fbpx

Jangan Ambil Tindakan Sendiri Kalau Ada Yang Hina Agama Islam. Ini Sebabnya!

Kongsi ilmu:

Isu-isu berkaitan hina agama Islam bukanlah sesuatu yang baharu. Ia berlaku setiap masa dan berlaku di seluruh dunia.

Ia timbul berasaskan sentimen Islamofobia dan mengaitkan Islam dengan keganasan.

Sebagai orang Islam, apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh kita ketika berhadapan dengan isu penghinaan agama ini?

Islam melarang keras perlakuan hina agama

Dalam ajaran Islam, kita telah diajar untuk tidak menghina mana-mana pegangan agama penganut lain.

Ia dianggap sebagai satu perkara yang amat buruk.

Walaupun kita tidak bersetuju dengan ajaran dan amalan sesuatu agama, kita amat dilarang sama sekali untuk menghina amalan tersebut, apatah lagi menghina sembahan mereka.

Dalam Al-Quran ada menyebut, melalui Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Antara tujuan utama mengapa Islam melarang keras penghinaan agama lain adalah untuk mengelakkan saling balas membalas.

Islam mahu mengelakkan sebarang pertelingkahan yang boleh menyebabkan orang bukan Islam menghina kembali Allah, sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar ajaran Islam.

Kemaafan lebih utama, kerana Allah sendiri yang akan membalasnya

hina agama

Sekali lagi diingatkan, isu hina agama Islam ini bukanlah satu perkara baharu. Malah, ia telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Ada satu kisah di mana seorang Yahudi telah menghina Islam dengan mengatakan Allah Taala sebagai miskin.

Penghinaan ini adalah berdasarkan maksud ayat ke-245, Surah Al-Baqarah.

Dalam ayat tersebut, dinyatakan Allah Taala terpaksa berhutang dengan umat Islam.

Sebenarnya, ayat tersebut menceritakan fadilat bersedekah yang menyatakan seolah-olah Allah Taala berhutang dengan orang Islam yang bersedekah.

Apabila penghinaan tersebut didengari oleh Saidina Abu Bakar, maka beliau telah mengeluarkan pedangnya bersedia untuk membunuh Yahudi tersebut.

Namun, Rasulullah telah menenangkan Saidina Abu Bakar dan memintanya agar bersikap pemaaf terhadap Yahudi tersebut.

Allah melalui wahyunya juga telah meminta Nabi Muhammad agar kemaafan diberikan terhadap peristiwa terbabit.

Dalam Surah Al-Jaathiyah, ayat ke-14 ada menyebut. Mafhumnya:

“Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan kejahatan dan gangguan orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari pembalasan yang telah ditentukan Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.”

Diterangkan dalam ayat tersebut bahawa, Allah Taala sendiri yang akan menghukum dan memberikan balasan kepada mereka yang menghinaNya dan ajaran Islam. 

Apakah yang perlu dilakukan jika ada yang hina agama Islam?

Kita tidak perlu bersikap gopoh atau melampau dengan menyerang mereka yang menghina Islam.

Dalam negara kita, kita mempunyai peruntukan undang-undang yang bertujuan menghalang sebarang perlakuan yang menghina agama Islam.

Apa yang perlu kita lakukan hanyalah membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan agar tindakan undang-undang boleh diambil dan dijalankan keatas mereka yang terlibat.

Kita dilarang sama sekali untuk bertindak sendiri kerana tindakan tersebut bukanlah berlandaskan syariat kerana ia akan melibatkan kekerasan dan pembunuhan.

Selain itu, tindakan sendiri hanya akan memburukkan imej Islam sekaligus menakutkan orang bukan Islam dengan ajaran Islam.

Dengan itu, mereka akan semakin menjauh dan dakwah akan semakin sukar untuk dilaksanakan. 

Didik diri kita untuk bersikap sensitif

hina agama

Dalam kehidupan bermasyarakat yang pelbagai ini, setiap manusia tidak mengira agama dan bangsa perlu memiliki sikap sensitiviti terhadap pegangan dan amalan individu lain.

Jika berlaku sebarang isu dan konflik berkaitan agama, Islam lebih memilih dan cenderung kearah kaedah perdamaian dan toleransi.

Kita perlu bersedia meminta maaf atas kesalahan dan juga perlu bersedia memaafkan orang lain.

Namun, dalam masa yang sama, undang-undang perlu diperketatkan agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.

Dengan itu, keharmonian agama dan bangsa akan terus terpelihara. 

Rujukan:


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *