Orang Asli merupakan salah satu daripada etnik pribumi yang sudah lama menetap di bumi Malaysia ini. Namun, tidak ramai yang mengetahui dengan begitu mendalam berkenaan agama atau kepercayaan Orang Asli ini.
Berikut kami sediakan sedikit maklumat berkenaan kepercayaan mereka yang patut anda tahu.
Siapakah Orang Asli?
Orang Asli atau juga dikenali sebagai Orang Asal merupakan masyarakat pribumi yang sudah lama menetap di Kepulauan Nusantara ini.
Mereka mempunyai perkaitan langsung dengan masyarakat yang hidup di zaman Paleolitik dan juga Mesolitik.
Sepertimana masyarakat atau kaum yang lain, mereka juga mempunyai adat istiadat, pantang larang, mitos dan juga kepercayaannya yang tersendiri.
Pecahan utama Orang Asli di Semenanjung Malaysia

Orang Asli boleh dikategorikan kepada tiga kelompok utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto.
Pecahan ini boleh dilihat dengan lebih jelas melalui senarai di bawah ini:
Negrito
Orang Asli Negrito banyak mendiami kawasan sekitar Negeri Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan juga Pahang. Mereka terdiri daripada sub-etnik Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Bateq dan juga Mendriq.
Senoi
Orang Asli Senoi pula kebanyakannya menetap di sekitar Negeri Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Mereka terdiri daripada sub-etnik Temiar, Semai, Semoq Beri, Jahut, Mahmeri dan Che Wong.
Melayu Proto
Orang Asli Melayu Proto pula menetap di sekitar Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Pahang. Sub-etnik mereka pula ialah Oorang Kuala, Orang Kanaq, Orang Seletar, Jakun, Semelai dan Temuan.
Ini kepercayaan mereka
Kepercayaan asas bagi masyarakat ini adalah kepercayaan animisme.
Menurut Edward Burnett Tylor (1871), perkataan animisme berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud kehidupan, jiwa atau roh.
Menurut Graham Harvey pula, ia merujuk kepada kepercayaan kepada roh dan juga makhluk halus.
Secara umumnya, animisme membawa maksud kepercayaan kepada semangat atau roh yang mendiami setiap apa yang ada di bumi. Ini termasuklah batu, pokok atau angin.
Hampir keseluruhan masyarakat Orang Asli berpegang kepada kepercayaan ini.
Mereka percaya bahawa setiap apa yang berada di sekeliling mereka mempunyai roh atau semangat tertentu.
Oleh sebab itu, mereka amat menjaga hubungan mereka dengan alam sekitar untuk memastikan keharmonian antara mereka dan juga alam.
Mereka menghormati setiap entiti yang ada agar ia tidak memberikan malapetaka kepada mereka yang masih hidup.
Antara kepercayaan Orang Asli yang terkenal mengikut sub-etnik

- Orang Bateq mempercayai kewujudan makhluk seperti tohan dan naga. Mereka juga percaya kepada kewujudan Gobar yang mengawal cuaca.
- Orang Semai percaya kepada makhluk seperti penunggu, tuhan, malaikat dan juga hantu. Tuhan disebut sebagai ‘Uyaang atau Muyang’.
- Orang Semai juga percaya kepada penunggu yang menjaga empat penjuru alam. Penunggu-penunggu tersebut ialah Nenek Urang Penyunkur, Muyang Ulu Temuan, Lintang Pular dan juga Lintang Menuak.
- Orang Semoq Beri percaya bahawa alam ini dikendalikan oleh kuasa luar biasa seperti tohan, Nabi Adam, Hawa dan Karei. Tohan adalah kuasa yang paling tinggi. Manakala Nabi Adam dan Karei bertindak sebagai pembantu tohan.
- Etnik Che Wong percaya bahawa Karei berfungsi mewujudkan ribut, kilat dan juga petir. Mereka juga percaya kepada semangat padi yang mempengaruhi pengeluaran hasil padi mereka.
- Etnik Temuan percaya kepada kewujudan Tuhan Langit dan juga Tuhan Bumi.
- Orang Semelai pula percaya kepada Tuhan pencipta alam. Mereka juga percaya kepada kewujudan syurga, neraka, hari akhirat, hari kiamat. Bahkan, mereka juga percaya kepada Mungkar dan Nakir.
- Orang Jakun percaya kepada semangat yang boleh berhubung dengan kuasa ghaib.
Lebih mudah untuk berdakwah kepada Orang Asli
Ada sesetengah kepercayaan Orang Asli ini hampir sama dengan pegangan orang-orang Islam.
Maka, perjalanan dakwah terhadap Orang Asli ini mungkin lebih mudah sekiranya anda mengetahui dengan lebih baik berkenaan apa yang dipercayai oleh mereka.
Mereka pasti terkejut jika anda mengetahui sedikit sebanyak mengenai budaya dan kepercayaan mereka.
Dengan itu, mereka akan lebih mudah mempercayai apa yang akan disampaikan oleh anda kelak.
Rujukan:
http://spaj.ukm.my/jalhikmah/index.php/jalhikmah/article/view/57/61