaya menambahkan bilangan masjid dan surau sehingga mencapai jumlah 552 buah masjid pada tahun 2004. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *