Bolehkah Tinggal Serumah Atau Sebilik Dengan Non-Muslim?

Apakah hukum jika saya menetap bersama orang bukan Islam?

Adakah ia dibenarkan dalam Islam, atau tidak digalakkan? Ini jawapannya.

Boleh tinggal bersama orang bukan Islam

orang bukan Islam

Masyarakat di Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama yang menetap bersama.

Oleh itu, mempunyai rakan yang bukan beragama Islam adalah sesuatu yang lumrah.

Kita mungkin mempunyai rakan sebilik di asrama universiti yang bukan beragama Islam.

Kita juga mungkin berkongsi rumah dengan mereka yang bukan Islam.

Namun, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk tinggal bersama orang bukan Islam selagi mana pegangan agamanya tidak dipengaruhi atau terjejas oleh pengaruh rakannya.

Namun, sekiranya terdapat perkara yang boleh menjejaskan pegangan agamanya akibat daripada tinggal bersama orang bukan Islam, maka ia perlulah dielakkan. 

Menutup jalan kearah keburukan

Tegahan untuk terus tinggal bersama orang bukan Islam ini bukanlah bermakna kita membenci individu tersebut.

Apatah lagi membenci mana-mana agama.

Tegahan ini bertujuan untuk memelihara pegangan agama orang Islam agar ia tidak terus terancam dan terjejas.

Ini kerana kita mengambil pendekatan mengelakkan sebarang perkara yang boleh membawa keburukan iaitu Saddu Dzzarai’.

Kaedah fiqh ini bertujuan menutup segala jalan yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat.

Dengan bahasa mudahnya, sebagai langkah pencegahan. 

Larangan tinggal bersama dalam sesuatu situasi

Terdapat satu hadis Nabi yang bermaksud:

“Aku berlepas diri daripada setiap orang Islam yang menetap bersama dalam kalangan orang Musyrik.”

(Sunan Abu Daud)

Hadis ini membawa maksud bahawa tidak harus bagi seseorang Muslim itu untuk tinggal bersama orang bukan Islam.

Namun, kita perlulah memahami sebab hadis ini diucapkan oleh Nabi pada ketika itu.

Hadis ini diucapkan oleh Nabi ketika berhadapan dengan golongan yang dilihat seperti orang Islam, tetapi menzahirkan sokongan mereka kepada orang bukan Islam semasa peperangan.

Pada ketika itu, sedang berlaku satu peperangan antara orang Islam dengan pihak kafir Harbi.

Nabi mengarahkan agar turut diperangi golongan tersebut kerana memberikan sokongan kepada pihak musuh.

Oleh itu, hadis tersebut bukanlah bermakna umat Islam dilarang tinggal bersama orang bukan Islam.

Tetapi dalam beberapa keadaan, ia dilarang kerana ia boleh menimbulkan kesangsian bagi orang Islam seperti dalam peperangan.

Tiada masalah untuk terus tinggal bersama keluarga bukan Islam

orang bukan Islam

Ada sesetengah mualaf yang mungkin mempunyai kesukaran untuk tinggal bersama keluarga yang masih belum memeluk Islam.

Mualaf ini berasa risau sekiranya masih boleh tinggal bersama keluarga mereka atau tidak.

Tiada masalah untuk terus menetap bersama ahli keluarga yang bukan Islam.

Bahkan, ia mungkin boleh menjadi salah satu peluang untuk terus menerangkan ajaran Islam kepada mereka.

Begitu juga dengan soal perkongsian bekas makanan.

Harus hukumnya untuk berkongsi pinggan dan mangkuk yang digunakan oleh mereka yang bukan Islam.

Namun, bagi mengelakkan kesangsian atau salah faham daripada ahli keluarga yang lain, sebaiknya anda mencuci pinggan mangkuk tersebut terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Jika anda mempunyai alternatif lain seperti ada pinggan dan mangkuk khas untuk anda gunakan, maka ia adalah lebih baik.

Kesimpulan

Tinggal bersama mereka yang bukan Islam bukanlah satu perkara atau isu yang besar.

Islam tidak mempunyai halangan jika umatnya tinggal bersama orang bukan Islam.

Apatah lagi dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, kita mungkin akan tinggal bersama mereka di dorm atau bilik universiti.

Jadikan ia sebagai satu peluang dakwah untuk anda memperkenalkan Islam sedikit demi sedikit.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *