Ada Yang Kata, Malaikat Jibril Yang Tulis Al-Quran. Bukti Ini Menafikannya!

Usaha untuk menafikan keaslian Al-Quran terus dilakukan dengan menyatakan pelbagai dakwaan terhadapnya. Bagi menafikan bahawa Al-Quran itu dari Allah, ada yang mengatakan ia dikarang oleh Nabi Muhammad, ditiru dari kisah-kisah kitab Injil, atau ditulis oleh syaitan. Ada juga yang mengatakan bahawa ia ditulis oleh malaikat seperti malaikat Jibril. Bagaimana untuk menafikan dakwaan ini?

Malaikat Jibril karang Al-Quran?

malaikat jibril

Cerita berkenaan malaikat Jibril ini bukan hanya terdapat dalam ajaran Islam, tetapi juga dalam agama samawi yang turun dari langit. Ia turut diceritakan dalam kitab Injil dan Taurat.

Kesemua kitab-kitab agama samawi mengatakan bahawa malaikat Jibril ini adalah ketua bagi semua para malaikat. Ada sesetengah dakwaan menyatakan bahawa malaikat Jibril adalah pihak yang bertanggungjawab mengarang Al-Quran.

Dalam ajaran Islam, malaikat Jibril hanya bertugas menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dari Allah Taala, bukannya mengarang Al-Quran dan menyampaikannya kepada Nabi Muhammad.

Hal ini ditegaskan dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-97 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad: “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya iaitu yang diturunkan sebelumnya, serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

Jika benarlah malaikat Jibril yang mengarang Al-Quran, mengapa ayat Al-Quran sendiri menyatakan bahawa Jibril hanya bertugas menurunkan Al-Quran dengan kehendak Allah? 

Malaikat tidak tahu hikmah penciptaan manusia

malaikat jibril

Kita sendiri mengetahui bahawa terdapat pelbagai ilmu yang dinukilkan dalam Al-Quran. Ini termasuklah ilmu-ilmu sains, sejarah dan maklumat mengenai masa hadapan seperti hari kiamat dan sebagainya.

Sudah pasti, pengarang Al-Quran itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang luas mengenai alam semesta serta perkara yang belum lagi berlaku pada masa hadapan.

Untuk mengatakan bahawa malaikat Jibril sebagai pengarang Al-Quran itu adalah sangat tidak berasas. Ini kerana malaikat Jibril tidak mengetahui kesemua ilmu seperti yang terdapat dalam Al-Quran.

Hal ini dibuktikan melalui kisah penciptaan manusia. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-30 ada menjelaskan mengenai penciptaan manusia. Mafhumnya:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata: “Adakah Engkau Wahai Tuhan kami hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah iaitu berbunuh-bunuhan, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”

Daripada ayat Al-Quran ini, jelas menyatakan bahawa malaikat tidak mengetahui hikmah di sebalik penciptaan manusia. Allah Taala sebagai pencipta lebih mengetahui hikmah mengenai setiap ciptaannya.

Jika benarlah malaikat yang menulis Al-Quran, sudah pasti ayat tersebut tidak menyatakan mengenai kurangnya pengetahuan malaikat mengenai penciptaan manusia. 

Malaikat juga menerima ajaran dari Allah

malaikat jibril

Dalam surah yang sama iaitu Surah Al-Baqarah, ayat ke-32 ada menyebut:

“Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau Ya Allah! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Dialog malaikat yang dirakamkan dalam ayat tersebut menyatakan pengakuan malaikat mengenai keilmuan mereka. Malaikat mengakui bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi berkenaan segala penciptaan Allah. Mereka hanya mengetahuinya jika ia diajarkan oleh Allah Taala.

Bagaimana mungkin malaikat mengakui kelemahannya sendiri dalam Al-Quran jika benarlah Al-Quran itu dikarang oleh malaikat sendiri. 

Malaikat seperti Malaikat Jibril adalah makhluk yang mulia

Tidak seperti manusia, malaikat seperti malaikat Jibril adalah makhluk yang tidak melakukan dosa. Malaikat adaah makhluk yang sangat mentaati perintah Allah Taala.

Malaikat juga tidak pernah menipu seperti makhluk-makhluk yang lain. Tidak mungkin Al-Quran itu dikarang oleh malaikat jika malaikat sendiri bukanlah kelompok makhluk yang melawan perintah Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *