Bolehkah jika sumbangan zakat umat Islam ini diberikan kepada orang bukan Islam dengan tujuan menjinakkan hati mereka kepada Islam? Apakah hukumnya memberikan zakat kepada bukan Islam?
Ada dua perbezaan pendapat mengenai zakat kepada bukan Islam
Dalam Al-Quran, ada disebut mengenai golongan mualaf sebagai salah satu penerima zakat.
Namun, dalam penentuan hukum memberikan zakat kepada bukan Islam, terdapat dua pandangan ulama’.
Ada yang melarangnya dan ada juga yang mengharuskan atau membenarkannya.
Dalam Mazhab Syafie, pemberian zakat kepada orang bukan Islam adalah dilarang sama sekali.
Begitu juga dengan alim ulama’ feqah dalam Mazhab Syafie, kesemuanya menyatakan pendapat yang serupa.
Ini termasuklah Imam Al-Syirazi dan Imam Nawawi.
Ada juga ulama’ yang membenarkan pemberian zakat kepada non-Muslim kerana ia termasuk dalam golongan ‘Muallafah Qulubuhum’, iaitu mereka yang ingin dijinakkan hati mereka.
Menurut para ulama, peruntukan ini termasuklah mualaf dan mereka yang masih belum memeluk Islam.
Antara ulama’ yang menyatakan keharusan memberikan zakat kepada orang bukan Islam ialah seperti Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Dr. Abd Karim Zaidan dan Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar.
Adakah golongan Muallafah Qulubuhum hanya bermaksud golongan mualaf?

Terdapat dua pandangan ulama’ yang menyatakan makna bagi lafaz Muallafah Qulubuhum dalam Al-Quran.
Pertama, ia bermaksud golongan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah memeluk agama Islam.
Ia juga merujuk kepada mana-mana individu yang baru memeluk Islam.
Pandangan kedua pula menyatakan bahawa, Muallafah Qulubuhum membawa makna dua golongan iaitu golongan Muslim dan juga bukan Muslim.
Sejarah menunjukkan Rasulullah pernah beri zakat kepada bukan Islam
Dalam kajian yang telah dilakukan oleh Profesor Madya Dr. Shamsiah Binti Mohamad, Pensyarah di Jabatan Usul Fiqh, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, beliau mendapati bahawa terdapat dua golongan bukan Islam yang pernah menerima zakat pada zaman Rasulullah.
Golongan pertama adalah golongan berpengaruh yang tidak mempunyai niat untuk memeluk Islam.
Golongan seperti ini mempunyai kedudukan dan pengikut yang ramai tetapi tidak menunjukkan hasrat untuk memeluk Islam.
Zakat diberikan kepada mereka untuk mengurangkan sentimen permusuhan mereka terhadap Islam.
Golongan kedua pula ialah golongan berpengaruh yang mempunyai niat untuk memeluk Islam.
Zakat diberikan kepada golongan kedua ini agar menguatan niat mereka untuk segera memeluk Islam.
Beliau turut menyatakan bahawa, tidak menjadi satu kesalahan di sisi syarak jika zakat diberikan kepada golongan bukan Islam.
Berikan keutamaan kepada orang Islam

Tidak dinafikan bahawa setiap pandangan, sama ada yang melarang dan mengharuskannya mempunyai hujah dan dalil yang tersendiri.
Di saat Islam sedang dipandang dengan imej negatif, mungkin zakat kepada orang bukan Islam ini boleh menjadi medium untuk melembutkan hati mereka.
Ia juga berperanan sebagai alat dakwah kepada golongan bukan Islam.
Namun, dalam beberapa situasi, zakat perlu diutamakan pemberiannya kepada umat Islam terlebih dahulu.
Masih ramai umat Islam di negara kita ini yang amat memerlukan bantuan bulanan daripada sumber zakat.
Tambahan pula, zakat hanya dikutip daripada kalangan umat Islam sahaja, maka wajar jika ia hanya diagihkan untuk kepentingan umat Islam semata-mata.
Untuk bantuan kepada orang bukan Islam, mungkin kita boleh menggunakan saluran bantuan yang lain sepert derma, sedekah dan juga hadiah.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- http://www.ukm.my/zakat/Latest_News/zakat-kepada-bukan-muslim
- https://www.sinarharian.com.my/article/56013/KOLUMNIS/Zakat-untuk-bukan-Islam