Boleh Ke Tidak Untuk Wasiatkan Harta Kepada Orang Bukan Islam?

Dalam satu situasi, seorang mualaf telah merancang ingin memberikan sedikit hartanya kepada ibu bapanya apabila dia tiada kelak. Dia merancang untuk mewasiatkan hartanya itu. Persoalannya di sini, adakah orang Islam dibenarkan wasiat harta kepada orang bukan Islam?

Jumlah wasiat harta yang dibenarkan

wasiat harta

Tidak semua harta kita boleh diwasiatkan.

Dalam Islam, harta yang dibolehkan untuk diwasiatkan ialah sebanyak satu per tiga daripada keseluruhan harta.

Terdapat satu hadis yang menyatakan mengenai perkara ini, yang bermaksud:

Daripada Saad bin Abi Waqqas R.A, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu per tiga daripadanya?” Rasulullah S.A.W menjawab: “Maka boleh berwasiat satu pertiga daripada harta, sedangkan satu pertiga itu juga sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.

Syeikh Muhammad Zuhaili, dalam kitabnya, Al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafi’e, juga ada menyatakan mengenai hal ini.

Beliau berkata, disunatkan untuk berwasiat daripada satu per tiga hartaatau kurang daripada jumlah tersebut.

Dan wasiat tersebut lebih baik atau afdhal diberikan kepada ahli keluarga terdekat yang tidak menerima harta pusaka melalui faraid.

Bolehkah memberikan wasiat harta kepada orang bukan Islam?

wasiat harta

Islam membenarkan dan mengharuskan wasiat harta kepada orang bukan Islam.

Lebih-lebih lagi dalam situasi di mana ada ahli keluarga yang masih belum memeluk Islam.

Hukum memberi wasiat harta kepada orang bukan Islam ini sama sahaja seperti kita memberikan sedekah atau hadiah kepada mereka.

Namun, wasiat harta yang diberikan itu perlulah dibelanjakan kepada perkara-perkara kebaikan sahaja seperti membantu orang miskin, gelandangan, kebajikan anak yatim dan lain-lain lagi.

Selain itu, wasiat harta tidak boleh dilakukan dengan tujuan kemaksiatan kepada Allah seperti untuk tujuan pembinaan rumah ibadat, penulisan kitab-kitab orang bukan Islam, atau mengadakan upacara keagamaan bukan Islam.

Wasiat bagi tujuan ini adalah dilarang kerana urusan agama bagi orang bukan Islam perlulah diuruskan dan dilakukan oleh penganut agama tersebut sendiri.

Bagi situasi seperti yang dinyatakan sebelum ini, wasiat adalah cara terbaik memberikan harta kepada ibu bapa yang bukan Islam.

Ini kerana, perbezaan agama menghalang mereka untuk menerima harta pusaka atau faraid.

Namun, mereka tidak diharamkan untuk menerima wasiat. 

Kesimpulan

Islam tidak melarang berbuat baik kepada manusia termasuklah kepada orang bukan Islam.

Memberikan wasiat kepada orang bukan Islam juga adalah salah satu daripada kebaikan yang boleh dilakukan.

Namun, ia mestilah tidak lebih daripada satu per tiga harta kita.

Selain itu, wasiat juga lebih diutamakan kepada ahli keluarga yang tidak menerima faraid berbanding orang yang kita tidak kenali.

Semoga wasiat yang diberikan kepada ibu bapa mualaf yang masih belum memeluk Islam dapat melembutkan hati mereka, seterusnya menarik mereka kepada Islam. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *