Orang Iban Percaya Kepada Kewujudan Binsi Petara, Apakah Maksud Binsi Petara?

Jika anda ingin ke Sarawak untuk tujuan dakwah, adalah lebih baik jika anda mempersiapkan diri terlebih dahulu dengan segala ilmu. Ilmu yang dikatakan di sini bukanlah sekadar ilmu agama, tetapi juga ilmu berkenaan masyarakat yang ingin anda temui nanti. Memandangkan kaum Iban merupakan kaum terbesar di Negeri Sarawak, oleh itu adalah wajar untuk anda mengetahui kepercayaan kaum Iban terlebih dahulu.

Populasi kaum Iban di Sarawak

Di Negeri Sarawak, wujud puluhan kaum dan etnik yang mendiami negeri ini.

Namun, etnik yang terbesar di negeri ini ialah kaum Iban.

Berdasarkan bancian yang dijalankan pada tahun 2016, terdapat 858,989 orang berbangsa Iban yang menetap di Negeri Sarawak.

Ia mewakili sekitar 50% daripada keseluruhan penduduk Sarawak.

Kaum Iban bukan hanya menjadi kaum terbesar di Sarawak, tetapi juga kaum ketiga terbesar di Malaysia. 

Kepercayaan kaum Iban yang perlu anda tahu

kepercayaan kaum iban

Kepercayaan tradisional orang Iban dikenali sebagai Pengarap Lama.

Kepercayaan mereka ini berpandukan kepada ‘Papan Turai’ yang telah ditulis oleh Tuai Raban Bansa berpandukan nasihat Manang dan juga Lemambang.

Tuhan dikenali sebagai Binsi Petara. Binsi Petara mempunyai pesuruhnya atau dewa-dewa yang tersendiri.

Antara dewa-dewa yang wujud dalam kepercayaan masyarakat Iban ialah seperti:

  • Sengalang Burong (Dewa Perang)
  • Biku Imam Bunsi Petara (Dewa Agama)
  • Menjaya (Dewa Perubatan)
  • Sempulang Gana/Semerugah (Dewa Pertanian Dan Tanah)
  • Ini Inee/Andan (Dewa Penyembuh Semulajadi & Dewa Keadilan)
  • Anda Mara/Gangga Gangging (Dewa Kekayaan)

Menurut kepercayaan orang Iban, Tuhan akan menyampaikan sebarang alamat, petanda dan maklumat kepada mereka yang dikehendakinya melalui mimpi dan juga bayangan.

Ada juga alamat yang disampaikan melalui tingkah laku tertentu.

Dalam kepercayaan tradisional ini, Tuhan dipuja melalui beberapa upacara khusus seperti upacara Miring, Sampi iaitu jampi, Pengap (melagukan mantera) dan juga Timang.

Ia dilakukan oleh seorang penyair yang disebut sebagai Lemambang ketika upacara keagamaan dijalankan.

Lemambang ini boleh dikatakan sebagai seorang ketua agama atau ketua upacara.

Namun, dia bukanlah ketua masyarakat atau individu yang dirujuk dalam soal adat istiadat orang Iban.

Selain itu, terdapat juga Manang, iaitu seorang pawang atau bomoh yang berperanan merawat individu secara tradisional. 

Peranan Lemambang dalam masyarakat Iban

Dalam Pengarap Lama, Manang dan juga Lemambang adalah antara perkara penting yang perlu diikuti.

Lemambang dipercayai mempunyai kuasa ghaib yang boleh menghubungkannya dengan alam ghaib.

Dalam kepercayaan orang Iban, kehidupan mereka dikelilingi oleh unsur-unsur dan semangat tertentu seperti hantu, dewa, dewi dan juga alam mati.

Kesemua unsur-unsur ghaib ini boleh memberikan kebaikan dan juga mudarat kepada mereka, bergantung kepada layanan yang diberikan.

Oleh sebab itu, peranan Lemambang diperlukan dalam hal seperti ini.

Lemambang akan melakukan upacara-upacara khusus untuk memuja dan memohon bantuan bagi pihak masyarakat Iban.

Kepercayaan kaum Iban berkenaan roh

kepercayaan kaum iban

Selain daripada Petara dan juga semangat-semangat tertentu, orang Iban juga percaya kepada kewujudan roh-roh nenek moyang yang dipercayai boleh membantu keluarga.

Antara peranan roh nenek moyang mereka ini ialah untuk mendapatkan hasil tanaman yang banyak selain mendapatkan barang berharga seperti emas dan perak.

Roh-roh nenek moyang dipercayai boleh menjelma dalam bentuk haiwan tertentu seperti ular dan juga burung.

Roh ini akan muncul dalam mimpi mereka untuk memberitahu mengenai jelmaan yang akan muncul.

Namun, kedudukan roh nenek moyang dalam kepercayaan masyarakat Iban adalah lebih rendah daripada kedudukan dewa dewi. 

Kesimpulan 

Berikut adalah sedikit sebanyak penerangan ringkas mengenai kepercayaan atau Pengarap Lama yang dipegang oleh masyarakat Iban.

Walaupun sudah ramai daripada orang Iban menganut agama Kristian, namun terdapat sebilangan kecil yang masih berpegang kepada kepercayaan ini. 

Rujukan:

https://umexpert.um.edu.my/public_view.php?type=publication&row=NTAwNTU%3D

https://www.academia.edu/40704338/Asal_Usul_Masyarakat_Iban_Sarawak

https://pemetaanbudaya.my/culture/dis/318

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *