Selain larangan menghina penganut agama lain, Islam juga mengarahkan kita untuk sentiasa menepati janji walaupun janji itu antara kita dengan mereka yang bukan Islam.
Walaupun berbeza agama, janji mestilah ditunaikan kerana ia adalah sebahagian daripada akhlak dan sifat orang beriman.
Menepati janji adalah tanda tingginya takwa kita

Menunaikan janji yang telah dibuat sebelum ini adalah penanda aras tahap ketakwaan seseorang manusia.
Mengapa kita mesti menunaikan janji kita walaupun sesama mereka yang bukan Muslim?
Ini kerana, Allah menyukai mereka yang menepati janji.
Dalam Surah Ali-Imran, ayat ke-76 ada menyebut, dengan maksud:
“Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana) sesiapa yang menyempurnakan janjinya mengenai hak orang lain dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
Dalam satu riwayat Muslim, ada menceritakan mengenai kisah perjanjian antara Huzayfah Al Yamani dengan pihak kafir Quraisy.
Kisah ini berlaku semasa tercetusnya Perang Badar.
Pada satu ketika, Huzayfah dan bapanya telah ditangkap oleh kafir Quraisy dan mereka didakwa mahu pergi berjumpa Nabi Muhammad.
Huzayfah menafikannya dan mengatakan bahawa dia hanya mahu ke Madinah, bukannya untuk berjumpa Nabi Muhammad.
Dengan itu, pihak Quraisy membuat perjanjian dengan Huzayfah agar tidak menyertai peperangan menentang Quraisy dan membantu Nabi Muhammad.
Huzayfah bersetuju dengan perjanjian tersebut dan dia dilepaskan kembali.
Setibanya dia di Madinah, dia terus menceritakan hal tersebut kepada Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad kemudiannya menyuruh Huzayfah beredar dan mengatakan kepada Huzayfah bahawa dia perlu mematuhi perjanjian tersebut.
Ini membuktikan bahawa, Nabi Muhammad sendiri menyuruh sahabatnya untuk mematuhi dan berpegang kepada janji yang telah dibuat walaupun dengan musuh Islam.
Tidak menepati janji adalah tanda orang munafik

Terdapat satu hadis yang agak popular mengenai tanda-tanda orang munafik.
Hadis tersebut berbunyi dengan maksud seperti berikut:
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila ia berbicara ia dusta, apabila ia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”
Dalam riwayat Muslim, hadis ini mempunyai sambungan yang berbunyi: “Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mengakui dirinya Muslim.”
Salah satu tanda seseorang yang munafik yang diceritakan oleh nabi ialah individu yang tidak menepati janji yang dibuatnya.
Walaupun dia seorang Muslim dan melakukan ibadat wajib seperti solat dan puasa, dia dikira mempunyai tanda-tanda kemunafikan jika tidak menunaikan janjinya.
Dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad tidak mengehadkan kewajipan menunaikan janji itu hanya terhadap sesama Muslim.
Ia adalah kewajipan yang perlu dipatuhi dan dipenuhi terhadap semua manusia walaupun berbeza agama dan bangsa.
Akhlak kita cerminan agama Islam
Hormatilah rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam jika kita ada berjanji dengan mereka.
Jika kita sendiri melanggar janji yang diikat, apakah pandangan orang bukan Islam terhadap penganut dan ajaran Islam?
Pastinya akan timbul persepsi negatif yang menggambarkan bahawa ajaran Islam bukanlah ajaran yang baik.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd.
- http://www.islam.gov.my/e-hadith/157-tepati-janji