Benarkah Islam agama kedamaian? Ini kerana, ada ayat Al-Quran yang memerintahkan agar memerangi orang bukan Islam.
Adakah tanggapan bahawa Islam agama kedamaian itu salah?
Jangan tafsirkan ayat Al-Quran secara terus

Sebenaranya, konsep perdamaian adalah dasar asal yang digunakan bagi membina hubungan antara etnik.
Ini kerana, ayat Al-Quran seperti yang dinyatakan itu tidak wajar ditafsirkan atau dilihat secara terus.
Ada ayat Al-Quran yang menyatakan peperangan atas sebab sebagai tindak balas kepada golongan bukan Islam yang memerangi Islam secara terang-terangan.
Kebanyakan ayat Al-Quran menyatakan peperangan ini bukanlah atas sebab kekufuran semata-mata.
Ia disebabkan melawan kezaliman dan peperangan sahaja.
Malah, lafaz As-Salam iaitu kedamaian atau kesejahteraan telah dirakamkan lebih banyak dalam Al-Quran berbanding lafaz Al-Harb iaitu peperangan.
Sebab-sebab berlakunya peperangan dalam Islam
Kita pasti mengetahui peperangan-peperangan besar dan signifikan dalam sejarah Islam.
Ini termasuklah Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Mu’tah, Perang Hunain dan Perang Tabuk.
Namun, tahukah anda bahawa kesemua peperangan ini berlaku hanya disebabkan tindak balas kepada pihak musuh yang memerangi Islam?
Peperangan-peperangan ini berlaku disebabkan permusuhan kepada Islam, bukannya disebabkan oleh berlainan agama semata-mata.
Sebagai contoh, Perang Badar berlaku disebabkan penindasan yang dilakukan oleh pihak Arab Mekah terhadap orang-orang Islam.
Walaupun orang Islam telah berhijrah ke Madinah, pihak musuh masih lagi menekan orang Islam.
Oleh sebab itu, Rasulullah telah mengisytiharkan perang terhadap musuhnya disebabkan penindasan dan kezaliman.
Begitu juga dengan perang Uhud dimana ia berlaku disebabkan oleh wujudnya perasaan dendam oleh kafir Quraisy kepada orang Islam setelah kekalahan mereka dalam Perang Badar.
Peperangan Khandak pula berlaku berpunca daripada tindakan Bani Nadhir yang melanggar perjanjian serta cuba unuk membunuh Rasulullah.
Tiada satu pun daripada peperangan ini yang menunjukkan bahawa peperangan ini dimulakan oleh orang Islam atas sebab kekafiran mereka.
Islam agama kedamaian: Al-Quran menolak permusuhan

Islam lebih mementingkan perdamaian dan mengelakkan sebarang pergaduhan atau permusuhan.
Peperangan merupakan langkah terakhir jika tiada sebarang solusi yang boleh dicapai.
Al-Quran sendiri menyuruh manusia untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan.
Rasulullah sendiri mengajarkan perdamaian kepada umatnya melalui pembentukan Piagam Madinah.
Dalam piagam tersebut, dijelaskan beberapa perkara yang memperlihatkan pemeliharaan hubungan antara kaum di Madinah.
Perang Tabuk contoh Islam agama kedamaian
Perang Tabuk adalah peperangan terakhir yang disertai oleh Rasulullah semasa hayatnya sebelum kewafatan baginda.
Antara sebab berlakunya peperangan ini adalah kerana keinginan Maharaja Rom yang ingin menakluk dan meluaskan kuasa ke Tanah Arab.
Orang Islam pada ketika itu tidak mahu berperang dan hanya ingin meneruskan kehidupan dengan tenang seperti biasa.
Sewaktu Rasulullah tiba di Tabuk, Rasulullah telah menawarkan perjanjian damai dengan penduduk-penduduk di sekitar Tabuk.
Rasulullah menjamin keselamatan mereka selagi mana mereka tidak menyebelahi pihak Rom dan memerangi Islam.
Kesemua puak atau kabilah di Tabuk bersetuju dengan tawaran tersebut, malah ada juga yang bersetuju untuk membayar jizyah sebagai jaminan perlindungan keatas diri mereka.
Perjanjian perdamaian ini sekaligus berjaya menguatkan pertahanan Islam di Tabuk.
Namun, tentera Rom yang dinantikan ketibaannya tidak muncul-muncul.
Ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah dengan bantuan Allah yang menghantar malaikat sebagai bantuan kepada orang Islam.
Hasilnya, tentera Rom tidak berani menyerang Tabuk dan kembali semula ke Rom.
Umat Islam meraih kejayaan tanpa sebarang pertumpahan darah.
Perjanjian yang dibuat antara Rasulullah dengan penduduk Tabuk jelas menunjukkan Islam lebih mengutamakan kedamaian dan tidak memerangi orang bukan Islam secara sebarangan.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd